Perintah agar Beribadah kepada Allah Swt sahaja
Surah 11: Hud (1 – 4)
Ayat 1
الٓر ۚ كِتَـٰبٌ أُحْكِمَتْ ءَايَـٰتُهُۥ ثُمَّ فُصِّلَتْ مِن لَّدُنْ حَكِيمٍ خَبِيرٍ
Alif, Laam, Raa’. Al-Quran sebuah Kitab yang tersusun ayat-ayatnya dengan tetap teguh, kemudian dijelaskan pula kandungannya satu persatu. (Susunan dan penjelasan itu) adalah dari sisi Allah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam pengetahuan-Nya.
Allah Swt memulainya dengan tiga huruf iaitu Alif, Lam, Ra sama seperti pada permulaan surah Yunus yang lepas, yang bermaksud untuk mengambil perhatian daripada para pendengar.
Kemudian Allah Ta’ala menerangkan bahawa Al-Quran itu adalah sebuah kitab yang sangat agung dan ayat-ayatnya tersusun rapi, sempurna dan mempunyai maksud yang sangat jelas. Ini kerana ia datang dari sisi Allah Yang Maha Bijaksana dalam seluruh firman dan hukum-hukum-Nya serta Dia Maha Mengetahui lagi Maha Teliti segala hajat dan keperluan hamba-hamba-Nya.
Ayat 2
أَلَّا تَعْبُدُوٓا۟ إِلَّا ٱللَّهَ ۚ إِنَّنِى لَكُم مِّنْهُ نَذِيرٌ وَبَشِيرٌ
(Al-Quran yang demikian sifatnya diturunkan oleh Allah) supaya janganlah kamu menyembah sesuatupun melainkan Allah. (Katakanlah wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku diutus oleh Allah kepada kamu, sebagai pemberi amaran (kepada orang-orang yang (ingkar), dan pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang (beriman).
Kemudian Allah Swt menjelaskan bahawa Al-Quran yang ayat-ayatnya tersusun rapi dengan penjelasan hujjah-hujah yang jelas ini diturunkan agar manusia tidak menyembah sesuatu kecuali menyembah-Nya sahaja, tidak ada sekutu bagi-Nya. Firman-firman-Nya:
“Dan Kami tidak mengutus seorang Rasul pun sebelum kamu melainkan Kami wahyukan kepadanya, ’Bahawasanya tidak ada Ilah (yang hak) melainkan Aku, maka sembahlah olehmu sekalian akan Aku.’”
Al-Anbiya’ 21:25
“Dan sungguhnya Kami telah mengutus Rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan), “Sembahlah Allah (sahaja), dan jauhilah taghut itu,” maka di antara umat itu ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula di antaranya orang-orang yang telah pasti kesesatan baginya. Maka berjalanlah kamu di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan (Rasul-rasul).“
An-Nahl 16:36
Seterusnya Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah saw mengatakan kepada kaum musyrik bahawa Baginda diutuskan-Nya hanyalah sebagai pemberi peringatan tentang azab-Nya jika menderhakai-Nya dan pembawa khabar gembira tentang pahala jika mentaati-Nya.
Hal ini sebagaimana yang disebutkan dalam hadis sahih, bahawasanya Rasulullah saw pernah menaiki bukit Safa dan menyeru keturunan Quraisy yang paling dekat kekerabatannya untuk berkumpul. Selanjutnya Baginda bersabda:
“Wahai sekalian kaum Quraisy, bagaimana menurut pendapat kalian, bahawa pasukan kuda akan menyerbu kalian pada pagi hari, bukankah kalian mempercayaiku?” Mereka menjawab, “Kami tidak pernah mendapati kamu berdusta.” Baginda bersabda: “Sesungguhnya aku adalah pemberi peringatan bagi kalian terhadap azab yang sangat pedih.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Ayat 3
وَأَنِ ٱسْتَغْفِرُوا۟ رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُوٓا۟ إِلَيْهِ يُمَتِّعْكُم مَّتَـٰعًا حَسَنًا إِلَىٰٓ أَجَلٍ مُّسَمًّى وَيُؤْتِ كُلَّ ذِى فَضْلٍ فَضْلَهُۥ ۖ وَإِن تَوَلَّوْا۟ فَإِنِّىٓ أَخَافُ عَلَيْكُمْ عَذَابَ يَوْمٍ كَبِيرٍ
Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepada-Nya; supaya Dia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) Dia akan memberi kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal yang soleh) akan pahala kelebihannya itu; dan jika kamu berpaling (membelakangkan tiga perkara itu), maka sesungguhnya aku bimbang kamu akan beroleh azab hari kiamat yang besar (huru-haranya).
Allah Ta’ala memerintahkan Nabi Muhammad saw menyeru kaum musyrik agar mereka memohon ampun dan bertaubat kepada-Nya terhadap dosa perbuatan-perbuatan syirik, kekafiran dan kejahatan yang mereka lakukan dahulu. Jika mereka bertaubat nescaya di akhirat kelak Dia akan memberikan kurniaan-Nya yang banyak.
Sesudah itu mereka hendaklah berterusan bertaubat kepada Allah Ta’ala, taat mengikuti perintah-Nya dan beribadah hanya kepada-Nya sepenuh hati serta tidak menyembah selain-Nya seperti patung-patung atau berhala-berhala dan sebagainya.
Pada akhir ayat ini, Allah Swt menyatakan sekiranya manusia berpaling daripada tauhid dan tidak mahu bertaubat bahkan terus-menerus dalam kemusyrikan dan kemaksiatan, tentulah mereka akan mengalami kehancuran atau kemelaratan hidup serta mendapat azab Allah Swt pada Hari Kiamat, sesuai dengan sunnatullah pada umat manusia.
Ayat 4
إِلَى ٱللَّهِ مَرْجِعُكُمْ ۖ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ
Kepada Allah jualah kembalinya kamu, dan Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”.
Allah Swt menegaskan bahawa semua umat manusia baik yang beriman ataupun kafir, yang bertaubat ataupun yang ingkar dan yang bermaksiat, akan kembali kepada-Nya apabila sudah sampai masa yang telah ditentukan, tidak seorang pun yang tertinggal. Mereka akan menerima pembalasan-Nya yang seadil-adilnya.
Maha Suci Allah daripada sebarang kekurangan dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dia memberi kebaikan kepada orang yang mencintai-Nya dan Dia berikan keburukan kepada orang yang memusuhi-Nya.