Hari Kiamat Pasti Akan Berlaku
Surah 10: Yunus (45 – 47)
Ayat 45
وَيَوْمَ يَحْشُرُهُمْ كَأَن لَّمْ يَلْبَثُوٓا۟ إِلَّا سَاعَةً مِّنَ ٱلنَّهَارِ يَتَعَارَفُونَ بَيْنَهُمْ ۚ قَدْ خَسِرَ ٱلَّذِينَ كَذَّبُوا۟ بِلِقَآءِ ٱللَّهِ وَمَا كَانُوا۟ مُهْتَدِينَ
Dan (ingatlah) masa Tuhan himpunkan mereka (pada hari kiamat kelak), dengan keadaan mereka merasai seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu saat sahaja dari siang hari. Mereka akan berkenal-kenalan sesama sendiri. Sesungguhnya rugilah orang-orang yang telah mendustakan hari menemui Allah untuk menerima balasan, dan yang tidak mendapat petunjuk (ke jalan mencari untung semasa hidup di dunia).
Ayat ini menegaskan tentang adanya hari kebangkitan dan pembalasan. Mereka akan dikumpulkan di Mahsyar setelah dibangkitkan dari kubur masing-masing.
Ayat ini juga menerangkan tentang betapa singkatnya kehidupan di dunia dibandingkan dengan akhirat. Apabila Allah Ta’ala mengumpulkan mereka pada hari yang tidak ada sebarang keraguan padanya, mereka merasakan seolah-olah hanya tinggal sebentar sahaja pada siang hari semasa di dunia dahulu. Firman-firman-Nya:
“…………….Pada hari mereka melihat azab yang diancamkan kepada mereka, (mereka berasa) seolah-olah tidak tinggal (di dunia) melainkan sesaat pada siang hari………………”
Al-Ahqaf 46:35
“Pada hari mereka melihat hari berbangkit itu, mereka berasa seakan-akan tidak tinggal (di dunia) melainkan (sebentar saja) pada waktu petang atau pagi hari.”
An-Nazi’at 79:46
“(Allah) bertanya, ‘Berapa tahunkah lamanya kamu tinggal di bumi?’ Mereka menjawab,
‘Kami tinggal (di bumi) sehari atau setengah hari, maka tanyakanlah kepada orang-orang yang menghitung.’ (Allah) berfirman, ’Kamu tidak tinggal (di bumi) melainkan sebentar sahaja, kalau kamu sesungguhnya mengetahui.’”
Al-Mukminun 23:112-114
Maksud, “Mereka akan berkenal-kenalan sesama sendiri.” dalam ayat ini ialah semasa di akhirat nanti, mereka saling mengenali antara satu sama lain seperti bapa mengenali anaknya dan sebaliknya. Namun mereka ketika itu akan disibukkan dengan urusan masing-masing tanpa mempedulikan hal orang lain walaupun terhadap ahli keluarga, kaum kerabat dan teman rapat. Ini jelas dinyatakan dalam firman-firman Allah Ta’ala:
“Apabila sangkakala ditiup, maka tidak ada lagi pertalian keluarga di antara mereka pada hari itu (Hari Kiamat) dan tidak pula mereka saling bertanya.”
Al-Mukminun 23:101
“Dan tidak ada seorang teman akrab pun akan bertanya tentang temannya.”
Al-Ma’arij 70:10
Orang-orang yang mendustakan hari kebangkitan, perhitungan dan pembalasan pada Hari Akhirat serta tidak mengharapkan pertemuan dengan Allah Ta’ala adalah orang-orang yang rugi. Tempat kembali mereka adalah Neraka Jahannam.
Ayat 45
وَإِمَّا نُرِيَنَّكَ بَعْضَ ٱلَّذِى نَعِدُهُمْ أَوْ نَتَوَفَّيَنَّكَ فَإِلَيْنَا مَرْجِعُهُمْ ثُمَّ ٱللَّهُ شَهِيدٌ عَلَىٰ مَا يَفْعَلُونَ
Dan jika Kami perlihatkan kepadamu (wahai Muhammad) akan sebahagian dari balasan azab yang Kami janjikan kepada mereka, atau jika Kami wafatkan engkau sebelum itu, maka kepada Kamilah tempat kembali mereka; kemudian Allah yang memberi keterangan mengenai apa yang mereka lakukan.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa sama ada Dia memperlihatkan Baginda sebahagian daripada seksaan yang ditimpakan kepada orang-orang musyrik di dunia, atau Dia mewafatkan Baginda sebelum turunnya seksaan itu kepada mereka, mereka tetap akan dikembalikan kepada-Nya dan Baginda akan diperlihatkan seksaan terhadap mereka di akhirat kelak.
Sesungguhnya Allah Ta’ala sentiasa memerhatikan semua perbuatan hamba-hamba-Nya dan akan membalas atas segala perbuatan tersebut. Firman-Nya:
“Dan jika Kami perlihatkan kepadamu sebahagian (seksaan) yang Kami ancamkan kepada mereka atau Kami wafatkan kamu (hal itu tidak penting bagimu) kerana sesungguhnya tugasmu hanya menyampaikan sahaja, sedangkan Kami lah yang menghisab amalan mereka.”
Ar-Ra’d 13:40
Ayat 47
وَلِكُلِّ أُمَّةٍ رَّسُولٌ ۖ فَإِذَا جَآءَ رَسُولُهُمْ قُضِىَ بَيْنَهُم بِٱلْقِسْطِ وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ
Dan bagi tiap-tiap satu umat ada seorang Rasul (yang diutuskan kepadanya); setelah datang Rasul masing-masing (menerangkan apa yang mesti diterangkan) maka hukuman pun dijalankan di antara mereka dengan adil dan mereka tetap tidak dianiaya.
Allah Ta’ala mengutuskan rasul bagi setiap umat. Setiap rasul menyampaikan risalahnya di kalangan umatnya. Kemudian ada di antara mereka yang beriman dan ada juga yang ingkar.
Pada Hari Kiamat nanti setiap umat akan dihadapkan kepada Allah Swt di hadapan rasul mereka berserta dengan catatan amalan yang baik dan buruk yang mereka telah lakukan ketika di dunia dahulu. Semua itu akan menjadi saksi ke atas mereka. Demikian juga dengan para malaikat, mereka akan menjadi saksi ke atas setiap umat di dunia dahulu.
Walaupun umat Nabi Muhammad saw merupakan umat terakhir, mereka adalah umat pertama yang akan diadili. Ini adalah kerana kemuliaan Baginda. Semoga selawat dan salam sentiasa dicurahkan kepada Baginda sehingga hari kiamat. Allahumma aamiin!
Rasulullah saw bersabda:
“Kita adalah umat terakhir yang (diciptakan) di dunia, namun yang pertama pada Hari Kiamat yang akan diadili, sebelum makhluk-makhluk yang lain.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)