Sesiapa yang Hanya Menghendaki Dunia Tiada Bahagian baginya di Akhirat
Surah 11: Hud (15 – 16)
Ayat 15
مَن كَانَ يُرِيدُ ٱلْحَيَوٰةَ ٱلدُّنْيَا وَزِينَتَهَا نُوَفِّ إِلَيْهِمْ أَعْمَـٰلَهُمْ فِيهَا وَهُمْ فِيهَا لَا يُبْخَسُونَ
Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh Al-Quran tentang sah batalnya), maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikitpun padanya.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa sesiapa yang keinginannya hanya terbatas kepada kecintaan dunia baik berupa harta dan pakaian, perhiasan dan peralatan rumah dan sebagainya serta tidak menyediakan bekalan untuk mendapatkan kebahagiaan di akhirat, maka kepada mereka ini diberikan juga balasan dengan sempurna apa yang mereka inginkan di dunia sesuai dengan sunnatullah (peraturan-Nya). Dia tidak akan mengurangi sedikit pun hasil usaha mereka walaupun mereka kufur terhadap-Nya.
Hal ini menunjukkan bahawa balasan amalan seseorang di dunia itu bergantung kepada dua perkara iaitu usaha dan ketentuan (qadar dan qadha’) Allah Ta’ala. Manakala balasan di akhirat pula adalah bergantung kepada perbuatan-Nya semata-mata, tanpa seorang pun menjadi perantaraan-Nya. Firman-firman-Nya:
“Sesiapa menghendaki kehidupan sekarang (duniawi), maka Kami segerakan baginya di dunia itu apa yang kami kehendaki bagi orang yang kami kehendaki dan Kami tentukan baginya neraka Jahannam, dia akan memasukinya dalam keadaan tercela dan terusir. Dan sesiapa yang menghendaki kehidupan akhirat dan berusaha ke arah itu dengan sungguh-sungguh sedang dia adalah mukmin, maka mereka itu adalah orang-orang yang usahanya dibalas dengan baik.”
Al-Isra’ 17:18-19
“Sesiapa yang menghendaki keuntungan di akhirat akan Kami tambah keuntungan itu baginya, dan sesiapa yang menghendaki keuntungan di dunia, Kami berikan kepadanya sebahagian daripada keuntungan dunia dan tidak ada baginya suatu bahagian pun di akhirat.”
Asy-Syura 42:20
Daripada Umar ra, dia berkata, Rasulullah saw bersabda:
“Sesungguhnya amal perbuatan itu tergantung pada niat dan setiap seseorang tergantung apa yang diniatkan. Barangsiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan barangsiapa yang hijrahnya untuk tujuan dunia, dia akan mendapatkannya atau tujuan perempuan yang akan dinikahinya, maka hijrahnya itu kepada apa yang diniatkannya itu.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Ayat 16
أُو۟لَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ لَيْسَ لَهُمْ فِى ٱلْـَٔاخِرَةِ إِلَّا ٱلنَّارُ ۖ وَحَبِطَ مَا صَنَعُوا۟ فِيهَا وَبَـٰطِلٌ مَّا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ
Merekalah orang-orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab neraka, dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batallah apa yang mereka telah kerjakan.
Orang-orang yang hidup di dunia hanya semata-mata bercita-cita mencari kemewahan tidak akan mendapat sesuatu apa pun di akhirat kecuali neraka. Ini kerana apabila seseorang itu tidak beramal untuk akhirat, maka dia tidak akan mendapat balasan untuk akhirat. Allah Swt akan memberikan balasan kebaikannya di dunia sahaja.
Apa sahaja yang mereka lakukan di dunia dahulu yang pada zahirnya mereka berbuat kebaikan seperti bersedekah, bersilaturrahim, berbaik-baik sesama manusia secara harmoni, namun semua yang dilakukan itu bukan untuk mendekatkan diri dengan Allah Ta’ala, maka perbuatan mereka itu sia-sia sahaja.