Maha Suci Allah Swt daripada Memiliki Anak
Surah 10: Yunus (68 – 70)
Ayat 68
قَالُوا۟ ٱتَّخَذَ ٱللَّهُ وَلَدًا ۗ سُبْحَـٰنَهُۥ ۖ هُوَ ٱلْغَنِىُّ ۖ لَهُۥ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَمَا فِى ٱلْأَرْضِ ۚ إِنْ عِندَكُم مِّن سُلْطَـٰنٍۭ بِهَـٰذَآ ۚ أَتَقُولُونَ عَلَى ٱللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ
Mereka berkata: “Allah mempunyai anak” Maha Suci Allah (dari apa yang mereka katakan itu)! Dia-lah Yang Maha Kaya; segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan-Nya; tidaklah ada sebarang keterangan di sisi kamu yang membuktikan apa yang kamu dakwakan itu. Mengapa kamu berani mengatakan terhadap Allah, apa yang kamu tidak mengetahuinya?
Ayat ini merupakan bantahan terhadap dakwaan mereka bahawa Allah Ta’ala mempunyai anak iaitu orang-orang musyrik mengatakan malaikat adalah anak-Nya, kaum Yahudi mengatakan ‘Uzair adalah anak-Nya dan orang-orang Nasrani mengatakan bahawa Al-Masih, Nabi Isa as adalah anak-Nya. Maha Suci Allah daripada apa yang mereka perkatakan.
Sesungguhnya Allah Swt Maha Kaya daripada segala sesuatu selain Dia dan segala sesuatu itu memerlukan-Nya. Dia-lah Rabb yang menciptakan dan memberi kehidupan, oleh itu Dia tidak memerlukan anak kerana adanya anak menunjukkan sifat yang lemah dan memerlukan.
Ayat 69
قُلْ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَفْتَرُونَ عَلَى ٱللَّهِ ٱلْكَذِبَ لَا يُفْلِحُونَ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah, tidak akan berjaya”.
Allah Swt mengancam orang-orang yang mendustakan-Nya bahawa mereka tidak akan memperoleh kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
Ayat 70
مَتَـٰعٌ فِى ٱلدُّنْيَا ثُمَّ إِلَيْنَا مَرْجِعُهُمْ ثُمَّ نُذِيقُهُمُ ٱلْعَذَابَ ٱلشَّدِيدَ بِمَا كَانُوا۟ يَكْفُرُونَ
(Apa yang mereka beroleh hanya) kesenangan di dunia, kemudian kepada Kamilah tempat kembalinya mereka. Kemudian Kami akan rasakan mereka azab yang berat disebabkan perbuatan kufur yang mereka lakukan.
Allah Swt menjelaskan bahawa orang-orang musyrik itu memperoleh kesenangan dan kenikmatan yang sementara di dunia. Mereka tertipu dengan kesenangan dan kenikmatan tersebut. Ini kerana kenikmatan dunia itu jika dibandingkan dengan kenikmatan di akhirat tidak ada ertinya sama sekali.
Kemudian pada hari kebangkitan mereka akan dikembalikan kepada Allah Swt. Pada masa itulah mereka akan dikumpulkan di Mahsyar, dan diminta agar mempertanggungjawabkan atas semua perbuatan yang mereka lakukan ketika di dunia dahulu.
Allah Swt akan memberikan seksaan-Nya yang setimpal dengan perbuatan mereka, seksaan yang pedih disebabkan oleh keingkaran mereka terhadap ayat-ayat-Nya dan mendustakan Rasulullah saw.