Surah 10: Yunus (31 – 33)

Pengakuan Orang Musyrik akan Keesaan Allah Swt dalam Rububiyyah-Nya dan bukan dalam Uluhiyyah-Nya

Surah 10: Yunus (31 – 33)


Ayat 31

قُلْ مَن يَرْزُقُكُم مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلْأَرْضِ أَمَّن يَمْلِكُ ٱلسَّمْعَ وَٱلْأَبْصَـٰرَ وَمَن يُخْرِجُ ٱلْحَىَّ مِنَ ٱلْمَيِّتِ وَيُخْرِجُ ٱلْمَيِّتَ مِنَ ٱلْحَىِّ وَمَن يُدَبِّرُ ٱلْأَمْرَ ۚ فَسَيَقُولُونَ ٱللَّهُ ۚ فَقُلْ أَفَلَا تَتَّقُونَ

Bertanyalah kepada mereka (yang musyrik itu): “Siapakah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Atau siapakah yang menguasai pendengaran dan penglihatan? Dan siapakah yang mengeluarkan makhluk yang hidup dari benda yang mati, dan mengeluarkan benda yang mati dari makhluk yang hidup? Dan siapakah pula yang mentadbirkan urusan sekalian alam? “(Dengan pertanyaan-pertanyaan itu) maka mereka (yang musyrik) tetap akan menjawab (mengakui) dengan berkata: “Allah jualah yang menguasai segala-galanya! “Oleh itu, katakanlah: “(Jika kamu mengakui yang demikian), maka mengapa kamu tidak mahu bertakwa?

Allah Swt menerangkan hujjah dan alasan tentang keesaan dan kekuasaan-Nya. Dia memerintahkan Rasulullah saw bertanya kepada orang-orang musyrik Mekah yang masih mengingkari-Nya, menjawab beberapa pertanyaan seperti yang terdapat dalam ayat ini:

1.   Siapakah yang memberi rezeki dari langit dan bumi iaitu menurunkan hujan dari langit yang menyirami bumi lalu dengan kekuasaan dan kehendak-Nya dapat membelah bumi, kemudian keluarlah darinya tumbuh-tumbuhan beraneka jenis sehingga manusia atau pun binatang ternak mereka dapat memakannya? Firman-Nya:

“Sesungguhnya Kami benar-benar telah mencurahkan air (dari langit), kemudian Kami belah bumi dengan sebaik-baiknya, lalu Kami tumbuhkan biji-bijian di bumi itu.”

’Abasa 80:25-27

2.   Siapakah yang telah memberikan mereka deria pendengaran dan penglihatan? Jika Dia berkehendak pasti Dia mencabut dan menghilangkannya daripada mereka. Firman-firman-Nya:

“Katakanlah, ’Dia-lah Yang menciptakan kamu dan menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati.’ (Tetapi) amat sedikit kamu bersyukur.”

Al-Mulk 67:23

“Katakanlah, “Terangkanlah kepadaku jika Allah mencabut pendengaran dan penglihatan serta menutup hatimu, siapakah Ilah selain Allah yang kuasa mengembalikannya kepadamu?” Perhatikanlah bagaimana Kami berkali-kali memperlihatkan tanda-tanda kebesaran (Kami), kemudian mereka tetap berpaling (juga).”

Al-An’am 6:46

3.   Siapakah yang mengeluarkan yang hidup daripada yang mati dan yang mengeluarkan yang mati daripada yang hidup dengan kemampuan-Nya yang dahsyat?

4.   Siapakah yang mengatur segala urusan iaitu siapakah yang memiliki kekuasaan atas segala sesuatu, yang melindungi makhluk-Nya dan Dia tidak memerlukan perlindungan daripada sesiapa pun, yang menetapkan hukum yang sesiapa pun tidak dapat menolak atau menentang, Dia tidak ditanya tentang apa yang diperbuat-Nya sebaliknya makhluklah yang akan ditanya oleh-Nya?

Seterusnya Allah Swt menyatakan bahawa orang-orang musyrik itu pasti menjawab segala pertanyaan itu dengan mengatakan Allah-lah yang mengadakan semuanya.

Jawapan orang-orang musyrik terhadap pertanyaan di atas menunjukkan bahawa mereka mengingkari sifat Uluhiyyah Allah (hanya Allah berhak untuk diibadahi, tidak selain-Nya) tetapi mereka mengakui sifat Rububiyyah-Nya (bahawa Allah Penguasa alam semesta dan Pengaturnya).

Oleh itu pada akhir ayat ini, Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw mengatakan kepada orang-orang musyrik Mekah, mengapa mereka tidak takut akan seksaan-Nya, mengapa mereka tetap mengingkari untuk beribadah hanya kepada-Nya dan tidak meninggalkan sembahan-sembahan selain-Nya sedangkan mereka menyedari dan mengakui bahawa Dia-lah Pencipta dan Pengatur seluruh alam.

Ayat 32

فَذَٰلِكُمُ ٱللَّهُ رَبُّكُمُ ٱلْحَقُّ ۖ فَمَاذَا بَعْدَ ٱلْحَقِّ إِلَّا ٱلضَّلَـٰلُ ۖ فَأَنَّىٰ تُصْرَفُونَ

Maka yang demikian (sifat-Nya dan kekuasaan-Nya) ialah Allah, Tuhan kamu yang sebenar-benarnya; sesudah nyatanya sesuatu yang betul dan benar, maka tidakkah yang lain daripada itu salah dan karut sahaja? Oleh itu, bagaimana kamu dapat dipesongkan dari kebenaran?

Maka itulah Allah, Rabb yang sebenarnya, maksudnya apa yang mereka akui bahawa sesungguhnya Dia-lah yang melakukan semua yang dinyatakan dalam ayat sebelum ini, adalah Rabb dan Ilah mereka yang sebenarnya, yang berhak untuk diesakan dalam peribadahan, tidak ada Ilah (yang berhak diibadahi) selain Allah yang Maha Esa, tidak ada sekutu bagi-Nya.

“Oleh itu, bagaimana kamu dapat dipesongkan dari kebenaran?” bermaksud bagaimana mereka dapat dipalingkan daripada beribadah kepada Allah lalu beribadah kepada selain-Nya, sedangkan mereka mengetahui bahawa sesungguhnya Allah adalah Rabb yang menciptakan segala sesuatu dan mengaturnya.

Ayat 33

كَذَٰلِكَ حَقَّتْ كَلِمَتُ رَبِّكَ عَلَى ٱلَّذِينَ فَسَقُوٓا۟ أَنَّهُمْ لَا يُؤْمِنُونَ

(Sebagaimana benarnya ketuhanan itu bagi Allah sahaja) demikianlah benarnya kalimah ketetapan hukum Tuhanmu, terhadap orang-orang yang fasik kerana bahawasanya mereka tidak beriman.

Allah Swt telah menunjukkan kepada mereka ayat-ayat yang nyata dan keterangan yang jelas, yang terdapat pelajaran bagi orang-orang yang berakal, nasihat bagi orang-orang yang bertakwa serta petunjuk bagi seluruh alam. Namun orang-orang musyrik terus menerus dalam kemusyrikan. Oleh itu, telah tetaplah hukuman buat mereka iaitu akan dimasukkan ke dalam neraka.