Surah 11: Hud (50 – 60)

Kisah Nabi Hud as dan Kaum ‘Aad

Surah 11: Hud (50 – 60)


Ayat 50

وَإِلَىٰ عَادٍ أَخَاهُمْ هُودًا ۚ قَالَ يَـٰقَوْمِ ٱعْبُدُوا۟ ٱللَّهَ مَا لَكُم مِّنْ إِلَـٰهٍ غَيْرُهُۥٓ ۖ إِنْ أَنتُمْ إِلَّا مُفْتَرُونَ

Dan kepada kaum Aad, Kami utuskan saudara mereka: Nabi Hud dia berkata: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripada-Nya. Kamu hanyalah orang-orang yang mengada-adakan perkara-perkara yang dusta (terhadap Allah).

Nabi Hud as diutuskan untuk mengajak kaumya beribadah hanya kepada Allah Swt dan bukan kepada sembahan-sembahan yang mereka ada-adakan.

Ayat 51

يَـٰقَوْمِ لَآ أَسْـَٔلُكُمْ عَلَيْهِ أَجْرًا ۖ إِنْ أَجْرِىَ إِلَّا عَلَى ٱلَّذِى فَطَرَنِىٓ ۚ أَفَلَا تَعْقِلُونَ

Wahai kaumku! Tiadalah aku meminta sebarang upah daripada kamu tentang (ajaran yang aku sampaikan) itu. Upahku hanyalah dari Allah yang menciptakan daku; maka mengapa kamu tidak mahu menggunakan akal (untuk mengetahui kebenaran)?

Allah Ta’ala memerintahkan Nabi Hud as untuk memberitahu kaumnya bahawa Baginda tidak menginginkan upah daripada mereka atas nasihat dan ajaran yang disampaikan. Baginda hanya mengharapkan pahala daripada Allah Swt yang menciptakannya.

Ayat ini juga merupakan satu sindiran kepada kaum Nabi Hud as agar memikirkan tentang kebenaran yang dibawa oleh seorang Rasul. Baginda mengajak mereka melakukan perkara-perkara yang dapat memberikan kebaikan di dunia dan di akhirat tanpa mengharapkan sebarang balasan.

Ayat 52

وَيَـٰقَوْمِ ٱسْتَغْفِرُوا۟ رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُوٓا۟ إِلَيْهِ يُرْسِلِ ٱلسَّمَآءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا وَيَزِدْكُمْ قُوَّةً إِلَىٰ قُوَّتِكُمْ وَلَا تَتَوَلَّوْا۟ مُجْرِمِينَ

Dan wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepada-Nya, supaya Dia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada; dan janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa!

Nabi Hud as menyeru mereka agar memohon keampunan kerana dengan demikian, dapat menghapuskan dosa-dosa yang telah lalu termasuk dosa syirik dan kufur. Baginda juga menyeru mereka agar bertaubat daripada apa yang telah mereka lakukan. Sesiapa yang memiliki sifat suka memohon keampunan (istighfar) dan bertaubat, nescaya Allah Swt akan melimpahkan rezeki kepadanya dalam pelbagai bentuk, mempermudahkan segala urusannya dan memelihara seluruh kehidupannya.

Ayat 53

قَالُوا۟ يَـٰهُودُ مَا جِئْتَنَا بِبَيِّنَةٍ وَمَا نَحْنُ بِتَارِكِىٓ ءَالِهَتِنَا عَن قَوْلِكَ وَمَا نَحْنُ لَكَ بِمُؤْمِنِينَ

Mereka berkata: “Wahai Hud! Engkau tidak membawa kepada kami sebarang keterangan yang membuktikan kebenaranmu, dan kami tidak akan meninggalkan penyembahan tuhan-tuhan kami dengan sebab kata-katamu itu! Dan kami tidak sekali-kali percaya kepadamu!

Ini adalah jawapan kaum Nabi Hud as yang kufur terhadap dakwaan Baginda. Mereka tidak menerima seruan Baginda kerana Baginda tidak mendatangkan sebarang hujjah atau dalil atas pengakuannya sebagai utusan Allah Swt. Oleh itu, mereka tidak akan meninggalkan sembahan-sembahan mereka dan sesungguhnya mereka tidak akan mempercayainya.

Ayat 54

إِن نَّقُولُ إِلَّا ٱعْتَرَىٰكَ بَعْضُ ءَالِهَتِنَا بِسُوٓءٍ ۗ قَالَ إِنِّىٓ أُشْهِدُ ٱللَّهَ وَٱشْهَدُوٓا۟ أَنِّى بَرِىٓءٌ مِّمَّا تُشْرِكُونَ

“Kami hanya boleh berkata bahawa setengah dari tuhan-tuhan kami telah mengenakanmu sesuatu penyakit gila (disebabkan engkau selalu mencaci penyembahan kami itu)”. Nabi Hud menjawab: “Sesungguhnya aku menyeru Allah menjadi saksi tentang kebenaranku, dan kamu juga saksikanlah bahawa aku bersih dari dosa perbuatan syirik kamu.”

Ayat ini merupakan sambungan daripada ayat sebelum ini iaitu tentang penentangan kaum Nabi Hud as terhadap Baginda yang menyeru mereka mentauhidkan Allah Swt dan meninggalkan sembahan-sembahan mereka. Mereka mendakwa Baginda hanya menyatakannya tanpa memberikan sebarang bukti atau hujah yang nyata.

Malah tentangan ini lebih keras daripada sebelumnya dengan mengatakan sembahan-sembahan merekalah yang menyebabkan Nabi Hud as menjadi gila kerana Baginda telah menghina dan menghalang mereka daripada menyembah sembahan-sembahan tersebut.

Apabila melihat sikap keras kepala, sombong dan tindakan bodoh kaumnya yang kufur untuk terus bertaklid buta menyembah sembahan mereka yang tidak sedikitpun dapat memberi manfaat atau mudharat, Nabi Hud as mengatakan Baginda berlepas diri daripada kekufuran mereka dan apa yang mereka sekutukan.

Ayat 55

مِن دُونِهِۦ ۖ فَكِيدُونِى جَمِيعًا ثُمَّ لَا تُنظِرُونِ

“Menyembah yang lain dari Allah. Maka rancangkanlah tipu helah kamu semua terhadapku, kemudian jalankan terus, janganlah kamu beri tempoh kepadaku mempertahankan diri.”

Kemudian Nabi Hud as mencabar kaumnya yang kufur dan sembahan-sembahan tersebut agar segera menjalankan tipu daya ke atas dirinya sekiranya mereka adalah orang-orang yang benar.

Ayat 56

إِنِّى تَوَكَّلْتُ عَلَى ٱللَّهِ رَبِّى وَرَبِّكُم ۚ مَّا مِن دَآبَّةٍ إِلَّا هُوَ ءَاخِذٌۢ بِنَاصِيَتِهَآ ۚ إِنَّ رَبِّى عَلَىٰ صِرَٰطٍ مُّسْتَقِيمٍ

“Kerana sesungguhnya aku telah berserah diri kepada Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu! Tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di muka bumi melainkan Allah jualah yang menguasainya. Sesungguhnya Tuhanku tetap di atas jalan yang lurus.”

Seterusnya Nabi Hud as dengan yakin mengatakan bahawa Baginda telah menyerahkan semua perkara kepada Allah Swt iaitu Rabbnya dan Rabb mereka juga yang menjaganya. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu dan Baginda berada di atas jalan yang lurus.

Perkataan ubun-ubun dalam ayat di atas merupakan satu perumpamaan iaitu yang memegang adalah yang berkuasa penuh terhadap yang dipegang, manakala yang dipegang pula sangat lemah dan hina. Oleh itu, bolehlah difahami bahawa tidak ada satu pun makhluk dapat menimpakan bahaya kepada Nabi Hud as, walaupun semuanya berkumpul kecuali dengan izin Allah Swt.

Segala peraturan yang datang daripada Allah Swt semuanya adil, benar dan penuh dengan hikmah (kebijaksanaan). Qadha’ dan qadar-Nya, syariat-Nya dan balasan-Nya adalah terpuji. Sesungguhnya hanya Allah Swt yang berhak dipuji dan disanjung. Maha Suci Allah daripada segala sifat kekurangan.

Ayat 57

فَإِن تَوَلَّوْا۟ فَقَدْ أَبْلَغْتُكُم مَّآ أُرْسِلْتُ بِهِۦٓ إِلَيْكُمْ ۚ وَيَسْتَخْلِفُ رَبِّى قَوْمًا غَيْرَكُمْ وَلَا تَضُرُّونَهُۥ شَيْـًٔا ۚ إِنَّ رَبِّى عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ حَفِيظٌ

“Dalam pada itu, jika kamu membelakangkan juga seruanku, maka tidaklah menjadi hal kepadaku kerana aku telah sampaikan kepada kamu apa yang telah diutus oleh Allah untuk menyampaikannya, dan Tuhanku akan menggantikan kamu dengan suatu kaum yang lain (setelah kamu dibinasakan); dan kamu pula tidak akan dapat membahayakan-Nya sedikitpun. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengawal dan Pemelihara tiap-tiap sesuatu.”

Nabi Hud as mengingatkan kaumnya bahawa jika mereka berpaling daripada apa yang telah disampaikannya dan tetap mendustakannya sebagai utusan Allah Ta’ala, maka Dia akan membinasakan mereka dan menggantikan dengan kaum yang lain.

Selanjutnya Nabi Hud as menegaskan bahawa mereka tidak akan dapat sedikitpun memberi mudharat kepada Allah Ta’ala disebabkan berpaling daripada keimanan atau dengan sebab-sebab lainnya.

Sesungguhnya Allah Maha Pemelihara segala sesuatu dengan cermat sesuai dengan sunnah-Nya yang ditentukan oleh iradah-Nya, antara lain menolong para Rasul-Nya dan menimpakan azab kepada musuh-musuh Rasul-Nya.

Sesungguhnya amalan baik seseorang hamba tidak memberikan sebarang manfaat kepada Allah Swt. Begitu juga amalan maksiat tidak mendatangkan mudarat kepada-Nya. Namun amalan tersebut pasti memberi kesan kepada pelakunya sama ada balasan yang baik atau sebaliknya. Amalan tersebut pasti akan mendapat balasan. Amalan yang menepati ajaran Allah Swt dan Rasul-Nya akan mendapat pahala, manakala yang menyelisihinya akan mendapat seksaan.

Ayat 58

وَلَمَّا جَآءَ أَمْرُنَا نَجَّيْنَا هُودًا وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مَعَهُۥ بِرَحْمَةٍ مِّنَّا وَنَجَّيْنَـٰهُم مِّنْ عَذَابٍ غَلِيظٍ

Dan apabila datang azab Kami, Kami selamatkan Nabi Hud beserta dengan umatnya yang beriman, dengan rahmat dari Kami; dan Kami selamatkan mereka dari azab yang keras.

Ayat ini menyatakan bahawa Allah Swt telah menyelamatkan Nabi Hud as dan pengikut-pengikutnya yang beriman daripada azab dunia, dan di akhirat pula mereka akan terselamat daripada seksaan neraka. Ini merupakan sifat Rahmat dan Kelembutan-Nya terhadap orang-orang yang beriman.

Orang-orang yang mengingkari ajaran Nabi Hud as dibinasakan oleh Allah Swt dengan angin ribut yang sangat kencang. Hal ini juga dinyatakan dalam firman-firman-Nya:

“Sesungguhnya Kami telah menghantarkan kepada mereka angin ribut yang sangat kencang pada hari nahas yang terus menerus, yang menumbangkan manusia bergelimpangan seakan-akan mereka pokok kurma yang tumbang.”

Al-Qamar 54:19-20

“Adapun kaum ‘Aad maka mereka telah dibinasakan dengan angin yang sangat dingin lagi amat kencang, yang diarahkan angin itu kepada mereka selama tujuh malam dan lapan hari terus menerus, (kalaulah engkau menyaksikannya) maka engkau akan melihat kaum ‘Aad pada waktu itu mati bergelimpangan seakan-akan mereka tunggul pohon kurma yang telah kosong (lapuk).”

Al-Haqqah 69:6-7

Ayat 59

وَتِلْكَ عَادٌ ۖ جَحَدُوا۟ بِـَٔايَـٰتِ رَبِّهِمْ وَعَصَوْا۟ رُسُلَهُۥ وَٱتَّبَعُوٓا۟ أَمْرَ كُلِّ جَبَّارٍ عَنِيدٍ

Dan itulah peristiwa kaum Aad mereka mengingkari ayat-ayat keterangan Tuhan mereka, serta mereka menderhaka kepada Rasul-rasulnya; dan mereka menurut perintah tiap-tiap ketua yang bermaharajalela, lagi degil dalam keingkarannya.

Allah Subhaanahu wa Ta‘ala memberitahu Nabi Muhammad saw bahawa inilah akibat yang menimpa kaum Nabi Hud as kerana mengingkari ajaran yang dibawa oleh Baginda.

Perkataan “Rasul” dalam ayat di atas adalah berbentuk jamak. Ini bermaksud mendustakan seorang Rasul sama seperti mendustakan semua Rasul kerana ajaran yang mereka bawa adalah sama iaitu mentauhidkan Allah Swt.

Mereka meninggalkan ketaatan kepada Rasul yang membawa petunjuk dan mengikuti perintah para pemimpin yang menentang kebenaran.

Ayat 60

وَأُتْبِعُوا۟ فِى هَـٰذِهِ ٱلدُّنْيَا لَعْنَةً وَيَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ ۗ أَلَآ إِنَّ عَادًا كَفَرُوا۟ رَبَّهُمْ ۗ أَلَا بُعْدًا لِّعَادٍ قَوْمِ هُودٍ

Dan mereka ditimpa laknat (yang tidak putus-putus) dalam dunia ini dan pada hari kiamat. Ketahuilah sesungguhnya kaum Aad itu telah kufur ingkar kepada Tuhan mereka! Sesungguhnya kebinasaanlah akhirnya bagi Aad: kaum Nabi Hud.

Oleh sebab keingkaran dan kekufuran mereka terhadap Allah Swt, mengingkari ayat-ayat-Nya, mendustakan Nabi Hud as dan nikmat-nikmat-Nya, maka mereka layak untuk mendapat kemurkaan-Nya dan kebinasaan serta dijauhkan daripada rahmat-Nya sehingga mereka mendapat kutukan di dunia dan di akhirat.