Surah 10: Yunus (75 – 93)

Kisah Nabi Musa as dan Firaun

Surah 10: Yunus (75 – 93)


Ayat 75

ثُمَّ بَعَثْنَا مِنۢ بَعْدِهِم مُّوسَىٰ وَهَـٰرُونَ إِلَىٰ فِرْعَوْنَ وَمَلَإِي۟هِۦ بِـَٔايَـٰتِنَا فَٱسْتَكْبَرُوا۟ وَكَانُوا۟ قَوْمًا مُّجْرِمِينَ

Kemudian Kami utuskan sesudah Rasul-rasul itu, Nabi Musa dan Nabi Harun, kepada Firaun dan kaumnya dengan membawa ayat-ayat Kami; lalu mereka (Firaun dan kaumnya) berlaku sombong takbur (enggan menerimanya), dan mereka adalah kaum yang biasa melakukan dosa.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa selepas diutuskan rasul-rasul terdahulu, diutuskan-Nya pula Nabi Musa as dan Nabi Harun as kepada Firaun dan kaumnya. Mereka berdua membawa hujjah dan bukti-bukti keesaan-Nya namun Firaun dan kaumnya tetap enggan menerima ajaran mereka.

Ayat 76

فَلَمَّا جَآءَهُمُ ٱلْحَقُّ مِنْ عِندِنَا قَالُوٓا۟ إِنَّ هَـٰذَا لَسِحْرٌ مُّبِينٌ

Oleh sebab itu ketika datang kepada mereka kebenaran dari sisi Kami, berkatalah mereka: “Sesungguhnya ini ialah sihir yang nyata”.

Mukjizat yang dikurniakan oleh Allah Swt kepada Nabi Musa as ialah tongkatnya berubah menjadi ular yang besar dan tangannya bercahaya. Firman-firman-Nya:

“Lalu dilemparkannyalah tongkat itu, maka tiba-tiba ia menjadi seekor ular yang merayap dengan cepat.”

Taha 20:20

“Dan dia (Musa) mengeluarkan tangannya, maka ketika itu juga tangan itu menjadi putih bercahaya (kelihatan) oleh orang-orang yang melihatnya.”

Al-A’raf 7:108

Walaupun mereka menyaksikan mukjizat tersebut, mereka tetap menolak kebenaran dengan mengatakan bahawa semua itu adalah sihir yang nyata, padahal mereka mengetahui apa yang mereka katakan itu adalah kebohongan. Firman Allah Swt:

“Dan mereka mengingkarinya kerana kezaliman dan kesombongan (mereka) padahal hati mereka meyakini (kebenaran)nya……………….”

An-Naml 27:14

Ayat 77

قَالَ مُوسَىٰٓ أَتَقُولُونَ لِلْحَقِّ لَمَّا جَآءَكُمْ ۖ أَسِحْرٌ هَـٰذَا وَلَا يُفْلِحُ ٱلسَّـٰحِرُونَ

(Mendengarkan yang demikian), Nabi Musa bertanya: Patutkah kamu berkata demikian terhadap sesuatu kebenaran ketika datangnya kepada kamu? Adakah bawaanku ini sihir? Sedang ahli-ahli sihir itu sudah tetap tidak akan berjaya”.

Nabi Musa as diutuskan oleh Allah Swt kepada mereka dengan membawa keterangan tentang keesaanNya tetapi ditentang oleh kaumnya. Oleh itu, Baginda menafikan tuduhan kaumnya dengan menyatakan bahawa tidak patut mereka berkata demikian terhadap sesuatu kebenaran. Ini kerana apa yang dibawa oleh Baginda bukanlah sihir.

Ayat 78

قَالُوٓا۟ أَجِئْتَنَا لِتَلْفِتَنَا عَمَّا وَجَدْنَا عَلَيْهِ ءَابَآءَنَا وَتَكُونَ لَكُمَا ٱلْكِبْرِيَآءُ فِى ٱلْأَرْضِ وَمَا نَحْنُ لَكُمَا بِمُؤْمِنِينَ

Mereka pula berkata: “Adakah engkau datang (wahai Musa) untuk memesongkan kami dari penyembahan berhala yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya, dan untuk membolehkan kamu berdua membolot kekuasaan di bumi (Mesir)? Dan (ketahuilah) sebenarnya kami tidak akan beriman kepada kamu berdua”.

Firaun dan kaumnya memberikan dua alasan mengapa mereka menolak dakwah dan seruan Nabi Musa as:

▪️    Mereka bertaklid dan berpegang teguh kepada ajaran nenek moyang mereka dan menolak hujjah yang nyata hanya dengan tekad dan keinginan keras mereka.

▪️    Mereka menuduh Nabi Musa as dan Nabi Harun as tamak untuk mendapatkan keduniaan dan kekuasaan di bumi Mesir.

Ayat 79

وَقَالَ فِرْعَوْنُ ٱئْتُونِى بِكُلِّ سَـٰحِرٍ عَلِيمٍ

Dan berkatalah Firaun (kepada orang-orangnya): “Bawalah kamu kepadaku segala ahli sihir yang mahir”.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa Firaun berkeinginan untuk mengalihkan manusia daripada mengikuti kebenaran dan menentang apa yang dibawa oleh Nabi Musa as. Firaun ingin menentang mukjizat Nabi Musa as yang dikatakannya semata-mata sihir.

Lalu Firaun memerintahkan kaumnya memanggil ahli-ahli sihir yang pandai supaya dapat menandingi dan menghancurkan mukjizat-mukjizat Nabi Musa as. Tindakan Firaun yang demikian itu adalah bertujuan memelihara martabat kemuliaannya dan menghalang perkembangan kekuatan Nabi Musa as dan Bani Israil dalam kerajaannya.

Ayat 80

فَلَمَّا جَآءَ ٱلسَّحَرَةُ قَالَ لَهُم مُّوسَىٰٓ أَلْقُوا۟ مَآ أَنتُم مُّلْقُونَ

Setelah datang ahli-ahli sihir itu, Nabi Musa berkata kepada mereka:” Campakkanlah kamu dahulu apa yang kamu hendak campakkan (diri benda-benda yang kamu jadikan sihir itu)!”

Setelah ahli-ahli sihir itu datang, Nabi Musa as menyuruh mereka melemparkan apa-apa sahaja yang mereka gunakan untuk sihir mereka itu.

Ayat 81

فَلَمَّآ أَلْقَوْا۟ قَالَ مُوسَىٰ مَا جِئْتُم بِهِ ٱلسِّحْرُ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ سَيُبْطِلُهُۥٓ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُصْلِحُ عَمَلَ ٱلْمُفْسِدِينَ

Setelah mereka campakkan (benda-benda itu), Nabi Musa berkata:” Apa yang kamu datangkan itu, itulah sihir; sesungguhnya Allah akan mendedahkan kepalsuannya (dengan mukjizat yang dikurniakan-Nya kepadaku); sesungguhnya Allah tidak akan menjayakan perbuatan orang-orang yang melakukan kerosakan.

Setelah para penyihir selesai menunjukkan sihir mereka, Nabi Musa as berkata kepada mereka bahawa apa yang mereka lakukan itu hanyalah sihir belaka, atau suatu usaha memutarbalikkan penglihatan manusia. Sedangkan apa yang akan dilakukan oleh Baginda adalah suatu mukjizat daripada kekuasaan Allah Ta’ala.

Maka Nabi Musa as melemparkan tongkatnya, dan Allah Ta’ala telah mengubah tongkat itu menjadi ular, lalu ular itu menelan ular-ular sihir para penyihir tersebut.

Allah Ta’ala telah membinasakan sihir mereka dan memperlihatkan kepalsuan sihir mereka di tengah manusia dengan mukjizat Nabi Musa as yang sangat luar biasa melampaui sihir mereka yang pelbagai bentuknya.

Sesungguhnya Allah Ta’ala tidak akan membiarkan perkara mungkar orang-orang yang membuat kerosakan, tidak akan menetapkan dan tidak akan menguatkan kebatilan para ahli sihir dengan ketetapan dan qadhaNya. Firman-firman-Nya:

“Dan Kami wahyukan kepada Musa, “Lemparkanlah tongkatmu!” Maka tiba-tiba tongkat itu menelan apa yang mereka adakan dengan sihir mereka. Kerana itu nyatalah yang benar dan batallah yang selalu mereka kerjakan.”

Al-A’raf 7:117-118

“Dan lemparkanlah apa yang ada di tangan kananmu, nescaya ia akan menelan apa yang mereka perbuat. Sesungguhnya apa yang mereka perbuat itu adalah tipu daya tukang sihir (belaka). Dan tidak akan menang tukang sihir itu, dari mana sahaja dia datang.”

Taha 20:69

Ayat 82

وَيُحِقُّ ٱللَّهُ ٱلْحَقَّ بِكَلِمَـٰتِهِۦ وَلَوْ كَرِهَ ٱلْمُجْرِمُونَ

“Dan Allah juga sentiasa menetapkan perkara yang benar dengan kalimah-kalimah perintah-Nya, walaupun yang demikian dibenci oleh orang-orang yang melakukan dosa”.

Kisah pertarungan antara Nabi Musa as dan para tukang sihir telah disebutkan sebelumnya dalam Surah Al-A‘raf, kemudian dalam surah ini dan Surah Taha serta Surah Asy-Syu’ara, bahawa kebenaran telah mengatasi kebatilan Firaun dan para penyihir.

Ketika itu, para penyihir menyedari kekalahan mereka dan barulah mengetahui apa yang dilakukan oleh Nabi Musa as itu bukanlah suatu sihir kerana mereka adalah orang-orang yang paling mengetahui ilmu sihir.

Oleh itu, para penyihir tidak menentang Allah Ta’ala dan mereka dapat melihat kekuasaan-Nya, menjadikan mereka tidak takut lagi terhadap ancaman Firaun. Mereka mengumumkan keimanan mereka kepada Rabb Nabi Musa as dan Nabi Harun as.

Sementara itu, Firaun dan para pembesarnya mengalami kekalahan dan mereka gagal menghalang para ahli sihir daripada menyatakan keimanan mereka. Hal ini tidak disukai oleh Firaun dan pembesar-pembesarnya. Walaupun mereka tidak menyukainya, Allah Ta’ala tetap akan menegakkan kebenaran dan ini adalah janji-Nya iaitu kebenaran itu pasti akan terjadi. Oleh itu, Firaun dan pembesarnya termasuk orang-orang yang rugi dan tempat mereka di akhirat kelak adalah di neraka Jahannam kerana kekufuran mereka.

Ayat 83

فَمَآ ءَامَنَ لِمُوسَىٰٓ إِلَّا ذُرِّيَّةٌ مِّن قَوْمِهِۦ عَلَىٰ خَوْفٍۢ مِّن فِرْعَوْنَ وَمَلَإِي۟هِمْ أَن يَفْتِنَهُمْ ۚ وَإِنَّ فِرْعَوْنَ لَعَالٍ فِى ٱلْأَرْضِ وَإِنَّهُۥ لَمِنَ ٱلْمُسْرِفِينَ

Maka tidaklah ada yang beriman kepada Nabi Musa melainkan sebilangan kecil dari keturunan kaumnya, itupun dengan keadaan takut kepada Firaun dan ketua-ketua kaum mereka menyeksa mereka; kerana sesungguhnya Firaun bermaharajalela di bumi, dan sebenarnya ia dari orang-orang yang melampaui batas.

Allah Ta’ala menjelaskan bahawa, meskipun Nabi Musa as telah datang kepada Firaun dan kaumnya dengan membawa ayat-ayat yang terang, hujjah-hujjah yang jelas dan bukti-bukti yang kuat, namun sedikit sahaja daripada kaum Firaun yang beriman kepadanya.

Mereka yang beriman itu adalah pemuda-pemuda yang takut kepada Firaun dan pembesar-pembesarnya. Mereka takut sekiranya Firaun dan pembesar-besarnya memaksa mereka agar kembali kepada kekafiran. Ini kerana Firaun (semoga Allah Swt melaknatnya) adalah orang yang kejam, derhaka, sangat sombong dan melampaui batas. Dia memiliki kekejaman yang menyebabkan kaumnya sangat takut kepadanya.

Manakala Ibnu ‘Abbas ra mengatakan mereka yang beriman kepada Nabi Musa as daripada kaum Firaun sangatlah sedikit, antaranya ialah isteri Firaun, seorang mukmin daripada keluarga Firaun serta bendahara Firaun dan isterinya.

Adapun Bani Israil, mereka keseluruhannya beriman kepada Nabi Musa as dan telah menunggu-nunggu kedatangan Baginda. Mereka telah mengetahui sifat-sifat dan berita gembira tentang kedatangan Baginda daripada kitab-kitab suci mereka yang dahulu. Mereka yakin Allah Ta’ala akan menyelamatkan mereka daripada penindasan Firaun dengan mengutuskan (Nabi Musa as) yang dinantikan dan mereka tahu bahawa Dia akan memenangkan mereka. Namun ketika Baginda datang kepada mereka, Firaun menyeksa kaum Bani Israil dengan seksaan yang paling kejam. Firman-Nya:

“Kaum Musa berkata, ‘Kami telah ditindas (oleh Firaun) sebelum kamu datang kepada kami dan sesudah kamu datang.’ Musa menjawab, ‘Mudah-mudahan Allah membinasakan musuhmu dan menjadikan kamu khalifah di bumi-(Nya), maka Allah akan melihat bagaimana perbuatanmu.’”

Al-A’raf 7:129

Ayat 84

وَقَالَ مُوسَىٰ يَـٰقَوْمِ إِن كُنتُمْ ءَامَنتُم بِٱللَّهِ فَعَلَيْهِ تَوَكَّلُوٓا۟ إِن كُنتُم مُّسْلِمِينَ

Dan Nabi Musa pula berkata (kepada kaumnya): “Wahai kaumku! Kalau sungguh kamu beriman kepada Allah, maka hendaklah kamu berserah diri kepadaNya, jika betul kamu orang-orang Islam (yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah)”.

Kemudian Nabi Musa as meyakinkan kaumnya dengan mengatakan sekiranya mereka beriman kepada Allah Ta’ala dan mempercayai kerasulan Baginda, maka mereka hendaklah bersandar dan bertawakkal kepadaNya sahaja sekiranya mereka benar-benar beriman.

Ayat 85

فَقَالُوا۟ عَلَى ٱللَّهِ تَوَكَّلْنَا رَبَّنَا لَا تَجْعَلْنَا فِتْنَةً لِّلْقَوْمِ ٱلظَّـٰلِمِينَ

Lalu mereka berkata: “Kepada Allah jualah kami berserah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami landasan fitnah kesengsaraan bagi kaum yang zalim ganas.

Ayat 86

وَنَجِّنَا بِرَحْمَتِكَ مِنَ ٱلْقَوْمِ ٱلْكَـٰفِرِينَ

“Dan selamatkanlah kami dengan rahmat-Mu dari angkara kaum yang kafir”.

Dalam ayat 85 dan 86 ini, Allah Ta’ala menyatakan bahawa kaum Nabi Musa as yang beriman itu menjawab bahawa mereka telah bertawakkal dan menyerahkan segala urusan kepada-Nya.

Mereka berdoa kepada Allah Ta’ala agar memelihara mereka daripada  kejahatan orang-orang yang zalim iaitu Firaun dan pengikutnya kerana mereka selalu memaksa kaum Bani Israil untuk melakukan pekerjaan yang susah dan berat, serta melindungi mereka daripada angkara orang-orang yang dapat memalingkan mereka daripada agama-Nya.

Ayat 87

وَأَوْحَيْنَآ إِلَىٰ مُوسَىٰ وَأَخِيهِ أَن تَبَوَّءَا لِقَوْمِكُمَا بِمِصْرَ بُيُوتًا وَٱجْعَلُوا۟ بُيُوتَكُمْ قِبْلَةً وَأَقِيمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ ۗ وَبَشِّرِ ٱلْمُؤْمِنِينَ

Dan (setelah itu), Kami wahyukan kepada Nabi Musa serta saudaranya (Nabi Harun): “Hendaklah kamu berdua mendirikan rumah-rumah di Mesir untuk menempatkan kaum kamu, dan jadikanlah rumah-rumah kamu tempat solat, serta dirikanlah solat di dalamnya; dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman (bahawa mereka akan diselamatkan dari kezaliman Firaun dan kaumnya)”.

Nabi Musa as dan Nabi Harun as diperintahkan supaya menjadikan beberapa buah rumah di Mesir sebagai tempat tinggal untuk kaum mereka. Mereka disuruh tinggal di rumah-rumah tersebut dalam keadaan aman dan menjadikan rumah-rumah itu sebagai tempat solat (masjid).

Mereka berdua juga diperintahkan supaya memberitahu kaum mereka bahawa akan tiba pertolongan Allah Swt bagi menyelamatkan mereka daripada Firaun dan pengikut-pengikutnya.

Ayat 88

وَقَالَ مُوسَىٰ رَبَّنَآ إِنَّكَ ءَاتَيْتَ فِرْعَوْنَ وَمَلَأَهُۥ زِينَةً وَأَمْوَٰلًا فِى ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا رَبَّنَا لِيُضِلُّوا۟ عَن سَبِيلِكَ ۖ رَبَّنَا ٱطْمِسْ عَلَىٰٓ أَمْوَٰلِهِمْ وَٱشْدُدْ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ فَلَا يُؤْمِنُوا۟ حَتَّىٰ يَرَوُا۟ ٱلْعَذَابَ ٱلْأَلِيمَ

Dan Nabi Musa pula (merayu dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau telah memberikan kepada Firaun dan ketua-ketua kaumnya barang-barang perhiasan dan harta benda yang mewah dalam kehidupan dunia ini. Wahai Tuhan kami! (Kemewahan yang Engkau berikan kepada mereka) akibatnya menyesatkan mereka dari jalanMu (dengan sebab kekufuran mereka). Wahai Tuhan kami! Binasakanlah harta benda mereka dan meteraikanlah hati mereka (sehingga menjadi keras membatu), maka dengan itu mereka tidak akan dapat beriman sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya.

Setelah dakwah dan kebenaran Nabi Musa as ditolak, Firaun dan pengikutnya terus berada dalam kesesatan dan kekafiran. Mereka membangkang dan menyombongkan diri serta tenggelam dalam kekayaan dan kemewahan. Malah harta yang melimpah itu menyebabkan mereka bertambah zalim dan kufur.

Lalu Nabi Musa as berdoa agar dibinasakan segala kemewahan tersebut dan dikunci hati-hati mereka yang zalim itu daripada kebenaran sehingga mereka menyaksikan seksaan azab yang pedih dan sangat menyakitkan.

Ayat 89

قَالَ قَدْ أُجِيبَت دَّعْوَتُكُمَا فَٱسْتَقِيمَا وَلَا تَتَّبِعَآنِّ سَبِيلَ ٱلَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ

Allah berfirman: “Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu berdua; oleh itu hendaklah kamu tetap (menjalankan perintahKu seterusnya), dan janganlah kamu menurut jalan orang-orang yang tidak mengetahui (peraturan janji-Ku)”.

Ketika Nabi Musa as memanjatkan doa, Nabi Harun as mengaminkannya. Kemudian Allah Ta’ala telah memperkenankan permohonan mereka berdua yang meminta agar Dia menghancurkan Firaun dan pengikut-pengikutnya.

Seterusnya mereka berdua diperintahkan oleh Allah Ta’ala agar istiqamah dalam berdakwah iaitu menyampaikan kebenaran dan tidak mengikuti jalan orang-orang yang tidak berpengetahuan.

Ayat 90

وَجَـٰوَزْنَا بِبَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ ٱلْبَحْرَ فَأَتْبَعَهُمْ فِرْعَوْنُ وَجُنُودُهُۥ بَغْيًۭا وَعَدْوًا ۖ حَتَّىٰٓ إِذَآ أَدْرَكَهُ ٱلْغَرَقُ قَالَ ءَامَنتُ أَنَّهُۥ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا ٱلَّذِىٓ ءَامَنَتْ بِهِۦ بَنُوٓا۟ إِسْرَٰٓءِيلَ وَأَنَا۠ مِنَ ٱلْمُسْلِمِينَ

Dan Kami bawakan Bani Israil ke seberang Laut Merah, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah ia (pada saat yang genting itu): “Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil, dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri (menurut perintah)”.

Ayat ini adalah kisah bagaimana Firaun dan pasukannya ditenggelamkan ke dalam laut. Allah Swt memerintahkan Nabi Musa as membawa keluar Bani Israil dari Mesir pada malam hari. Firaun dan bala tenteranya yang rai mengejar mereka. Seterusnya Firaun dan bala tenteranya berjaya menyusul Baginda dan Bani Israil. Bani Israil tersangat bimbang kerana pada masa itu mereka baru sahaja sampai ke tepi pantai. Firman Allah Swt:

“Maka setelah kedua-dua golongan itu saling melihat, berkatalah pengikut-pengikut Musa, ‘Sesungguhnya kita benar-benar akan disusuli.’”

Asy-Syu‘ara‘ 26:61

Ketika Nabi Musa as dan Bani Israil benar-benar dalam keadaan terkepung kerana di hadapan mereka ada lautan dan di belakang mereka ada Firaun dan tentera-tenteranya, Allah Swt memerintahkan Nabi Musa as memukul lautan dengan tongkatnya. Lalu Baginda pun melakukannya dan terbelahlah lautan. Kemudian Allah Swt menyelamatkan Bani Israil dan menenggelamkan Firaun dan bala tenteranya. Firman-Nya:

“Maka Firaun dengan bala tenteranya mengejar mereka, lalu mereka ditutup oleh laut yang menenggelamkan mereka.”

Taha 20:78

Tatkala sakaratul maut menghampiri Firaun, dia pun mengucapkan bahawa dia percaya tidak ada Ilah melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil, dan dia termasuk orang-orang yang berserah diri kepada Allah Swt. Firaun beriman pada saat keimanannya itu tidak lagi memberikan manfaat kepadanya seperti firman Allah Swt:

“Maka tatkala mereka melihat azab Kami, mereka berkata, “Kami beriman hanya kepada Allah sahaja, dan kami kafir kepada sembahan-sembahan yang telah kami sekutukan dengan Allah.” Maka iman mereka tiada berguna bagi mereka tatkala mereka telah melihat seksaan Kami. Itulah sunnah Allah yang telah berlaku terhadap hamba-hamba-Nya. Dan pada waktu itu binasalah orang-orang kafir.”

Ghafir 40:84-85

Ayat 91

ءَآلْـَٔـٰنَ وَقَدْ عَصَيْتَ قَبْلُ وَكُنتَ مِنَ ٱلْمُفْسِدِينَ

(Allah berfirman): “Adakah sekarang (baharu engkau beriman), padahal sesungguhnya engkau dari dahulu telah kufur derhaka, dan engkau telahpun menjadi dari orang-orang yang melakukan kerosakan?.

Allah Ta’ala menjawab Firaun bahawa ketika kematian benar-benar mendatanginya baru dia mengaku perhambaan diri kepada-Nya. Padahal sesungguhnya dia telah derhaka dan telah bermaksiat kepada-Nya sebelum ini. Oleh itu, taubatnya pada saat sakaratul maut dan melihat kematiannya tidak lagi bermanfaat kepadanya.

Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah, berkata daripada Ibnu ‘Abbas ra, dia berkata, Rasulullah saw bersabda:

“Ketika Firaun berkata, ‘Aku percaya bahawa tidak ada Ilah melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil,’” Rasulullah bersabda:

“Jibril berkata kepadaku, ‘Seandainya kamu melihatku, aku waktu itu mengambil lumpur laut yang hitam, kemudian aku sumbatkan ke mulut Firaun, kerana dikhuatirkan dia akan mendapat rahmat.’”

(Hadis ini juga diriwayatkan oleh At-Tirmidzi, Ibnu Jarir dan Ibnu Abi Hatim)

Ayat 92

فَٱلْيَوْمَ نُنَجِّيكَ بِبَدَنِكَ لِتَكُونَ لِمَنْ خَلْفَكَ ءَايَةً ۚ وَإِنَّ كَثِيرًا مِّنَ ٱلنَّاسِ عَنْ ءَايَـٰتِنَا لَغَـٰفِلُونَ

“Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau (hai Firaun) terlepas dengan badanmu (yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakangmu (supaya mereka mengambil itibar). Dan (ingatlah) sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada (memerhati dan memikirkan) tanda-tanda kekuasaan Kami!”.

Menurut Muhajid dalam Tafsir At-Tabari, yang diselamatkan Allah adalah jasadnya. Ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas ra, bahawa sebahagian Bani Israil masih meragukan kematian Firaun. Lalu Allah mengeluarkan jasadnya itu agar mereka dapat melihatnya. Menurut sejarah, mayat Firaun kemudian terdampar di pantai dan ditemukan oleh orang-orang Mesir lalu diawet, sehingga tetap elok sampai sekarang dan dapat dilihat di muzium Mesir.

Ayat-ayat Allah Swt begitu banyak dan kebenarannya disaksikan oleh manusia, namun mereka tidak mahu mengambil pelajaran daripadanya. Adapun mereka yang memiliki akal dan hati yang hidup, maka mereka dapat melihat ayat-ayat itu sebagai bukti nyata kebenaran yang dibawa oleh para rasul.

Ayat 93

وَلَقَدْ بَوَّأْنَا بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ مُبَوَّأَ صِدْقٍۢ وَرَزَقْنَـٰهُم مِّنَ ٱلطَّيِّبَـٰتِ فَمَا ٱخْتَلَفُوا۟ حَتَّىٰ جَآءَهُمُ ٱلْعِلْمُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ يَقْضِى بَيْنَهُمْ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ فِيمَا كَانُوا۟ فِيهِ يَخْتَلِفُونَ

Dan sesungguhnya Kami telah menempatkan Bani Israil di negeri yang baik (sesudah Kami binasakan Firaun), dan Kami mengurniakan mereka dengan benda-benda yang baik. Maka mereka tidak berselisihan (mengenai Nabi Muhammad melainkan) setelah datang kepada mereka pengetahuan (dari bukti-bukti yang nyata). Sesungguhnya Tuhanmu akan menghukum di antara mereka pada hari kiamat tentang apa yang mereka perselisihan itu.

Allah Ta‘ala menyatakan bahawa Dia telah menyediakan Bani Israil tempat tinggal yang baik di negeri Syam dan Mesir, memberikan mereka rezeki yang halal lagi baik kepada mereka daripada bumi yang berkah.

Kemudian mereka berselisih pendapat dalam perkara agama setelah datang kepada mereka ilmu. Sepatutnya mereka tidak perlu berselisih pendapat di antara mereka, kerana Allah Swt telah menjelaskan dan menghilangkan kesamaran melalui kitab Taurat. Ini sebagaimana yang disebutkan dalam hadis di bawah:

“Sesungguhnya orang-orang Yahudi terpecah menjadi tujuh puluh satu golongan, orang-orang Nasrani terpecah menjadi tujuh puluh dua golongan dan umatku ini akan terpecah menjadi tujuh puluh tiga golongan, hanya satu golongan yang masuk syurga dan tujuh puluh dua masuk neraka.” Dikatakan, “Siapakah mereka itu wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab, “Iaitu orang yang mengikutiku dan para sahabatku.”

(HR. Al-Hakim)

Allah Ta’ala akan memutuskan antara mereka pada hari kiamat tentang apa yang mereka perselisihkan itu. Orang-orang yang mendustakan Rasulullah saw akan dimasukkan ke neraka manakala yang beriman akan dimasukkan ke syurga.