Tiada yang Mampu Memberikan Petunjuk dan Menyesatkan Manusia kecuali Allah Swt
Surah 10: Yunus (41 – 44)
Ayat 41
وَإِن كَذَّبُوكَ فَقُل لِّى عَمَلِى وَلَكُمْ عَمَلُكُمْ ۖ أَنتُم بَرِيٓـُٔونَ مِمَّآ أَعْمَلُ وَأَنَا۠ بَرِىٓءٌ مِّمَّا تَعْمَلُونَ
Dan jika mereka terus-menerus mendustakanmu (wahai Muhammad), maka katakanlah: “Bagiku amalku, dan bagi kamu pula amal kamu. Kamu tidak bertanggungjawab akan apa yang aku kerjakan, dan aku juga tidak bertanggungjawab akan apa yang kamu kerjakan”.
Allah Ta’ala menyatakan sekiranya orang-orang musyrik berterusan mendustakan Rasulullah saw dan risalah-Nya, maka hendaklah Baginda berlepas diri daripada orang-orang musyrik tersebut dan Baginda tidak akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang mereka lakukan.
Ayat 42
وَمِنْهُم مَّن يَسْتَمِعُونَ إِلَيْكَ ۚ أَفَأَنتَ تُسْمِعُ ٱلصُّمَّ وَلَوْ كَانُوا۟ لَا يَعْقِلُونَ
Dan di antara mereka (yang ingkar) itu, ada yang datang mendengar ajaranmu (dengan tidak mendapat faedah sedikitpun sebagai orang pekak); maka engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa menjadikan orang-orang yang pekak itu mendengar, juga kalau mereka menjadi orang-orang yang tidak mahu memahami perkara yang didengarnya.
Sesudah itu, Allah Ta’ala menjelaskan kepada Rasulullah saw dan pengikut-pengikutnya bahawa di antara orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Allah Swt itu, ada sekelompok manusia yang mendengarkan secara sembunyi-sembunyi apabila Al-Quran itu dibacakan.
Mereka memperhatikan pokok-pokok agama yang terkandung di dalamnya bukanlah bertujuan untuk mendengarnya dengan hati yang ikhlas, sebaliknya niat mereka adalah untuk mendustakan dan mencari-cari kelemahan. Perbuatan mendengar seperti ini tidaklah bermanfaat buat mereka kerana pintu taufik sudah tertutup.
Pada akhir ayat, Allah Ta’ala menegaskan bahawa Nabi Muhammad saw tidak akan dapat dan tidak akan mampu untuk membuat mereka itu mendengar dan mengerti akan apa yang mereka dengarkan, kerana mereka itu telah kehilangan manfaat daripada pendengaran dalam erti yang sebenar-benarnya.
Ayat 43
وَمِنْهُم مَّن يَنظُرُ إِلَيْكَ ۚ أَفَأَنتَ تَهْدِى ٱلْعُمْىَ وَلَوْ كَانُوا۟ لَا يُبْصِرُونَ
Dan di antara mereka pula ada yang memandang kepada perkara-perkara yang engkau tunjukkan (tetapi mereka tidak nampak kebenarannya sebagai orang buta); maka engkau (wahai Muhammad) tidak berfaedah menunjuk jalan kepada orang-orang yang buta, juga kalau mereka menjadi orang-orang yang tidak mahu melihat (perkara yang engkau tunjukkan itu).
Allah Ta’ala menyatakan, ada di kalangan orang-orang musyrik yang dapat memperhatikan sifat-sifat dan akhlak Rasulullah saw dan bukti-bukti kenabiannya yang benar. Namun mereka tidak melihat apa yang diberikan-Nya kepada Baginda berupa cahaya keimanan sehingga mereka tidak beroleh petunjuk sedikit pun.
Ini kerana orang-orang yang beriman memandang Nabi Muhammad saw dengan penuh penghormatan. Sebaliknya orang-orang yang tidak beriman memandang Baginda dengan pandangan penghinaan. Firman Allah Swt:
“Dan apabila mereka melihat kamu (Muhammad), mereka hanyalah menjadikan kamu sebagai ejekan (dengan mengatakan), ‘Inikah orangnya yang diutus Allah sebagai Rasul?’”
Al-Furqan 25:41
Oleh itu, Allah Ta’ala menyatakan bahawa Rasulullah saw tidak dapat memberi petunjuk kepada orang-orang yang telah buta mata hati walaupun pada zahirnya mereka dapat melihat. Firman-Nya:
“Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta, ialah hati yang di dalam dada.”
Al-Hajj 22:46
Ayat 44
إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَظْلِمُ ٱلنَّاسَ شَيْـًٔا وَلَـٰكِنَّ ٱلنَّاسَ أَنفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ
Sesungguhnya Allah tidak menganiaya manusia sedikitpun, akan tetapi manusia jualah yang menganiaya diri mereka sendiri.
Sesungguhnya Allah Ta’ala tidak pernah berbuat zalim terhadap hamba-hamba-Nya. Namun merekalah yang menzalimi diri mereka sendiri. Ini kerana mereka telah memilih untuk kufur terhadap-Nya, menolak kebenaran dan melanggar perintah-Nya.