Surah 10: Yunus (99 – 100)

Tiada Seorang pun akan Beriman kecuali dengan Izin Allah Swt

Surah 10: Yunus (99 – 100)


Ayat 99

وَلَوْ شَآءَ رَبُّكَ لَـَٔامَنَ مَن فِى ٱلْأَرْضِ كُلُّهُمْ جَمِيعًا ۚ أَفَأَنتَ تُكْرِهُ ٱلنَّاسَ حَتَّىٰ يَكُونُوا۟ مُؤْمِنِينَ

Dan (bukanlah tanggungjawabmu wahai Muhammad menjadikan seluruh umat manusia beriman), jika Tuhanmu menghendaki nescaya berimanlah sekalian manusia yang ada di bumi. (Janganlah engkau bersedih hati tentang kedegilan orang-orang yang ingkar itu; kalau Tuhan tidak menghendaki) maka patutkah engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman?

Ayat ini menerangkan bahawa jika Allah Swt berkehendak agar seluruh manusia beriman kepada-Nya, maka hal itu akan terlaksana. Namun Dia mempunyai hikmah terhadap apa yang dilakukan-Nya. Firman-Nya:

“Jikalau Rabbmu menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka sentiasa berselisih pendapat, kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Rabbmu. Dan untuk itulah Allah menciptakan mereka. Kalimat Rabbmu (keputusan-Nya) telah ditetapkan, sesungguhnya Aku akan memenuhi neraka Jahannam dengan jin dan manusia (yang derhaka) semuanya.”

Hud 13:118-119

Oleh itu, bukanlah menjadi tanggungjawab Rasulullah saw menjadikan sekalian manusia beriman. Tugas Baginda hanyalah menyampaikan dengan memberi peringatan dan khabar gembira. Firman-firman Allah Swt:

“Jika mereka berpaling maka Kami tidak mengutus kamu sebagai pengawas bagi mereka. Kewajipanmu tidak lain hanyalah menyampaikan (risalah). Sesungguhnya apabila Kami merasakan kepada manusia sesuatu rahmat dari Kami dia bergembira ria kerana rahmat itu. Dan jika mereka ditimpa kesusahan disebabkan perbuatan tangan mereka sendiri (nescaya mereka ingkar) kerana sesungguhnya manusia itu amat ingkar (kepada nikmat).”

Asy-Syura 42:48

“Maka berilah peringatan, kerana sesungguhnya kamu hanyalah orang yang memberi peringatan. Kamu bukanlah orang yang berkuasa atas mereka.”

Al-Ghasiyah 88:21-22

Ayat 100

وَمَا كَانَ لِنَفْسٍ أَن تُؤْمِنَ إِلَّا بِإِذْنِ ٱللَّهِ ۚ وَيَجْعَلُ ٱلرِّجْسَ عَلَى ٱلَّذِينَ لَا يَعْقِلُونَ

Dan tiadalah sebarang kuasa bagi seseorang untuk beriman melainkan dengan izin Allah (melalui undang-undang dan peraturan-Nya); dan Allah menimpakan azab atas orang-orang yang tidak mahu memahami (perintah-perintah-Nya).

Allah Maha Berkuasa berbuat sesuatu dengan kehendak-Nya. Dia akan memberikan hidayah atau menyesatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya. Semua ini sudah tentu dalam pengetahuan, hikmah dan keadilan-Nya. Dia Maha Adil dalam memberikan petunjuk kepada orang yang berhak mendapat petunjuk, dan menyesatkan orang yang berhak untuk disesatkan.