Kisah Nabi Syuaib as dan Penduduk Madyan
Surah 11: Hud (84 – 95)
Ayat 84
وَإِلَىٰ مَدْيَنَ أَخَاهُمْ شُعَيْبًا ۚ قَالَ يَـٰقَوْمِ ٱعْبُدُوا۟ ٱللَّهَ مَا لَكُم مِّنْ إِلَـٰهٍ غَيْرُهُۥ ۖ وَلَا تَنقُصُوا۟ ٱلْمِكْيَالَ وَٱلْمِيزَانَ ۚ إِنِّىٓ أَرَىٰكُم بِخَيْرٍ وَإِنِّىٓ أَخَافُ عَلَيْكُمْ عَذَابَ يَوْمٍ مُّحِيطٍ
Dan kepada penduduk “Madyan” Kami utuskan saudara mereka: Nabi Syuaib. Dia berkata: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! (Sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripada-Nya. Dan janganlah kamu mengurangi sukatan dan timbangan. Sesungguhnya aku melihat kamu berada dalam kemewahan; dan sesungguhnya aku bimbang, kamu akan ditimpa azab hari yang meliputi (orang-orang yang bersalah).
Ini adalah kisah Nabi Syu’aib as dengan kaumnya iaitu penduduk Madyan. Baginda as termasuk orang yang memiliki nasab (keturunan) yang mulia di kalangan mereka.
Nabi Syu’aib as menyeru kaumnya agar beribadah hanya kepada Allah Swt yang tiada sekutu bagi-Nya kerana Dia adalah Rabb yang menciptakan, memberikan rezeki dan mengatur segala urusan. Nabi Syuaib as juga melarang kaumnya berlaku curang dalam sukatan dan timbangan. Firman-Nya:
“Kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang curang, (iaitu) orang-orang yang apabila menerima sukatan daripada orang lain mereka minta dipenuhi, dan apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka mengurangi.”
Al-Mutaffiffin 83:1-3
Nabi Syuaib as melihat kaumnya berada dalam kekayaan yang melimpah sama ada dari segi rezeki mahupun kesejahteraan hidup. Oleh itu, mereka diingatkan agar mensyukuri nikmat rezeki yang dikurniakan oleh Allah Ta’ala kepada mereka dan tidak boleh berlaku tamak dengan merugikan hak orang lain dalam urusan berjual beli. Baginda bimbang sekiranya mereka melanggar peraturan-peraturan Allah Ta’ala, azab akan menimpa mereka.
Ayat 85
وَيَـٰقَوْمِ أَوْفُوا۟ ٱلْمِكْيَالَ وَٱلْمِيزَانَ بِٱلْقِسْطِ ۖ وَلَا تَبْخَسُوا۟ ٱلنَّاسَ أَشْيَآءَهُمْ وَلَا تَعْثَوْا۟ فِى ٱلْأَرْضِ مُفْسِدِينَ
Dan wahai kaumku! Sempurnakanlah sukatan dan timbangan dengan adil dan janganlah kamu kurangkan manusia akan benda-benda yang menjadi haknya, dan janganlah kamu merebakkan bencana kerosakan di muka bumi.
Dalam ayat ini terdapat beberapa hukum:
Pertama: Wajib menyempurnakan sukatan dan timbangan dalam berjual beli.
Kedua: Dilarang merugikan hak-hak orang lain dengan apa cara sekalipun, baik hak itu milik perseorangan atau milik orang ramai seperti harta pemerintah dan syarikat.
Ketiga: Dilarang berbuat sesuatu yang boleh merosak atau mengganggu keamanan dan ketenteraman di muka bumi, seperti merompak, mencuri, menyamun dan lain-lain.
Ayat 86
بَقِيَّتُ ٱللَّهِ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ ۚ وَمَآ أَنَا۠ عَلَيْكُم بِحَفِيظٍ
Limpah kurnia Allah kepada kamu lebih baik bagi kamu (daripada yang kamu ambil secara haram itu), jika betul kamu orang-orang yang beriman. Dan aku bukanlah orang yang menjaga dan mengawas perbuatan kamu”.
Daripada Ibnu Jarir, dia berkata daripada Ibnu ’Abbas ra bahawa yang dimaksudkan dengan ayat, “Limpah kurnia Allah kepada kamu lebih baik bagi kamu (daripada yang kamu ambil secara haram itu),” ialah apa yang dianugerahkan oleh Allah berupa keuntungan kepada sesiapa yang menepati sukatan dan timbangan itu lebih baik daripada mengambil harta orang lain.
Ibnu Kathir berpendapat kata-kata di atas sesuai dengan firman Allah Swt:
“Katakanlah (wahai Muhammad), ‘Tidak sama yang buruk dengan yang baik, meskipun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu…..’”
Al-Ma’idah 5:100
Allah Ta’ala akan membalas segala tindakan yang mereka lakukan. Baginda hanyalah sebagai pemberi nasihat dan peringatan.
Ayat 87
قَالُوا۟ يَـٰشُعَيْبُ أَصَلَوٰتُكَ تَأْمُرُكَ أَن نَّتْرُكَ مَا يَعْبُدُ ءَابَآؤُنَآ أَوْ أَن نَّفْعَلَ فِىٓ أَمْوَٰلِنَا مَا نَشَـٰٓؤُا۟ ۖ إِنَّكَ لَأَنتَ ٱلْحَلِيمُ ٱلرَّشِيدُ
Mereka berkata: “Wahai Syuaib! Adakah solatmu (yang banyak itu) menyuruhmu perintahkan kami supaya meninggalkan apa yang disembah oleh datuk nenek kami, atau supaya kami lakukannya apa yang kami suka melakukannya dalam menguruskan harta kami? Sesungguhnya engkau (wahai Syuaib) adalah orang yang penyabar, lagi bijak berakal (maka bagaimana pula engkau menyuruh kami melakukan perkara yang bertentangan dengan kebiasaan kami)?”
Kaum Nabi Syu’aib as mengingkari larangan agar meninggalkan penyembahan berhala-berhala yang telah diamalkan oleh nenek moyang mereka. Malahan mereka juga ingkar terhadap larangan Baginda as agar tidak mengurangi sukatan dan timbangan, mengambil hak-hak manusia, dan tidak berlaku adil serta supaya istiqamah dalam kebenaran.
Ucapan “Sesungguhnya engkau (wahai Syuaib) adalah orang yang penyabar, lagi bijak berakal (maka bagaimana pula engkau menyuruh kami melakukan perkara yang bertentangan dengan kebiasaan kami)?” adalah merupakan ejekan terhadap Baginda.
Ayat 88
قَالَ يَـٰقَوْمِ أَرَءَيْتُمْ إِن كُنتُ عَلَىٰ بَيِّنَةٍ مِّن رَّبِّى وَرَزَقَنِى مِنْهُ رِزْقًا حَسَنًا ۚ وَمَآ أُرِيدُ أَنْ أُخَالِفَكُمْ إِلَىٰ مَآ أَنْهَىٰكُمْ عَنْهُ ۚ إِنْ أُرِيدُ إِلَّا ٱلْإِصْلَـٰحَ مَا ٱسْتَطَعْتُ ۚ وَمَا تَوْفِيقِىٓ إِلَّا بِٱللَّهِ ۚ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ
Nabi Syuaib berkata: “Wahai kaumku! Bagaimana fikiran kamu, jika aku berdasarkan bukti yang nyata dari Tuhanku, dan Dia pula mengurniakan daku pangkat Nabi sebagai pemberian daripada-Nya, (patutkah aku berdiam diri dari melarang kamu) sedang aku tidak bertujuan hendak melakukan sesuatu yang aku melarang kamu daripada melakukannya? Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepada-Nya-lah aku kembali.
Mendengar sindiran mereka itu, Nabi Syu’aib as berkata kepada kaumnya jika Baginda mempunyai bukti yang nyata tentang apa yang disampaikannya kepada mereka daripada Allah Ta’ala dan Baginda dianugerahi-Nya rezeki yang baik lagi banyak dan melimpah, adakah patut Baginda mengabaikan perintah dan larangan-Nya.
Kemudian Nabi Syu’aib as menyatakan bahawa Baginda tidak bermaksud melarang kaumnya melakukan sesuatu, sementara Baginda sendiri mengerjakan apa yang Baginda sendiri melarangnya. Baginda hanyalah bermaksud untuk mendatangkan kebaikan dan keadilan selama Baginda masih berupaya melakukannya dan bukanlah untuk menguasai mereka.
Sesungguhnya risalah yang dibawa oleh Nabi Syu‘aib as adalah daripada Allah Swt dan tidak ada taufik baginya untuk menegakkan kebenaran melainkan dengan pertolongan-Nya dan hanya kepada-Nya-lah Baginda bertawakkal dan hanya kepada-Nya pula Baginda akan kembali.
Ayat 89
وَيَـٰقَوْمِ لَا يَجْرِمَنَّكُمْ شِقَاقِىٓ أَن يُصِيبَكُم مِّثْلُ مَآ أَصَابَ قَوْمَ نُوحٍ أَوْ قَوْمَ هُودٍ أَوْ قَوْمَ صَـٰلِحٍ ۚ وَمَا قَوْمُ لُوطٍۢ مِّنكُم بِبَعِيدٍ
Dan wahai kaumku! Janganlah permusuhan kamu terhadapku menyebabkan kamu ditimpa bala bencana sebagaimana yang telah menimpa kaum Nabi Nuh, atau kaum Nabi Hud, atau kaum Nabi Saleh. Dan kaum Nabi Lut pun tidaklah jauh dari kamu (kamu sedia mengetahui apa yang telah menimpa mereka).
Nabi Syu’aib as mengingatkan kaumnya agar tidak menjadikan pertentangan antaranya dengan kaumnya alasan untuk mereka berbuat dosa dengan melanggar perintah Allah Ta’ala.
Seandainya mereka melakukannya tidak mustahil mereka akan mendapat seksaan sebagaimana yang menimpa kaum Nabi Nuh as yang ditenggelamkan, kaum Nabi Hud as yang dimusnahkan dengan angin kencang yang dingin, atau kaum Nabi Saleh as yang diseksa dengan suara yang menggempakan dan juga kaum Nabi Lut as yang telah diazab dengan dihujani batu dari langit. Kaum Nabi Lut as tidak jauh masanya atau jarak negerinya dari mereka.
Ayat 90
وَٱسْتَغْفِرُوا۟ رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُوٓا۟ إِلَيْهِ ۚ إِنَّ رَبِّى رَحِيمٌ وَدُودٌ
Dan mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepada-Nya. Sesungguhnya Tuhanku Maha Mengasihani, lagi Maha Pengasih”.
Oleh itu, Nabi Syu’aib as menasihati kaumnya agar memohon keampunan atas dosa-dosa yang telah mereka lakukan terhadap Allah Swt yang Maha Pengampun. Kemudian bertaubat dengan bersungguh-sungguh kepada-Nya dan bertekad tidak mengulangi kesalahan mereka lagi, serta memperbanyak amalan soleh. Sesungguhnya Allah Maha Penyayang terhadap hamba-hamba-Nya yang mahu bertaubat.
Ayat 91
قَالُوا۟ يَـٰشُعَيْبُ مَا نَفْقَهُ كَثِيرًا مِّمَّا تَقُولُ وَإِنَّا لَنَرَىٰكَ فِينَا ضَعِيفًا ۖ وَلَوْلَا رَهْطُكَ لَرَجَمْنَـٰكَ ۖ وَمَآ أَنتَ عَلَيْنَا بِعَزِيزٍ
Mereka berkata: “Wahai Syuaib! Kami tidak mengerti kebanyakan dari apa yang engkau katakan itu, dan sesungguhnya kami melihat engkau orang yang lemah dalam kalangan kami; dan kalau tidaklah kerana kaum keluargamu, tentulah kami telah melemparmu (dengan batu hingga mati). Dan engkau pula bukanlah orang yang dipandang mulia dalam kalangan kami!”
Ayat ini menerangkan sikap kaum Nabi Syu’aib as yang memandang rendah terhadap Baginda. Mereka menganggap bahawa Nabi Syu’aib bukanlah seorang yang berwibawa. Mereka juga benci terhadap nasihatnya dan tidak mahu menerima seruannya. Dalam ayat ini juga dinyatakan bahawa kaum Nabi Syu’aib as berkata jika tidak kerana mereka menghormati ahli keluarga Baginda pasti mereka akan mengaibkan Baginda. Lalu Nabi Syu’aib as menegur kaumnya seperti dalam ayat seterusnya.
Ayat 92
قَالَ يَـٰقَوْمِ أَرَهْطِىٓ أَعَزُّ عَلَيْكُم مِّنَ ٱللَّهِ وَٱتَّخَذْتُمُوهُ وَرَآءَكُمْ ظِهْرِيًّا ۖ إِنَّ رَبِّى بِمَا تَعْمَلُونَ مُحِيطٌ
Nabi Syuaib berkata: “Wahai kaumku! (Mengapa kamu bersikap demikian)? Patutkah kaum keluargaku kamu pandang lebih mulia dari pada Allah serta kamu pula jadikan perintah-Nya sebagai sesuatu yang dibuang dan dilupakan di belakang kamu? Sesungguhnya Tuhanku Amat Meliputi pengetahuan-Nya akan apa yang kamu lakukan.
Mendengar perkataan kaumnya, Nabi Syu’aib alaihis salam bertanya dengan mengatakan adakah kedudukan keluarganya lebih terhormat menurut pandangan mereka daripada Allah Swt padahal Dia lebih berhak untuk ditakuti dan diagungkan. Mereka juga mengabaikan segala perintah dan larangan-Nya.
Sesungguhnya pengetahuan Allah Ta’ala meliputi apa yang mereka kerjakan, tidak ada satu pun perbuatan yang mereka lakukan, baik yang tersembunyi atau terang-terangan, melainkan semuanya diketahui oleh-Nya. Semua amal perbuatan yang mereka lakukan pasti akan dihisab.
Ayat 93
وَيَـٰقَوْمِ ٱعْمَلُوا۟ عَلَىٰ مَكَانَتِكُمْ إِنِّى عَـٰمِلٌ ۖ سَوْفَ تَعْلَمُونَ مَن يَأْتِيهِ عَذَابٌ يُخْزِيهِ وَمَنْ هُوَ كَـٰذِبٌ ۖ وَٱرْتَقِبُوٓا۟ إِنِّى مَعَكُمْ رَقِيبٌ
“Dan wahai kaumku, buatlah sedaya upaya kamu (untuk menentang agama Allah yang aku sampaikan itu), sesungguhnya aku juga tetap berusaha dengan bersungguh-sungguh (untuk mengembangkannya). Kamu akan ketahui siapakah yang akan didatangi azab yang menghinakannya, dan siapa pula yang berdusta. Dan tunggulah, sesungguhnya aku juga turut menunggu bersama-sama kamu”.
Setelah Nabi Syu’aib as melihat kaumnya tetap tidak mahu menerima dakwahnya, Baginda melanjutkan pembicaraan dan mengancam mereka dengan mengatakan berbuatlah semahu dan sesuka hati mereka, Baginda pun tetap berbuat pula sesuai dengan apa yang diperintahkan oleh Allah Ta’ala kepadanya iaitu terus berdakwah dan memperingatkan mereka mengikut kemampuannya.
Kelak mereka akan mengetahui siapakah yang akan ditimpa azab yang menghinakan akibat menyekutukan Allah Ta’ala dan berbuat jahat kepada manusia dan dalam hal ini siapakah yang paling berdusta.
Oleh itu, Nabi Syu’aib as meminta mereka menunggu seksaan yang dijanjikan-Nya kepada mereka. Sesungguhnya Baginda juga menunggu apa yang dijanjikan oleh Rabbnya.
Ayat 94
وَلَمَّا جَآءَ أَمْرُنَا نَجَّيْنَا شُعَيْبًا وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مَعَهُۥ بِرَحْمَةٍ مِّنَّا وَأَخَذَتِ ٱلَّذِينَ ظَلَمُوا۟ ٱلصَّيْحَةُ فَأَصْبَحُوا۟ فِى دِيَـٰرِهِمْ جَـٰثِمِينَ
Dan ketika datang (masa perlaksanaan) perintah Kami, Kami selamatkan Nabi Syuaib beserta dengan umatnya yang beriman, dengan rahmat dari Kami; dan orang-orang yang zalim itu dibinasakan oleh letusan suara yang menggempakan bumi, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat masing-masing.
Maka ketika keputusan atau ketetapan Allah Ta’ala untuk membinasakan mereka telah tiba, terlebih dahulu Dia menyelamatkan Nabi Syu’aib as dan orang-orang yang beriman bersama dengannya daripada azab tersebut.
Manakala orang-orang yang zalim dibinasakan oleh Allah Swt melalui suatu suara yang keras sehingga mereka mati bergelimpangan kerana dahsyatnya azab tersebut.
Dalam ayat ini, Allah Swt menyebutkan dengan suara yang menggempakan (ٱلصَّيْحَةُ) yang membinasakan mereka.
Pada surah Al-A’raf ayat 91, disebutkan “goncangan atau gempa” (ٱلرَّجْفَةُ), maka bergoncanglah bumi atas mereka yang melakukan kezaliman.
Dalam surah Asy-Syu’ara’ ayat 187 pula, ketika mereka berkata, “Maka jatuhkanlah atas kami gumpalan dari langit, jika kamu termasuk orang-orang yang benar.”
Sedangkan pada surah Asy-Syu’ara’ ayat 189 ada seksaan pada hari yang berawan (يَوْمِ ٱلظُّلَّةِ), ini menunjukkan bahawa mereka adalah satu umat, pada hari mereka diseksa dalam keadaan berkumpul semuanya. “Lalu mereka ditimpa azab pada hari mereka dinaungi awan. Sesungguhnya azab itu adalah azab hari yang sangat dahsyat.”
Ini adalah termasuk rahsia-rahsia Allah Swt yang halus dan hanya bagi Allah-lah pujian dan anugerah sebanyak-banyaknya, sepanjang masa.
Ayat 95
كَأَن لَّمْ يَغْنَوْا۟ فِيهَآ ۗ أَلَا بُعْدًا لِّمَدْيَنَ كَمَا بَعِدَتْ ثَمُودُ
(Mereka punah-ranah) seolah-olah mereka tidak pernah tinggal di situ. Ketahuilah! Kebinasaanlah akhirnya bagi penduduk Madyan, sebagaimana binasanya kaum Thamud.
Firman Allah Swt “Seolah-olah mereka tidak pernah tinggal di situ.” bermaksud seolah-olah mereka belum pernah hidup di rumah mereka sebelum itu.
Oleh itu, binasalah penduduk Madyan sebagaimana kaum Thamud yang telah binasa. Mereka adalah tetangga dekat dalam satu negeri dan menyerupai mereka dalam kekafiran dan penentangan.