Jaminan Allah Swt tentang Kesucian Al-Quran
Surah 10: Yunus (37 – 40)
Ayat 37
وَمَا كَانَ هَـٰذَا ٱلْقُرْءَانُ أَن يُفْتَرَىٰ مِن دُونِ ٱللَّهِ وَلَـٰكِن تَصْدِيقَ ٱلَّذِى بَيْنَ يَدَيْهِ وَتَفْصِيلَ ٱلْكِتَـٰبِ لَا رَيْبَ فِيهِ مِن رَّبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ
Dan bukanlah Al-Quran ini sesuatu yang boleh diada-adakan oleh yang lain dari Allah; tetapi Al-Quran itu diturunkan oleh Allah untuk membenarkan Kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya, dan untuk menjelaskan satu persatu hukum-hukum syarak yang diwajibkan (atas kamu); tidak ada sebarang syak dan ragu-ragu pada Al-Quran itu tentang datangnya dari Allah, Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam.
Ayat ini menerangkan kemukjizatan Al-Quran dan bahawasanya Al-Quran adalah kalamullah. Perkara ini termasuk pokok-pokok agama yang memang sering diulang-ulang maknanya dalam Al-Quran pada ayat-ayat lain untuk menetapkan bahawa ia datangnya dari sisi Allah Ta’ala dan bukan daripada Rasulullah saw.
Oleh itu, tidak mungkin Al-Quran ini direka oleh selain Allah Ta’ala apabila didapati Al-Quran itu fasih dari segi balaghah, makna yang lengkap, keindahan dan kandungan maknanya yang sangat berguna di dunia dan akhirat. Al-Quran juga membenarkan kitab-kitab yang sebelumnya dan menjelaskan hukum-hukum yang telah ditetapkan-Nya, tidak ada keraguan di dalamnya kerana ia diturunkan daripada Rabb semesta alam. Firman-firman-Nya:
“Dan Kami telah turunkan kepadamu Al-Quran dengan membawa kebenaran, membenarkan apa yang sebelumnya, iaitu kitab-kitab (yang diturunkan sebelumnya) dan batu ujian (penentu) terhadap kitab-kitab yang lain itu, maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang Allah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu……………………”
Al-Ma’idah 5:48
“Maka apakah mereka tidak memperhatikan Al-Quran? Kalau kiranya Al-Quran itu bukan dari sisi Allah, tentulah mereka mendapat pertentangan yang banyak di dalamnya.”
An-Nisa’ 4:82
Ayat 38
أَمْ يَقُولُونَ ٱفْتَرَىٰهُ ۖ قُلْ فَأْتُوا۟ بِسُورَةٍۢ مِّثْلِهِۦ وَٱدْعُوا۟ مَنِ ٱسْتَطَعْتُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ إِن كُنتُمْ صَـٰدِقِينَ
(Orang-orang kafir tidak mengakui hakikat yang demikian itu) bahkan mereka mengatakan: “Dia lah (Muhammad) yang mengada-adakan Al-Quran menurut rekaannya”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Kalau demikian, datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah siapa sahaja yang kamu dapat memanggilnya, yang lain dari Allah (untuk membantu kamu), jika betul kamu orang-orang yang benar!”.
Kemudian Allah Ta’ala membantah orang-orang musyrik yang bodoh yang mengatakan bahawa Nabi Muhammad saw telah mengada-adakan Al-Quran. Lalu Dia mencabar mereka agar mereka mendatangkan seumpama dengannya. Sesungguhnya semua makhluk tidak mampu untuk menentangnya atau mendatangkan yang serupa dengannya. Firman-Nya:
“Katakanlah, ‘Sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk membuat yang serupa Al-Quran ini, nescaya mereka tidak akan dapat membuat yang serupa dengannya, sekalipun sebahagian mereka menjadi pembantu bagi sebahagian yang lain.’”
Al-Isra’ 17:88
Ayat 39
بَلْ كَذَّبُوا۟ بِمَا لَمْ يُحِيطُوا۟ بِعِلْمِهِۦ وَلَمَّا يَأْتِهِمْ تَأْوِيلُهُۥ ۚ كَذَٰلِكَ كَذَّبَ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ ۖ فَٱنظُرْ كَيْفَ كَانَ عَـٰقِبَةُ ٱلظَّـٰلِمِينَ
Bahkan mereka pula terburu-buru mendustakan Al-Quran yang fahaman mereka tidak dapat meliputi segala isi pengetahuannya, dan belum datang kepada mereka kenyataan yang menjelaskan kebenarannya. Demikianlah juga orang-orang sebelum mereka mendustakan (Kitab-kitab Allah yang diturunkan kepada mereka). Maka lihatlah bagaimana akibat orang-orang yang zalim itu (berakhir dengan berbagai bencana yang membinasakan mereka).
Kemudian Allah Ta’ala menerangkan sikap orang-orang musyrik terhadap Al-Quran iaitu mereka mendustakannya sebelum mereka mengetahui penjelasan ayat-ayat-Nya. Hal yang sama berlaku kepada orang-orang terdahulu dengan mendustakan para Rasul dan bertaklid buta kepada pegangan nenek moyang mereka.
Ayat 40
وَمِنْهُم مَّن يُؤْمِنُ بِهِۦ وَمِنْهُم مَّن لَّا يُؤْمِنُ بِهِۦ ۚ وَرَبُّكَ أَعْلَمُ بِٱلْمُفْسِدِينَ
Dan di antara mereka ada yang beriman kepada Al-Quran, dan ada di antaranya yang tidak beriman langsung kepadanya; dan (ingatlah), Tuhanmu lebih mengetahui akan orang-orang yang melakukan kerosakan.
Allah Swt menjelaskan kepada Rasulullah saw bahawa ada di antara umat Baginda yang beriman dengan Al-Quran, mengikuti petunjuk Baginda dan mengambil manfaat daripada apa yang Baginda sampaikan. Namun ada juga yang tidak beriman kepada Al-Quran dan petunjuk Baginda, bahkan mereka mati dan dibangkitkan dalam keadaan kufur.
Allah Swt Maha Mengetahui siapa yang berhak diberikan petunjuk dan siapa pula yang berhak mendapatkan kesesatan. Dia Maha Adil dan tidak menzalimi sesiapa pun. Dia memberikan kepada manusia apa yang patut mereka dapatkan.