Petunjuk adalah untuk Kebaikan, Kesesatan Membawa kepada Kecelakaan dan Perintah untuk Bersabar
Surah 10: Yunus (108 – 109)
Ayat 108
قُلْ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ قَدْ جَآءَكُمُ ٱلْحَقُّ مِن رَّبِّكُمْ ۖ فَمَنِ ٱهْتَدَىٰ فَإِنَّمَا يَهْتَدِى لِنَفْسِهِۦ ۖ وَمَن ضَلَّ فَإِنَّمَا يَضِلُّ عَلَيْهَا ۖ وَمَآ أَنَا۠ عَلَيْكُم بِوَكِيلٍ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai sekalian manusia! Telah datang kepada kamu kebenaran (Al-Quran) dari Tuhan kamu. Oleh itu sesiapa yang mendapat hidayah petunjuk (beriman kepadanya), maka faedah hidayah petunjuk itu terpulang kepada dirinya sendiri; dan sesiapa yang sesat (mengingkarinya) maka bahaya kesesatannya itu tertimpa ke atas dirinya sendiri dan aku pula bukanlah menjadi wakil yang menguruskan soal (iman atau keingkaran) kamu”.
Allah Swt memerintahkan Rasul-Nya memberitahu kepada manusia bahawa apa yang Baginda sampaikan kepada mereka dari sisi-Nya adalah benar, tiada keraguan dan tiada kebimbangan di dalamnya.
Oleh itu, sesiapa yang mendapat petunjuk dengannya dan mengikutinya, maka sesungguhnya manfaat daripada perbuatannya itu adalah untuk dirinya sendiri. Namun sesiapa yang sesat daripadanya, maka sesungguhnya kemudaratan dan akibatnya hanyalah akan menimpa dirinya sendiri.
Ini kerana Rasulullah saw bukanlah ditugaskan untuk mengawasi orang-orang musyrik agar mereka beriman. Sesungguhnya Baginda hanyalah seorang pemberi peringatan kepada mereka, sedangkan yang memberi hidayah (petunjuk) hanyalah Allah Swt.
Ayat 109
وَٱتَّبِعْ مَا يُوحَىٰٓ إِلَيْكَ وَٱصْبِرْ حَتَّىٰ يَحْكُمَ ٱللَّهُ ۚ وَهُوَ خَيْرُ ٱلْحَـٰكِمِينَ
Dan turutlah apa yang diwahyukan kepadamu serta bersabarlah (dalam perjuangan mengembangkan Islam) sehingga Allah menghukum (di antaramu dengan golongan yang ingkar, dan memberi kepadamu kemenangan yang telah dijanjikan), kerana Dia-lah sebaik-baik Hakim.
Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw agar tetap berdakwah dan bersabar dalam menghadapi gangguan orang-orang musyrik. Ini kerana Dia akan memenangkan Baginda terhadap musuh-musuh-Nya dalam peperangan dan seterusnya memenangkan agama-Nya. Dia akan menghukum orang-orang musyrik dengan keadilan-Nya yang sempurna.