Kisah Nabi Musa as dan Firaun
Surah 11: Hud (96 – 99)
Ayat 96
وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا مُوسَىٰ بِـَٔايَـٰتِنَا وَسُلْطَـٰنٍ مُّبِينٍ
Dan sesungguhnya kami telah mengutuskan Nabi Musa dengan membawa ayat-ayat keterangan Kami, dan bukti (mukjizat) yang nyata:
Allah Swt memberitahu tentang Nabi Musa as yang diutus dengan membawa mukjizat sebagai bukti kekuasaan-Nya dan juga kebenaran yang dibawa oleh Rasul-Nya.
Antara mukjizat Nabi Musa as ialah tongkatnya berubah menjadi ular, tangannya bercahaya dan sebagainya.
Ayat 97
إِلَىٰ فِرْعَوْنَ وَمَلَإِي۟هِۦ فَٱتَّبَعُوٓا۟ أَمْرَ فِرْعَوْنَ ۖ وَمَآ أَمْرُ فِرْعَوْنَ بِرَشِيدٍ
Kepada Firaun dan kaumnya; lalu kaum Firaun menurut perintah Firaun, sedang perintahnya itu bukanlah perintah yang betul.
Nabi Musa as diutus kepada Firaun dan kaumnya dengan membawa bukti, namun kaum Firaun tetap menurut perintah Firaun dalam kekufuran dan kederhakaan, padahal perintah Firaun bukanlah petunjuk yang benar, melainkan kesesatan semata-mata.
Ini kerana Firaun adalah pemimpin zalim yang banyak melakukan kerosakan dengan membunuh anak-anak lelaki Bani Israil dan membiarkan anak-anak perempuan mereka hidup dalam kesengsaraan.
Ayat 98
يَقْدُمُ قَوْمَهُۥ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ فَأَوْرَدَهُمُ ٱلنَّارَ ۖ وَبِئْسَ ٱلْوِرْدُ ٱلْمَوْرُودُ
Firaun akan mengetuai kaumnya pada hari kiamat kemudian tetaplah ia akan membawa mereka masuk ke neraka. Dan seburuk-buruk tempat yang dimasuki ialah neraka.
Pada Hari Kiamat kelak, Firaun akan berjalan mengetuai kaumnya menuju ke neraka Jahannam. Orang-orang yang menurut segala perintah Firaun dan menjadikannya sebagai pemimpin mereka semasa di dunia, akan mengikutinya dari belakang. Firaun akan mendapat azab yang seberat-beratnya kerana menyesatkan pengikut-pengikutnya seperti firman Allah Swt:
“Maka Firaun menderhakai Rasul itu, lalu Kami seksa dia dengan seksaan yang berat.”
Al-Muzammil 73:16
Masing-masing mereka (Firaun dan kaumnya) akan mendapat seksaan yang berlipat ganda. Firman-Nya:
“……………..Allah berfirman, ‘Masing-masing mendapat (seksaan) yang berlipat ganda, akan tetapi kamu tidak mengetahui.’”
Al-A‘raf 7:38
Ayat 99
وَأُتْبِعُوا۟ فِى هَـٰذِهِۦ لَعْنَةً وَيَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ ۚ بِئْسَ ٱلرِّفْدُ ٱلْمَرْفُودُ
Dan mereka diiringi oleh laknat yang tidak putus-putus di dunia ini, dan pada hari kiamat. (Sebenarnya) laknat itu adalah seburuk-buruk pemberian yang diberikan.
Selain Firaun dan pengikutnya menerima azab di dunia dengan ditenggelamkan ke laut, mereka juga mendapat kutukan dan laknat yang besar daripada umat selepas mereka.
Manakala di akhirat kelak, mereka mendapat laknat dan dimasukkan ke dalam Neraka Jahannam. Firman-Nya:
“Dan Kami iringi mereka dengan di dunia ini, dan pada Hari Kiamat mereka termasuk orang-orang yang dijauhkan (dari rahmat Allah).”
Al-Qasas 28:42