Al-Quran sebagai Rahmat kepada Manusia
Surah 10: Yunus (57 – 58)
Ayat 57
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ قَدْ جَآءَتْكُم مَّوْعِظَةٌ مِّن رَّبِّكُمْ وَشِفَآءٌ لِّمَا فِى ٱلصُّدُورِ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ
Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.
Ayat ini menjelaskan bahawa Allah Swt memberikan kurniaan kepada manusia berupa Al-Quran yang Agung, yang Dia turunkan kepada Rasul-Nya yang mulia.
Al-Quran adalah sebuah kitab yang lengkap mengandungi:
1. Pelajaran yang baik, mengandungi targhib (berita gembira) dan tarhib (berita ancaman) yang dapat mencegah manusia melakukan perbuatan keji. Firman-Nya:
“(Al-Quran) ini adalah penerangan bagi seluruh manusia, dan petunjuk serta pelajaran bagi orang-orang yang bertakwa.”
Ali ‘Imran 3:138
2. Penyembuh bagi penyakit yang ada di dalam hati berupa syubhat dan keraguan, kemunafikan dan kekufuran serta aqidah dan akhlak yang buruk dan penyakit hati yang lain. Dikhususkan sebutan dada adalah kerana hati terletak di dalam dada.
3. Petunjuk dan rahmat daripada Allah Ta’ala kepada orang-orang yang beriman. Al-Quran memberikan petunjuk kepada jalan yang lurus iaitu jalan yang hak, memudahkan seseorang menjauhkan diri daripada iktikad yang salah.
Ini bermaksud, hidayah dan rahmat daripada Allah Ta’ala hanya akan diperoleh dengan adanya Al-Quran. Hidayah dan rahmat itu pula hanyalah untuk orang-orang yang beriman kepadanya (Al-Quran), membenarkan dan meyakini apa yang ada di dalamnya, sebagaimana firman-firman-Nya:
“Dan Kami turunkan daripada Al-Quran sesuatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman, dan Al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian.”
Al-Isra’ 17:82
“………………..Katakanlah, ‘Al-Quran itu adalah petunjuk dan penawar bagi orang-orang mukmin. Dan orang-orang yang tidak beriman pada telinga mereka ada sumbatan, sedang Al-Quran itu suatu kegelapan bagi mereka. Mereka itu adalah (seperti) yang dipanggil dari tempat yang jauh.’”
Fussilat 41:44
Ayat 58
قُلْ بِفَضْلِ ٱللَّهِ وَبِرَحْمَتِهِۦ فَبِذَٰلِكَ فَلْيَفْرَحُوا۟ هُوَ خَيْرٌ مِّمَّا يَجْمَعُونَ
Katakanlah (wahai Muhammad) “Kedatangan Al-Quran itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayang-Nya, maka dengan isi kandungan Al-Quran itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan dengan yang lainnya), kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan dari segala benda dan perkara yang tidak kekal)”.
Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw menyuruh orang-orang beriman agar bergembira dengan petunjuk dan agama yang benar, yang datang daripada-Nya. Ini kerana kurniaan dan rahmat-Nya itu adalah lebih baik daripada harta duniawi yang akan rosak dan pasti hilang.