Kisah Nabi Ibrahim as beserta Para Malaikat
Surah 11: Hud (69 – 76)
Ayat 69
وَلَقَدْ جَآءَتْ رُسُلُنَآ إِبْرَٰهِيمَ بِٱلْبُشْرَىٰ قَالُوا۟ سَلَـٰمًا ۖ قَالَ سَلَـٰمٌ ۖ فَمَا لَبِثَ أَن جَآءَ بِعِجْلٍ حَنِيذٍ
Dan sesungguhnya telah datang malaikat utusan-utusan kami kepada Nabi Ibrahim, dengan membawa berita yang mengembirakan. Lalu mereka memberi salam dengan berkata: “Salam sejahtera kepadamu (wahai Ibrahim)”. Nabi Ibrahim menjawab: “Salam sejahtera kepada kamu”. Maka tidak berapa lama selepas itu, dia membawa jamuan untuk mereka: seekor anak lembu yang dipanggang.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa utusan-Nya daripada kalangan malaikat datang menemui Nabi Ibrahim as membawa berita yang menggembirakan iaitu tentang kelahiran Nabi Ishak as dan daripada Baginda akan lahir pula Nabi Yaakub as. Firman-Nya:
“…………….dan mereka (malaikat) memberi berita gembira kepadanya dengan (kelahiran) seorang anak yang alim (Ishak).”
Az-Zariyat 51:28
Para utusan itu mengucapkan salam dan Nabi Ibrahim as menjawab salam mereka. Kemudian Baginda terus pergi dari tempat itu dan tidak lama selepas itu Baginda membawakan tetamunya hidangan berupa daging anak lembu yang telah dipanggang. Firman-Nya:
“Maka dia pergi dengan diam-diam menemui keluarganya, kemudian dibawanya daging anak lembu yang gemuk. Lalu dihidangkannya kepada mereka. Ibrahim lalu berkata, ‘Silakan anda makan.’”
Az-Zariyat 51:26-27
Dalam ayat ini terdapat dalil disyariatkan mengucapkan salam apabila bertemu seseorang dan didahulukannya sebelum berbicara. Ayat ini juga memberikan pengajaran kepada kita bagaimana menyambut dan melayan tetamu.
Ayat 70
فَلَمَّا رَءَآ أَيْدِيَهُمْ لَا تَصِلُ إِلَيْهِ نَكِرَهُمْ وَأَوْجَسَ مِنْهُمْ خِيفَةً ۚ قَالُوا۟ لَا تَخَفْ إِنَّآ أُرْسِلْنَآ إِلَىٰ قَوْمِ لُوطٍ
Maka apabila dia melihat tangan mereka tidak menyentuh hidangan itu, dia merasa pelik akan hal mereka serta merasa takut dari keadaan mereka. (Melihat kecemasannya) mereka berkata: “Janganlah engkau takut wahai Ibrahim, sebenarnya kami ini diutus kepada kaum Lut (untuk membinasakan mereka)”.
Apabila Nabi Ibrahim as melihat tetamunya tidak menjamah hidangan tersebut, Baginda memandang aneh peristiwa tersebut sehingga timbul perasaan takut dan cemas kerana menyedari mereka bukanlah daripada kalangan manusia biasa. Melihat keadaan tersebut, lalu para malaikat itu menjelaskan bahawa kedatangan mereka adalah untuk membinasakan kaum Nabi Lut as yang kufur.
Ayat 71
وَٱمْرَأَتُهُۥ قَآئِمَةٌ فَضَحِكَتْ فَبَشَّرْنَـٰهَا بِإِسْحَـٰقَ وَمِن وَرَآءِ إِسْحَـٰقَ يَعْقُوبَ
Dan isterinya pada ketika itu berdiri (mendengar), lalu dia ketawa (kerana hilang perasaan takutnya). Maka Kami pun memberikan berita yang mengembirakan kepadanya (melalui malaikat itu), bahawa dia akan mendapat seorang anak: Ishak, dan sesudah Ishak, (dia pula akan mendapat seorang cucu): Yaakub.
Isteri Nabi Ibrahim as tertawa kerana hilang berasa takutnya. Kemudian malaikat menyampaikan pula berita gembira kepadanya tentang kelahiran seorang anak lelaki yang cerdas yang menjadi pewaris keturunannya iaitu Nabi Ishak as, kemudian Nabi Yakub as.
Kebanyakan para mufassirin menyatakan bahawa isteri Nabi Ibrahim as yang disebutkan dalam ayat ini bernama Sarah.
Ayat 72
قَالَتْ يَـٰوَيْلَتَىٰٓ ءَأَلِدُ وَأَنَا۠ عَجُوزٌ وَهَـٰذَا بَعْلِى شَيْخًا ۖ إِنَّ هَـٰذَا لَشَىْءٌ عَجِيبٌ
Isterinya berkata: “Sungguh ajaib keadaanku! Adakah aku akan melahirkan anak padahal aku sudah tua dan suamiku ini juga sudah tua? Sesungguhnya kejadian ini suatu perkara yang menghairankan”.
Ketika mendengar berita gembira tentang kelahiran seorang anak lelaki yang bernama Ishak, isteri Nabi Ibrahim as iaitu Sarah berasa hairan kerana ketika itu dia sudah tua dan mandul, manakala suaminya juga sudah tua untuk mendapat anak. Ini merupakan perkara yang aneh dan ajaib daripada kebiasaan.
Ayat 73
قَالُوٓا۟ أَتَعْجَبِينَ مِنْ أَمْرِ ٱللَّهِ ۖ رَحْمَتُ ٱللَّهِ وَبَرَكَـٰتُهُۥ عَلَيْكُمْ أَهْلَ ٱلْبَيْتِ ۚ إِنَّهُۥ حَمِيدٌ مَّجِيدٌ
Malaikat-malaikat itu berkata: “Patutkah engkau merasa hairan tentang perkara yang telah ditetapkan oleh Allah? Memanglah rahmat Allah dan berkat-Nya melimpah-limpah kepada kamu, wahai ahli rumah ini. Sesungguhnya Allah Maha terpuji, lagi Maha Melimpah kebaikan dan kemurahan-Nya”.
Lalu malaikat itu mengatakan bahawa Sarah tidaklah perlu berasa hairan terhadap urusan Allah Swt. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala yang dikehendaki-Nya. Dia Maha Terpuji dalam segala perbuatan dan perkataan-Nya. Sekiranya Dia menghendaki sesuatu, cukuplah Dia mengatakan, “Jadilah!” maka terjadilah ia. Firman-Nya:
“Sesungguhnya keadaan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya, “Jadilah!” maka terjadilah ia.”
Yasin 36:82
Ayat 74
فَلَمَّا ذَهَبَ عَنْ إِبْرَٰهِيمَ ٱلرَّوْعُ وَجَآءَتْهُ ٱلْبُشْرَىٰ يُجَـٰدِلُنَا فِى قَوْمِ لُوطٍ
Maka apabila hilang perasaan takut dari hati Nabi Ibrahim, dan sampai kepadanya berita yang mengembirakan itu, (mulailah) dia membantah (utusan-utusan) kami tentang (azab yang akan menimpa) kaum Nabi Lut.
Setelah mendengar penjelasan tentang maksud kedatangan para malaikat, dan berita gembira tentang kelahiran Ishak as dan Yaakub as, maka hilanglah perasaan takut pada diri Nabi Ibrahim as. Lalu Baginda pun bersoal jawab dengan para malaikat tentang kaum Nabi Lut as yang akan diazab oleh Allah Ta’ala.
At-Tabari meriwayatkan daripada Sa’id bin Jubair tentang ayat ini bahawa ketika Jibril berserta rakannya datang menemui Nabi Ibrahim as dan berkata, “Sesungguhnya kami akan membinasakan penduduk negeri (Sadum) ini.” Maka Nabi Ibrahim as berkata, “Apakah kalian akan menghancurkan sebuah negeri yang di dalamnya terdapat tiga ratus orang mukmin?” Para malaikat itu menjawab, “Tidak.” Nabi Ibrahim as berkata, “Apakah kalian akan menghancurkan sebuah negeri yang di dalamnya terdapat dua ratus orang mukmin?” Para malaikat itu menjawab, “Tidak.” Nabi Ibrahim as berkata, “Apakah kalian akan menghancurkan sebuah negeri yang di dalamnya terdapat empat puluh orang mukmin?” Para malaikat itu menjawab, “Tidak.” Lalu dia berkata, “Tiga puluh?” Mereka menjawab, “Tidak.” Hingga sampai lima orang mukmin dan mereka menjawab, “Tidak.” Lalu Nabi Ibrahim as berkata, “Bagaimana pendapat kalian jika di dalamnya terdapat seorang mukmin?” Mereka menjawab, “Tidak.” “Berkata Ibrahim, ‘Sesungguhnya di kota itu ada Lut.’ Para malaikat berkata, ‘Kami lebih mengetahui siapa yang ada di kota itu. Kami sungguh-sungguh akan menyelamatkan dia dan pengikut-pengikutnya kecuali isterinya. Dia adalah termasuk orang-orang yang tertinggal (dibinasakan).’” (Al-‘Ankabut 29:32). Maka Nabi Ibrahim as terdiam dan hatinya menjadi tenang.
Ayat 75
إِنَّ إِبْرَٰهِيمَ لَحَلِيمٌ أَوَّٰهٌ مُّنِيبٌ
Sesungguhnya Nabi Ibrahim, penyabar, lembut hati (bertimbang rasa) lagi suka kembali kepada Allah dengan mengerjakan amal bakti.
Ayat ini merupakan pujian kepada Nabi Ibrahim as yang mempunyai sifat-sifat yang mulia lagi terpuji.
Nabi Ibrahim as adalah seorang yang penyantun, tidak suka disegerakan turunnya seksaan, banyak menundukkkan diri kepada Allah Ta’ala dan berdoa kepada-Nya, selalu kembali kepada-Nya dalam seluruh urusannya. Oleh itu, kelembutan hati dan kasih sayang yang ada pada dirinya menyebabkan Baginda bersoal jawab dengan malaikat.
Ayat 76
يَـٰٓإِبْرَٰهِيمُ أَعْرِضْ عَنْ هَـٰذَآ ۖ إِنَّهُۥ قَدْ جَآءَ أَمْرُ رَبِّكَ ۖ وَإِنَّهُمْ ءَاتِيهِمْ عَذَابٌ غَيْرُ مَرْدُودٍ
(Malaikat-malaikat itu berkata): “Wahai Ibrahim! Janganlah dihiraukan hal ini. Sesungguhnya telah datang perintah Tuhanmu (menghukum mereka), dan sesungguhnya mereka akan didatangi azab yang tidak akan dapat ditolak (oleh bantahan atau doa permohonan)”.
Lalu malaikat mengatakan kepada Nabi Ibrahim as agar tidak lagi bersoal jawab tentang kaum Nabi Lut as. Ini kerana sesungguhnya keputusan untuk menyeksa mereka itu telahpun ditetapkan oleh Allah Ta’ala dan pastinya keputusan itu tidak mungkin dapat ditolak dengan apa cara sekalipun.