Allah Swt Menjamin Rezeki yang Cukup untuk Seluruh Makhluk-Nya
Surah 11: Hud (6)
Ayat 6
وَمَا مِن دَآبَّةٍ فِى ٱلْأَرْضِ إِلَّا عَلَى ٱللَّهِ رِزْقُهَا وَيَعْلَمُ مُسْتَقَرَّهَا وَمُسْتَوْدَعَهَا ۚ كُلٌّ فِى كِتَـٰبٍ مُّبِينٍ
Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat berdiam dan tempat penyimpanannya. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh Mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan).
Allah Swt menyatakan bahawa tidak ada satu pun daripada jenis binatang melata yang ada di bumi, di laut ataupun di udara sama ada yang merayap, merangkak mahupun yang berjalan dengan kedua-dua kakinya, kecuali semuanya dijamin rezeki oleh-Nya. Semuanya ini diatur dengan hikmah dan kebijaksanaan-Nya bersesuaian dengan keadaan masing-masing.
Semua perkara yang disebutkan dalam ayat ini iaitu tentang binatang, rezeki, tempat berdiam dan tempat penyimpanan mereka, telah tertulis dalam takdir dan ketentuan Allah Ta’ala di Lauh Mahfuzh. Firman-Nya:
“Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang ghaib, tidak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri, dan Dia mengetahui apa yang di daratan dan di lautan, dan tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya (pula), dan tidak jatuh sebutir biji pun dalam kegelapan bumi, dan tidak sesuatu yang basah atau yang kering, melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfuz).”
Al-An’am 6: 59
Ada sebahagian ahli tafsir berpendapat bahawa maksud, “tempat berdiam,” ialah dunia dan “tempat penyimpanannya,” ialah akhirat. Manakala sebahagian ahli tafsir yang lain pula menyatakan maksud “tempat berdiam,” ialah tulang sulbi dan “tempat penyimpanannya,” ialah rahim.