Larangan agar Tidak Mendustakan Ayat Allah Swt
Surah 10: Yunus (94 – 97)
Ayat 94
فَإِن كُنتَ فِى شَكٍّۢ مِّمَّآ أَنزَلْنَآ إِلَيْكَ فَسْـَٔلِ ٱلَّذِينَ يَقْرَءُونَ ٱلْكِتَـٰبَ مِن قَبْلِكَ ۚ لَقَدْ جَآءَكَ ٱلْحَقُّ مِن رَّبِّكَ فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ ٱلْمُمْتَرِينَ
Oleh sebab itu, sekiranya engkau (wahai Muhammad) merasa ragu-ragu tentang apa yang Kami turukan kepadamu, maka bertanyalah kepada orang-orang yang membaca kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu (kerana mereka mengetahui kebenarannya). Sesungguhnya telah datang kepadamu kebenaran dari Tuhanmu, maka jangan sekali-kali engkau menjadi dari golongan yang ragu-ragu.
Allah Ta’ala mengingatkan Rasulullah saw, sekiranya Baginda ragu-ragu terhadap hakikat apa yang Dia ceritakan, Baginda bolehlah bertanya kepada orang-orang sebelum Baginda yang membaca kitab Taurat dan Injil. Ini kerana sesungguhnya perkara itu termuat dalam kitab-kitab suci mereka. Firman-Nya:
“(Iaitu) orang-orang yang mengikuti Rasul, Nabi yang ummi yang (namanya) mereka dapati tertulis di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka…………………”
Al-A’raf 7:157
Allah Ta’ala juga menerangkan sesungguhnya telah datang kebenaran yang meyakinkan daripada-Nya bahawa Rasulullah saw benar-benar utusan-Nya. Orang-orang Yahudi dan Nasrani benar-benar mengetahui kebenaran itu tetapi mereka mengingkarinya. Oleh itu, Allah Ta’ala mengajarkan kepada Baginda agar tidak termasuk dalam golongan orang-orang yang ragu-ragu.
Ayat 95
وَلَا تَكُونَنَّ مِنَ ٱلَّذِينَ كَذَّبُوا۟ بِـَٔايَـٰتِ ٱللَّهِ فَتَكُونَ مِنَ ٱلْخَـٰسِرِينَ
Dan jangan sekali-kali engkau menjadi dari golongan yang mendustakan ayat-ayat Allah, kerana dengan itu engkau akan menjadi dari orang-orang yang rugi.
Allah Ta’ala juga mengingatkan Rasulullah saw agar tidak sekali-kali termasuk dalam golongan orang-orang yang mendustakan hujjah-hujjahNya yang akan menyebabkan Baginda termasuk orang-orang yang rugi.
Ayat 96
إِنَّ ٱلَّذِينَ حَقَّتْ عَلَيْهِمْ كَلِمَتُ رَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ
Sesungguhnya orang-orang yang telah ditetapkan atas mereka hukuman Tuhanmu (dengan azab), mereka tidak akan beriman:
Ayat 97
وَلَوْ جَآءَتْهُمْ كُلُّ ءَايَةٍ حَتَّىٰ يَرَوُا۟ ٱلْعَذَابَ ٱلْأَلِيمَ
Walaupun datang kepada mereka segala jenis keterangan dan tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah dan kebenaran Rasul-rasul-Nya), sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya.
Ayat 96 dan 97 ini menjelaskan bahawa orang-orang yang telah ditetapkan oleh Allah Ta’ala di Lauh Mahfuz akan mati dalam kekafiran, selama-lamanya mereka tidak akan beriman meskipun mereka mengetahui hujjah dan bukti-bukti yang jelas daripada kitab-kitab mereka.
Mereka hanya akan yakin setelah mereka menyaksikan azab yang menimpa mereka. Ketika itu tidak berguna lagi penyesalan dan taubat.