Surah 10: Yunus (24 – 25)

Perumpamaan Kehidupan Duniawi

Surah 10: Yunus (24 – 25)


Ayat 24

إِنَّمَا مَثَلُ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا كَمَآءٍ أَنزَلْنَـٰهُ مِنَ ٱلسَّمَآءِ فَٱخْتَلَطَ بِهِۦ نَبَاتُ ٱلْأَرْضِ مِمَّا يَأْكُلُ ٱلنَّاسُ وَٱلْأَنْعَـٰمُ حَتَّىٰٓ إِذَآ أَخَذَتِ ٱلْأَرْضُ زُخْرُفَهَا وَٱزَّيَّنَتْ وَظَنَّ أَهْلُهَآ أَنَّهُمْ قَـٰدِرُونَ عَلَيْهَآ أَتَىٰهَآ أَمْرُنَا لَيْلًا أَوْ نَهَارًا فَجَعَلْنَـٰهَا حَصِيدًا كَأَن لَّمْ تَغْنَ بِٱلْأَمْسِ ۚ كَذَٰلِكَ نُفَصِّلُ ٱلْـَٔايَـٰتِ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Sesungguhnya bandingan kehidupan dunia hanyalah seperti air hujan yang Kami turunkan dari langit, lalu (tumbuhlah dengan suburnya) tanaman-tanaman di bumi dari jenis-jenis yang dimakan oleh manusia dan binatang – bercampur-aduk dan berpaut-pautan (pokok-pokok dan pohonnya) dengan sebab air itu hingga apabila bumi itu lengkap sempurna dengan keindahannya dan berhias (dengan bunga-bungaan yang berwarna-warni), dan penduduknya pun menyangka bahawa mereka dapat berbagai-bagai tanaman serta menguasainya (mengambil hasilnya) datanglah perintah Kami menimpakannya dengan bencana pada waktu malam atau pada siang hari lalu Kami jadikan dia hancur-lebur, seolah-olah ia tidak ada sebelum itu. Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu berfikir (dan mengambil iktibar daripadanya).

Inilah sebuah perumpamaan yang Allah Ta’ala berikan tentang kehidupan dunia yang sangat cepat binasanya dan cepat lenyap kenikmatannya. Sesungguhnya sifat kehidupan dunia yang menakjubkan ini bagaikan tumbuh-tumbuhan yang Dia keluarkan dari bumi dengan air hujan yang diturunkan dari langit, maka tumbuhlah tanam-tanaman dan tumbuh-tumbuhan dalam pelbagai jenis, bentuk dan rupa. Ada yang dimakan oleh manusia dan ada pula yang dimakan binatang.

Lalu permukaan bumi ditutupi oleh keindahan yang menghijau, yang dihiasi oleh pelbagai jenis bunga dan buah-buahan yang beraneka warna. Pada saat itu timbullah harapan dan cita-cita manusia pemilik kebun itu, untuk memetik hasil tumbuh-tumbuhan itu.

Dalam keadaan demikian, iaitu dalam keadaan yang penuh harapan dan cita-cita itu kerana beberapa hari lagi akan tiba waktu memetik, datanglah malapetaka yang memusnahkan tumbuh-tumbuhan dan pohon-pohonan itu, sehingga bumi yang berhias dengan beraneka warna itu tiba-tiba menjadi datar dan rata seakan-akan belum pernah ditanam dengan sesuatu apa pun. Lalu pada saat itu hilanglah harapan dan cita-cita sebagaimana kehidupan dan kesenangan duniawi itu dapat pula hilang dalam waktu yang seketika. Firman Allah Swt:

“Dan berilah perumpamaan kepada mereka (manusia), kehidupan dunia adalah sebagai air hujan yang kami turunkan dari langit, maka menjadi subur dengannya tumbuhan-tumbuhan di muka bumi, kemudian tumbuhan-tumbuhan itu menjadi kering yang diterbangkan oleh angin. Dan adalah Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu.”

Al-Kahfi 18:45

Ayat 25

وَٱللَّهُ يَدْعُوٓا۟ إِلَىٰ دَارِ ٱلسَّلَـٰمِ وَيَهْدِى مَن يَشَآءُ إِلَىٰ صِرَٰطٍ مُّسْتَقِيمٍ

(Itulah dia kesudahan kehidupan dunia), dan sebaliknya Allah menyeru manusia ke tempat kediaman yang selamat sentosa, dan Dia sentiasa memberi petunjuk hidayah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya) ke jalan yang betul lurus (yang selamat itu).

Setelah Allah Swt menyebutkan perumpamaan tentang kehidupan di dunia dengan segala kenikmatannya, yang akhirnya akan binasa, maka dalam ayat ini Dia mendorong manusia kepada kehidupan di akhirat.

Allah Ta’ala menyeru seluruh manusia agar beriman kepada-Nya, namun hidayah dan rahmat-Nya hanya diberikan kepada orang-orang yang betul-betul ikhlas. Ini merupakan keadilan dan kebijaksanaan-Nya.

Allah Ta’ala juga mengajak manusia kepada syurga dinamakan “Darussalam” iaitu negeri yang penuh dengan kedamaian dan keselamatan kerana sesiapa yang memasukinya pasti selamat daripada segala musibah dan kekurangan.

Daripada Abu Darda’ ra, dia berkata, Rasulullah saw bersabda:

“Tidak ada satu hari pun yang terbit padanya matahari melainkan pada kedua-dua sisinya ada dua malaikat yang menyeru dan dapat didengar oleh semua makhluk kecuali dua jenis makhluk (jin dan manusia), ‘Wahai manusia, mari menuju Rabbmu, sesungguhnya yang sedikit dan cukup itu lebih baik daripada yang banyak tetapi melalaikan.’” Selanjutnya Abu Darda’ berkata, “Hal ini tercantum dalam Al-Quran, iaitu dalam firman-Nya, ‘Allah menyeru (manusia) ke Darussalam (Negeri Kesejahteraan iaitu syurga),’” hingga akhir ayat.

(Diriwayatkan juga oleh Ibnu Abi Hatim dan Ibnu Jarir)