Orang Mukmin dan Bertakwa adalah Wali Allah Swt
Surah 10: Yunus (62 – 64)
Ayat 62
أَلَآ إِنَّ أَوْلِيَآءَ ٱللَّهِ لَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ
Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.
Allah Ta’ala menjelaskan bahawa wali-wali-Nya tidak akan didatangi rasa takut sebagaimana orang-orang kafir, fasik dan zalim merasakan ketakutan yang amat sangat ketika menghadapi pelbagai kegemparan dan kengerian di akhirat. Mereka juga tidak bersedih hati terhadap apa yang mereka tinggalkan seperti harta dan anak-anak mereka serta kenikmatan lain di dunia.
Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir daripada Abu Hurairah ra, dia berkata, Rasulullah saw bersabda:
“Sesungguhnya di antara hamba-hamba Allah ada hamba-hamba yang membuat iri hati para nabi dan para syuhada’.” Para sahabat bertanya, “Siapa mereka itu wahai Rasulullah? Mudah-mudahan kami boleh mencintai mereka?” Baginda bersabda, “Mereka yang saling mencintai kerana Allah, bukan kerana harta dan tidak pula kerana nasab (keturunan). Wajah-wajah mereka adalah cahaya di atas mimbar-mimbar daripada cahaya. Mereka tidak takut ketika manusia lain pada saat itu dalam ketakutan dan mereka tidak bersedih pada saat manusia bersedih.” Kemudian Baginda membaca ayat ini.
(HR. At-Tabari)
Ayat 63
ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَكَانُوا۟ يَتَّقُونَ
(Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertakwa.
Allah Swt menerangkan maksud wali-wali-Nya iaitu mereka yang beriman dan sentiasa bertakwa kepada-Nya. Mereka terdiri daripada orang-orang yang beriman kepada Allah Swt, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, Hari Akhirat dan qadar yang baik dan yang buruk, serta mereka membenarkan iman mereka dengan amal, iaitu dengan bertakwa (menjalankan perintah Allah Swt dan menjauhi larangan-Nya). Berdasarkan ayat ini, setiap mukmin adalah wali Allah Swt, dan tingkat kewaliannya bergantung kepada tahap ketakwaan mereka kepada-Nya.
Ayat 64
لَهُمُ ٱلْبُشْرَىٰ فِى ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا وَفِى ٱلْـَٔاخِرَةِ ۚ لَا تَبْدِيلَ لِكَلِمَـٰتِ ٱللَّهِ ۚ ذَٰلِكَ هُوَ ٱلْفَوْزُ ٱلْعَظِيمُ
Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang mengembirakan di dunia dan di akhirat; tidak ada sebarang perubahan pada janji-janji Allah yang demikian itulah kejayaan yang besar.
Orang-orang beriman dan bertakwa kepada Allah Ta’ala ini mendapat kegembiraan di dunia seperti mendapat mimpi dan pujian yang baik, dicintai oleh orang-orang mukmin, dimudahkan-Nya mengerjakan perbuatan yang baik dan dijauhkan daripada mengerjakan yang buruk. Berita gembira ini mencakupi segala kebaikan dan pahala yang Allah Swt berikan di dunia disebabkan keimanan dan ketakwaannya.
Ibnu Jarir meriwayatkan daripada ‘Ubadah bin Asy-Syamit ra, dia pernah mengatakan kepada Rasulullah saw setelah membaca ayat-ayat ini, “Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang mengembirakan di dunia dan di akhirat;” kami telah mengetahui berita gembira di akhirat, lalu apakah berita gembira di dunia? Baginda bersabda:
“Mimpi yang benar (menjadi kenyataan pada alam sedar), yang dilihat oleh hamba yang mukmin atau diimpikan oleh orang lain untuknya. Mimpi yang benar itu merupakan salah satu bahagian daripada empat puluh empat bahagian daripada tujuh puluh bahagian daripada kenabian.”
(HR. Tabrani)
Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abu Dzar ra, sesungguhnya dia pernah bertanya kepada Rasulullah saw:
“Wahai Rasulullah, bagaimanakah tentang seseorang yang mengerjakan suatu amal lalu orang-orang memuji dan menyanjungnya?” Maka Rasulullah bersabda, “Itulah kegembiraan seorang mukmin yang disegerakan.”
(HR. Muslim)
Pendapat lain mengatakan, yang dimaksudkan dengan hal ini adalah berita gembira daripada malaikat kepada orang mukmin dengan syurga dan keampunan ketika sakratul maut. Firman-Nya:
“Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan, ‘Rabb kami adalah Allah,’ kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat akan turun kepada mereka (dengan mengatakan), ‘Janganlah kamu takut dan janganlah kamu sedih dan bergembiralah kamu dengan (memperoleh) syurga yang telah dijanjikan Allah kepadamu.’ Kami-lah pelindung-pelindungmu dalam kehidupan dunia dan akhirat, di dalamnya kamu memperoleh apa yang kamu inginkan dan memperoleh di dalamnya yang kamu minta, sebagai hidangan (bagimu) daripada Allah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Fussilat 41:30-32
Adapun kegembiraan mereka di akhirat adalah, sebagaimana firman-firman Allah Ta’ala:
“Mereka tidak disusahkan oleh kedahsyatan yang besar (pada Hari Kiamat) dan mereka disambut oleh para malaikat. (Malaikat berkata): ‘Inilah harimu yang telah dijanjikan kepadamu.’”
Al-Anbiya’ 21:103
“Pada hari ketika kamu melihat orang mukmin lelaki dan perempuan, sedang cahaya mereka bersinar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, (dikatakan kepada mereka), ‘Pada hari ini ada berita gembira untukmu, (iaitu) syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, yang kamu kekal di dalamnya. Itulah keuntungan yang besar.’”
Al-Hadid 57:12
Apa yang Allah Swt janjikan adalah benar, tidak mungkin diubah dan diganti, kerana Dia Maha Benar ucapan-Nya dan tidak ada seorang pun yang dapat menyelisihi qadar dan qada’-Nya kerana apa yang telah diputuskan-Nya pasti terjadi. Kejayaan yang besar adalah mereka terselamat daripada perkara-perkara yang membimbangkan dan memperoleh apa yang diinginkan.