Surah 10: Yunus (65 – 67)

Kekuasaan Allah Swt serta Keagungan-Nya

Surah 10: Yunus (65 – 67)


Ayat 65

وَلَا يَحْزُنكَ قَوْلُهُمْ إِنَّ ٱلْعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعًا ۚ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْعَلِيمُ

Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) merasa dukacita disebabkan kata-kata mereka yang ingkar itu; kerana sesungguhnya segala kekuasaan tertentu bagi Allah; Dia-lah Yang Maha Mendengar, lagi Yang Maha Mengetahui.

Allah Swt memujuk Rasulullah saw agar tidak bersedih dengan tingkah laku orang-orang musyrik berupa pendustaan dan ancaman mereka terhadap Baginda.

Sesungguhnya segala kekuasaan adalah milik Allah Swt. Dia memberikannya kepada sesiapa atau menghalangnya daripada sesiapa yang Dia kehendaki. Dia Maha Mendengar semua ucapan hamba-Nya. Oleh itu, mintalah pertolongan dan berdoalah kepada-Nya. Firman-Nya:

“Mereka berkata, ‘Sesungguhnya jika kita telah kembali ke Madinah, benar-benar orang yang kuat akan mengusir orang-orang yang lemah daripadanya. Padahal kekuatan itu hanyalah bagi Allah, bagi Rasul-Nya dan bagi orang-orang mukmin, tetapi orang-orang munafik itu tiada mengetahui.’”

Al-Munafiqun 63:8

Ayat 66

أَلَآ إِنَّ لِلَّهِ مَن فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَمَن فِى ٱلْأَرْضِ ۗ وَمَا يَتَّبِعُ ٱلَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ شُرَكَآءَ ۚ إِن يَتَّبِعُونَ إِلَّا ٱلظَّنَّ وَإِنْ هُمْ إِلَّا يَخْرُصُونَ

Ingatlah! Sesungguhnya bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi dan bahawa mereka yang menyembah sesuatu yang lain Allah sebagai sekutu-Nya, mereka tidak menurut (sesuatu keyakinan), mereka hanya menurut sangkaan semata-mata, dan mereka hanyalah orang-orang yang sentiasa berdusta.

Kemudian Allah Ta’ala menetapkan dalil atas keesaan-Nya yang memiliki semua kekuasaan dan kekuatan. Semuanya milik Allah Swt, ditundukkan-Nya dan diatur-Nya. Sembahan-sembahan yang dijadikan sekutu bagi-Nya itu tidak berhak sedikit pun untuk disembah, tidak ada satu dalil pun bagi mereka untuk menyembahnya melainkan semuanya adalah sangkaan dan dugaan yang batil dalam apa yang mereka nisbahkan kepada-Nya.

Pada akhir ayat ini, Allah Swt menegaskan bahawa orang-orang musyrik yang mengikuti dugaan-dugaan seperti itu adalah kerana mengikuti kebodohan yang tidak akan membawa kepada kebenaran sedikit pun.

Ayat 67

هُوَ ٱلَّذِى جَعَلَ لَكُمُ ٱلَّيْلَ لِتَسْكُنُوا۟ فِيهِ وَٱلنَّهَارَ مُبْصِرًا ۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَـٰتٍ لِّقَوْمٍ يَسْمَعُونَ

Dia-lah yang menjadikan malam bagi kamu supaya kamu berehat padanya, dan menjadikan siang terang-benderang (supaya kamu berusaha). Sesungguhnya perubahan malam dan siang itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Allah) bagi kaum yang mahu mendengar (keterangan-keterangan yang tersebut dan mengambil pelajaran daripadanya).

Tanda-tanda tersebut menunjukkan keesaan Allah Swt, bahawa hanya Dia yang berhak diibadahi, dan menunjukkan bahawa beribadah kepada selain-Nya adalah batil. Ini juga menunjukkan bahawa Dia Maha Pengasih lagi Maha Penyayang dan Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Pada akhir ayat, Allah Swt menjelaskan bahawa orang-orang yang benar-benar memperhatikan ayat-ayat yang dibacakan oleh Rasulullah saw dan memikirkan isi kandungannya, serta memperhatikan hukum-hukum-Nya yang berlaku terhadap alam semesta dan seisinya, tentu akan mengakui keesaan dan kekuasaan-Nya.

Maka marilah kita mendengar dan mentadabbur (merenung) dan mengambil pelajaran daripada tanda-tanda kebesaran Allah Swt.