Surah 10: Yunus (59 – 60)

Tiada Sesiapa yang Berhak Menghalalkan dan Mengharamkan Sesuatu kecuali Allah Swt

Surah 10: Yunus (59 – 60)

Ayat 59

قُلْ أَرَءَيْتُم مَّآ أَنزَلَ ٱللَّهُ لَكُم مِّن رِّزْقٍۢ فَجَعَلْتُم مِّنْهُ حَرَامًا وَحَلَـٰلًا قُلْ ءَآللَّهُ أَذِنَ لَكُمْ ۖ أَمْ عَلَى ٱللَّهِ تَفْتَرُونَ

Katakanlah (kepada kaum yang mengada-adakan sesuatu hukum): “Sudahkah kamu nampak baik-buruknya sesuatu yang diturunkan Allah untuk manfaat kamu itu sehingga dapat kamu jadikan sebahagian daripadanya haram, dan sebahagian lagi halal?” Katakanlah lagi (kepada mereka): “Adakah Allah izinkan bagi kamu berbuat demikian, atau kamu hanya mengada-adakan secara dusta terhadap Allah?”.

Ibnu ‘Abbas ra, Mujahid, Adh-Dhahhak, Qatadah, ‘Abdur Rahman bin Zaid bin Aslam dan lain-lain mengatakan bahawa ayat ini turun untuk mengingkari orang-orang musyrik, dalam masalah yang mereka halalkan dan haramkan, antaranya Bahirah, Saibah, Wasilah dan Ham. Penjelasan tentang hal ini telah dinyatakan dalam surah Al-Ma‘idah, ayat 103.

Imam Ahmad meriwayatkan daripada Malik bin Nadhlah, dia berkata, “Aku pernah datang kepada Rasulullah dan aku berpenampilan buruk, maka Rasulullah bersabda, ‘Apakah kamu mempunyai harta?’ Aku menjawab, ‘Ya.’ Rasulullah bertanya lagi, ‘Harta apa sahaja?’ Aku menjawab, ‘Berbagai-bagai harta; unta, budak, kuda dan kambing.’ Maka Rasulullah saw bersabda:

“Jika Allah memberimu harta, maka perlihatkanlah (bukti-bukti nikmat tersebut) kepadamu. Kemudian Baginda meneruskan pertanyaannya, “Apakah untamu melahirkan anak-anaknya yang telinganya dalam keadaan lengkap, kemudian kamu mengambil pisau cukur, lalu kamu memotong telinganya dan kamu berkata, ‘Ini adalah Buhur,’ lalu kamu membelah kulitnya, dan kamu berkata, ‘Ini adalah Shurum,’ dan kamu haramkan atas kamu dan keluargamu?” Dia berkata, “Ya.” Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya apa yang diberikan oleh Allah kepadamu adalah halal, lengan Allah lebih kuat daripada lenganmu dan pisau Allah lebih tajam daripada pisaumu.”

(HR. Ahmad)

Allah Ta’ala telah mengingkari orang yang mengharamkan apa yang dihalalkan-Nya, atau menghalalkan apa yang diharamkan-Nya hanya dengan berdasarkan pendapatnya dan hawa nafsunya yang tidak ada sandaran hukumnya serta dalilnya.

Ayat 60

وَمَا ظَنُّ ٱلَّذِينَ يَفْتَرُونَ عَلَى ٱللَّهِ ٱلْكَذِبَ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَذُو فَضْلٍ عَلَى ٱلنَّاسِ وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَشْكُرُونَ

Dan apakah sangkaan orang-orang yang mengada-adakan kata-kata dusta terhadap Allah, (tidakkah mereka akan diazabkan) hari kiamat kelak? Sebenarnya Allah jualah yang melimpahkan kurnia kepada manusia (meliputi rezeki pemberian-Nya dan hukum-hukum syarak yang diturunkan-Nya), tetapi kebanyakan mereka tidak bersyukur.

Allah Swt mengungkapkan kesalahan daripada dugaan orang-orang musyrik yang menyangka bahawa pada hari pembalasan nanti iaitu pada saat tiap-tiap diri diberi balasan yang setimpal dengan amalnya, mereka itu tidak diapa-apakan atau tidak akan dijatuhi hukuman kerana berbuat dusta atas nama Allah Swt, atau kerana beranggapan bahawa diri mereka berhak menentukan hukum halal dan haramnya sesuatu.

Sedangkan kesalahan mereka inilah yang menyeret mereka kepada kesalahan yang lebih besar. Mereka secara sengaja telah berani mencampuri urusan yang sebenarnya menjadi hak Allah Swt, menentang wahyu yang diturunkan daripada-Nya dan mempersekutukan-Nya dengan tuhan-tuhan yang lain.