Kisah Nabi Nuh as dan Kaumnya
Surah 10: Yunus (71 – 74)
Ayat 71
وَٱتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَأَ نُوحٍ إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِۦ يَـٰقَوْمِ إِن كَانَ كَبُرَ عَلَيْكُم مَّقَامِى وَتَذْكِيرِى بِـَٔايَـٰتِ ٱللَّهِ فَعَلَى ٱللَّهِ تَوَكَّلْتُ فَأَجْمِعُوٓا۟ أَمْرَكُمْ وَشُرَكَآءَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُنْ أَمْرُكُمْ عَلَيْكُمْ غُمَّةً ثُمَّ ٱقْضُوٓا۟ إِلَىَّ وَلَا تُنظِرُونِ
Dan bacakanlah kepada mereka (wahai Muhammad) perihal Nabi Nuh, ketika ia berkata kepada kaumnya: “Wahai kaumku! Sekiranya kedudukan aku dalam kalangan kamu, dan peringatan yang aku berikan kepada kamu dengan ayat-ayat keterangan Allah itu, menjadi keberatan kepada kamu, maka (buatlah apa yang kamu hendak buat, kerana) kepada Allah jualah aku berserah diri. Oleh itu, tetapkanlah keazaman kamu serta sekutu-sekutu kamu untuk melakukan rancangan jahat kamu terhadapku; kemudian janganlah hendaknya rancangan jahat kamu itu, kamu jalankan secara tersembunyi (tetapi biarlah terbuka); sesudah itu bertindaklah terus terhadapku dan janganlah kamu tunggu-tunggu lagi.
Allah Swt menyuruh Rasulullah saw menceritakan kepada orang-orang kafir Mekah yang selalu menentang dan mendustakan Baginda tentang kisah Nabi Nuh as bersama kaumnya yang telah mendustakan dan menentangnya.
Kisah itu adalah bagaimana Allah Swt membinasakan dan menghancurkan mereka, hingga akhirnya mereka ditenggelamkan semuanya. Ini bertujuan agar orang-orang kafir Mekah mengambil iktibar dan takut sekiranya seksaan yang berupa kebinasaan serta kehancuran itu menimpa mereka, sebagaimana yang menimpa kaum Nabi Nuh as.
Umat Nabi Nuh as tidak mengendahkan seruan Baginda yang tidak jemu-jemu mengajak mereka beriman kepada Allah Swt dan sentiasa mengingatkan mereka tentang kebesaran-Nya dan ayat-ayat-Nya.
Oleh itu, Nabi Nuh as mengatakan kepada kaumnya bahawa sama ada mereka berasa keberatan akan kehadirannya di tengah-tengah mereka untuk menyeru mereka menyembah Allah Swt, atau mereka keberatan untuk menerima peringatan yang disampaikannya tentang bukti-bukti keesaan-Nya, Baginda tidak akan berhenti dan tetap akan menyampaikan dakwahnya. Sesungguhnya Baginda menyerahkan segala urusannya kepada Allah Swt dan hanya kepada-Nya dia bertawakkal.
Kemudian Nabi Nuh as menganjurkan kepada kaumnya yang kufur agar menetapkan rencana buruk yang akan mereka lakukan terhadapnya itu secara terang-terangan, tidak sembunyi-sembunyi dan bersegeralah melaksanakan terhadap dirinya itu tanpa menunda-nunda.
Ayat 72
فَإِن تَوَلَّيْتُمْ فَمَا سَأَلْتُكُم مِّنْ أَجْرٍ ۖ إِنْ أَجْرِىَ إِلَّا عَلَى ٱللَّهِ ۖ وَأُمِرْتُ أَنْ أَكُونَ مِنَ ٱلْمُسْلِمِينَ
“Oleh itu, jika kamu berpaling membelakangkan peringatanku, maka tidaklah menjadi hal kepadaku, kerana aku tidak meminta sebarang balasan daripada kamu (mengenai ajaran agama Allah yang aku sampaikan itu); balasanku hanyalah dari Allah semata-mata (sama ada kamu beriman ataupun kamu ingkar); dan aku pula diperintahkan supaya menjadi dari orang-orang Islam (yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah)”.
Nabi Nuh as mengatakan lagi kepada kaumnya bahawa Baginda tidak akan meminta apa-apa balasan daripada kaumnya. Baginda hanyalah mengharapkan pahala dan ganjaran daripada Allah Swt.
Allah Ta’ala juga memerintahkan Nabi Nuh as agar sentiasa berada bersama-sama orang-orang yang berserah diri dan mentauhidkan-Nya. Ini kerana Islam adalah agama seluruh Nabi (satu prinsip dalam tauhid), daripada yang pertama hingga yang terakhir, walau pun syariat mereka berbeza-beza. Rasulullah saw bersabda:
“Kami seluruh para Nabi, saudara seayah tetapi berlainan ibu, agama kami satu.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Ayat 73
فَكَذَّبُوهُ فَنَجَّيْنَـٰهُ وَمَن مَّعَهُۥ فِى ٱلْفُلْكِ وَجَعَلْنَـٰهُمْ خَلَـٰٓئِفَ وَأَغْرَقْنَا ٱلَّذِينَ كَذَّبُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَا ۖ فَٱنظُرْ كَيْفَ كَانَ عَـٰقِبَةُ ٱلْمُنذَرِينَ
Mereka tetap juga mendustakan Nabi Nuh, lalu Kami selamatkan dia bersama-sama pengikut-pengikutnya yang beriman di dalam bahtera, dan kami jadikan mereka pengganti-pengganti (yang memakmurkan bumi) serta Kami tenggelamkan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami (dengan banjir dan taufan sehingga punah-ranah semuanya). Maka lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang (yang mendustakan ayat-ayat kami) setelah diberi amaran.
Walaupun Nabi Nuh as berdakwah kepada kaumnya secara berterusan dan dalam jangka waktu yang sangat lama, tetapi mereka tetap mendustakan Baginda. Allah Ta’ala membinasakan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat-Nya yang dibawa oleh Nabi Nuh as. Begitulah kesudahan kaum yang tidak mahu menerima nasihat dan kebenaran. Mereka ditenggelamkan oleh banjir besar dan di akhirat nanti akan dimasukkan ke dalam Neraka Jahannam. Ini merupakan kerugian yang amat besar dalam kehidupan mereka di dunia dan di akhirat. Firman-Nya:
“Disebabkan kesalahan-kesalahan mereka, mereka ditenggelamkan lalu dimasukkan ke neraka, maka mereka tidak mendapat penolong-penolong bagi mereka selain Allah.”
Nuh 71:25
Allah Ta’ala menyelamatkan Nabi Nuh as dan orang-orang yang beriman bersama dengannya di dalam bahtera yang dibina olehnya sesuai dengan perintah-Nya. Orang-orang yang mendustakan Baginda tenggelam dalam badai taufan.
Kemudian Allah Ta’ala menjadikan orang-orang yang selamat bersama-sama Nabi Nuh as sebagai khalifah untuk tinggal di bumi dan memakmurkannya, menggantikan kaum yang telah binasa itu iaitu kaum yang mendustakan ayat-ayat-Nya.
Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala mengajarkan kepada Nabi Muhammad saw agar menyampaikan berita ini kepada orang-orang yang terus-menerus ingkar kepada Rasul. Apa yang dialami oleh umat Nabi Nuh as itu tentulah akan dialami pula oleh kaumnya apabila mereka terus-menerus mengingkari kerasulannya.
Ayat 74
ثُمَّ بَعَثْنَا مِنۢ بَعْدِهِۦ رُسُلًا إِلَىٰ قَوْمِهِمْ فَجَآءُوهُم بِٱلْبَيِّنَـٰتِ فَمَا كَانُوا۟ لِيُؤْمِنُوا۟ بِمَا كَذَّبُوا۟ بِهِۦ مِن قَبْلُ ۚ كَذَٰلِكَ نَطْبَعُ عَلَىٰ قُلُوبِ ٱلْمُعْتَدِينَ
Kemudian Kami utuskan sesudah Nabi Nuh, beberapa orang Rasul kepada kaum masing-masing; lalu Rasul-rasul itu datang kepada kaum mereka dengan membawa keterangan-keterangan yang nyata; dalam pada itu kaum mereka tetap juga tidak mahu beriman kepada apa yang mereka telah mendustakannya sebelum itu. Demikianlah, Kami meteraikan atas hati orang-orang yang melampaui batas.
Selepas Nabi Nuh as, Allah Ta‘ala mengutuskan beberapa orang rasul kepada kaum masing-masing seperti Nabi Hud as, Nabi Saleh as, Nabi Ibrahim as, Nabi Lut as, Nabi Syu’aib as berserta dengan hujjah-hujjah dan bukti-bukti yang nyata tentang keesaan-Nya. Walaupun begitu, sebahagian daripada mereka tetap tidak mahu beriman dengan apa yang telah dibawa oleh para rasul tersebut. Oleh itu, Allah Ta’ala telah menutup pintu hati mereka sehingga mereka tidak dapat melihat kebenaran dan memilih untuk kufur kepada-Nya.
Allah Ta‘ala tidaklah menzalimi mereka, tetapi merekalah yang menzalimi diri mereka sendiri dengan mendustakan risalah yang dibawa oleh para rasul-Nya.