Perlakuan Allah Swt yang Penuh Rahmat
Surah 10: Yunus (21 – 23)
Ayat 21
وَإِذَآ أَذَقْنَا ٱلنَّاسَ رَحْمَةً مِّنۢ بَعْدِ ضَرَّآءَ مَسَّتْهُمْ إِذَا لَهُم مَّكْرٌ فِىٓ ءَايَاتِنَا ۚ قُلِ ٱللَّهُ أَسْرَعُ مَكْرًا ۚ إِنَّ رُسُلَنَا يَكْتُبُونَ مَا تَمْكُرُونَ
Dan apabila Kami beri manusia merasai sesuatu rahmat sesudah mereka ditimpa sesuatu kesusahan, mereka dengan serta-merta melakukan rancangan mereka menentang ayat-ayat keterangan Kami dengan mendustakannya dan mengingkarinya. Katakanlah (wahai Muhammad): “Allah lebih cepat melakukan rancangan menentangnya!” Sesungguhnya malaikat-malaikat utusan Kami sentiasa menulis akan rancangan tipu daya yang kamu jalankan itu.
Allah Swt menyatakan bahawa apabila orang-orang musyrik itu memperoleh kesenangan, kemudahan, jalan keluar dan kelapangan setelah mereka ditimpa kesusahan, maka mulailah mereka merancang tipu daya untuk menentang ayat-ayat-Nya dengan mendustakannya dan mengejek-ejeknya.
Apabila dikatakan kepada mereka bahawa rahmat atau kesenangan yang mereka peroleh itu disebabkan berkat daripada doa Rasulullah saw sebagai mukjizatnya, mereka mendustakannya. Mereka berdegil tidak mahu percaya dan masih kufur kepada Allah Ta’ala. Berkaitan dengan hal ini, Imam Al-Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan daripada ‘Abdullah bin Mas’ud ra, dia berkata:
“Tatkala orang-orang Quraisy mengingkari Rasulullah saw, Baginda berdoa kepada Allah Swt agar mereka ditimpakan azab berupa tahun kemarau seperti tahun kemarau yang terjadi kepada Nabi Yusuf as. Maka mereka pun ditimpa musim kemarau yang panjang hingga mereka terpaksa memakan tulang dan bangkai, bahkan penglihatan salah seorang daripada mereka melihat antara dia dan langit bagaikan bentuk kabus yang menggumpal kerana kelaparannya, maka Allah Ta’ala menurunkan ayat 10-11 dalam surah Ad-Dukhan, “Maka tunggulah hari ketika langit membawa kabus yang nyata, yang meliputi manusia. Inilah azab yang pedih.” Maka datanglah Abu Sufyan, pemimpin Quraisy kepada Rasulullah saw, dia berkata, “Wahai Muhammad, sesungguhnya engkau datang kepada kami memerintahkan kami agar bersilaturrahim, dan sesungguhnya satu kaum barangkali mereka akan binasa, maka mohonkanlah kepada Allah Swt untuk mereka dilepaskan daripada kesulitan itu.” Maka Baginda berdoa kepada Allah Swt, lalu hilanglah kesulitan dan azab tersebut dan turunlah hujan. Namun mereka kembali semula kepada keadaan dan tipu daya yang dahulu dengan menolak ayat-ayat Allah dan memusuhi Rasul-Nya serta mendustakannya.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Kemudian Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah saw mengatakan kepada mereka bahawa Dia lebih cepat seksaan-Nya daripada tipu daya mereka untuk memadamkan cahaya Islam. Dia telah menyiapkan azab-Nya yang akan ditimpakan kepada mereka sebelum mereka sempat mengatur tipu daya untuk menghancurkan Islam dan kaum muslim.
Para malaikat yang bertugas mencatat dan menulis amal perbuatan mereka akan mencatat semua perbuatan manusia baik yang kecil mahupun yang besar. Kemudian di akhirat nanti, setiap manusia akan memperoleh balasan atas segala perbuatan mereka itu.
Ayat 22
هُوَ ٱلَّذِى يُسَيِّرُكُمْ فِى ٱلْبَرِّ وَٱلْبَحْرِ ۖ حَتَّىٰٓ إِذَا كُنتُمْ فِى ٱلْفُلْكِ وَجَرَيْنَ بِهِم بِرِيحٍ طَيِّبَةٍ وَفَرِحُوا۟ بِهَا جَآءَتْهَا رِيحٌ عَاصِفٌۭ وَجَآءَهُمُ ٱلْمَوْجُ مِن كُلِّ مَكَانٍ وَظَنُّوٓا۟ أَنَّهُمْ أُحِيطَ بِهِمْ ۙ دَعَوُا۟ ٱللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ لَئِنْ أَنجَيْتَنَا مِنْ هَـٰذِهِۦ لَنَكُونَنَّ مِنَ ٱلشَّـٰكِرِينَ
Dia-lah yang menjalankan kamu di darat dan di laut (dengan diberi kemudahan menggunakan berbagai jenis kenderaan); sehingga apabila kamu berada di dalam bahtera, dan bahtera itu pula bergerak laju membawa penumpang-penumpangnya dengan tiupan angin yang baik, dan mereka pun bersukacita dengannya; tiba-tiba datanglah kepadanya angin ribut yang kencang, dan mereka pula didatangi ombak menimpa dari segala penjuru, serta mereka percaya bahawa mereka diliputi oleh bahaya; pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepada-Nya semata-mata (sambil merayu dengan berkata): “Demi sesungguhnya! jika Engkau (Ya Allah) selamatkan kami dari bahaya ini, kami tetap menjadi orang-orang yang bersyukur”.
Allah Ta’ala membuat satu perumpamaan kepada orang-orang musyrik yang membalas nikmat anugerah-Nya dengan menentang dan menolak segala ajaran-Nya.
Sesungguhnya Allah Ta’ala yang mengurniakan manusia kesanggupan berjalan di darat, belayar di lautan, dan terbang di udara dengan memberikan kesempatan untuk mempergunakan beraneka jenis alat pengangkutan seperti binatang, kapal, dan sebagainya. Semuanya ini adalah bagi kemudahan manusia. Bahkan ketika mereka berada dalam kapal laut yang membawa mereka di lautan dengan angin yang baik menuju ke destinasi mereka, mereka berasa gembira kerana berada dalam keadaan selesa.
Namun apabila tiba-tiba datang angin badai yang kencang menerpa kapal mereka dari segenap penjuru, maka ketika itu mereka yakin bahawa mereka pasti akan binasa.
Dalam keadaan ini mereka kembali kepada fitrah iaitu mereka yakin tidak ada yang dapat memberi pertolongan kecuali Allah Swt. Oleh itu, mereka pun berdoa kepada-Nya seraya merendahkan diri dengan penuh keikhlasan, dan meninggalkan sesembahan mereka sambil menyesali perbuatan yang pernah mereka lakukan, agar Allah Swt melepaskan mereka daripada bahaya ombak yang sangat dahsyat itu, lalu mengucapkan, “Wahai Tuhan kami, sesungguhnya jika Engkau menyelamatkan kami daripada bahaya ini, pastilah kami akan termasuk orang-orang yang bersyukur.”
Ayat 23
فَلَمَّآ أَنجَىٰهُمْ إِذَا هُمْ يَبْغُونَ فِى ٱلْأَرْضِ بِغَيْرِ ٱلْحَقِّ ۗ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّمَا بَغْيُكُمْ عَلَىٰٓ أَنفُسِكُم ۖ مَّتَـٰعَ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا ۖ ثُمَّ إِلَيْنَا مَرْجِعُكُمْ فَنُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ
Kemudian apabila sahaja Allah selamatkan mereka, mereka dengan serta-merta merebakkan perbuatan derhaka di bumi dengan tidak ada sebarang alasan yang benar. Wahai manusia! Sesungguhnya perbuatan kamu menderhaka itu hanyalah bala bencana terhadap diri kamu sendiri. (Dengan itu kamu hanya dapat merasai) kesenangan hidup di dunia (bagi sementara); kemudian kepada kamilah tempat kembalinya kamu, maka Kami akan memberitahu apa yang kamu telah lakukan.
Setelah diselamatkan oleh Allah Ta’ala, mereka lupa terhadap doa dan janji-janji yang telah mereka ungkapkan. Sebaliknya mereka kembali melakukan perbuatan syirik. Firman-firman-Nya:
“Dan apabila manusia ditimpa bahaya, dia berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri, tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu daripadanya, dia (kembali) melalui (jalannya yang sesat) seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk (menghilangkan) bahaya yang telah menimpanya. Begitulah orang-orang yang melampaui batas itu memandang baik apa yang selalu mereka kerjakan.”
Yunus 10:12
“Dan apabila kamu ditimpa bahaya di lautan, nescaya hilanglah siapa yang kamu seru kecuali Dia, Maka tatkala Dia menyelamatkan kamu ke daratan, kamu berpaling. Dan manusia itu adalah selalu tidak berterima kasih.”
Al-Isra’ 17:67
Kenikmatan duniawi hanya sebentar yang sifatnya akan digambarkan oleh Allah Swt selepas ayat ini. Allah Swt menangguhkan seksaan-Nya ke atas mereka di dunia (istidraj) dan penangguhannya lebih dahsyat kerana mereka akan dimatikan dalam keadaan lalai, dan akan mendapat balasan di akhirat di atas apa yang mereka lakukan. Dalam ayat ini terdapat peringatan yang mendalam terhadap mereka jika tetap di atas perbuatan itu.