Surah 10: Yunus (20)

Seluruh Perkara Ghaib Milik Allah Swt

Surah 10: Yunus (20)


Ayat 20

وَيَقُولُونَ لَوْلَآ أُنزِلَ عَلَيْهِ ءَايَةٌ مِّن رَّبِّهِۦ ۖ فَقُلْ إِنَّمَا ٱلْغَيْبُ لِلَّهِ فَٱنتَظِرُوٓا۟ إِنِّى مَعَكُم مِّنَ ٱلْمُنتَظِرِينَ

Dan mereka yang ingkar itu berkata: “Mengapa tidak diturunkan kepada (Muhammad) satu mukjizat dari Tuhannya? “Maka jawablah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya perkara yang ghaib itu tertentu bagi Allah; oleh itu tunggulah (hukuman Allah), sesungguhnya aku juga di antara orang-orang yang menunggu.

Orang-orang kafir yang mendustakan Allah Swt mengatakan mengapa tidak diturunkan kepada Nabi Muhammad saw suatu tanda daripada Rabbnya, sebagaimana Allah memberikan kaum Thamud seekor unta. Sesungguhnya Allah Swt adalah Zat yang Maha Bijaksana dalam perbuatan-perbuatan-Nya dan perkataan-perkataan-Nya. Dia boleh menghantar apa sahaja sebagai bukti kekuasaan-Nya namun mereka tetap tidak akan mempercayainya. Firman-Nya:

“Dan sekali-kali tidak ada yang menghalangi Kami untuk mengirimkan (kepadamu) tanda-tanda (kekuasaan Kami) melainkan kerana tanda-tanda itu telah didustakan oleh orang-orang dahulu.”

Al-Isra’ 17:59

Malah dalam surah yang lain, orang-orang musyrik ini meminta kebun-kebun yang indah-indah yang mengalir sungai-sungai di dalamnya, atau azab dengan menjatuhkan langit, atau rumah daripada emas sebagai bukti kenabian Muhammad saw seperti dalam firman-Nya:

“Dan mereka berkata, ‘Kami sekali-kali tidak percaya kepadamu hingga kamu memancarkan mata air dari bumi untuk kami, atau kamu mempunyai sebuah kebun kurma dan anggur, lalu kamu alirkan sungai-sungai di celah kebun yang deras alirannya, atau kamu jatuhkan langit berkeping-keping atas kami, sebagaimana kamu katakan atau kamu datangkan Allah dan malaikat-malaikat berhadapan muka dengan kami. Atau kamu mempunyai sebuah rumah daripada emas, atau kamu naik ke langit. Dan kami sekali-kali tidak akan mempercayai kenaikanmu itu hingga kamu turunkan atas kami sebuah kitab yang kami baca.’ Katakanlah, ‘Maha Suci Rabbku, bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi Rasul?’”

Al-Isra’ 17:90-93

Lalu Allah Ta’ala mengajar Rasulullah saw menjawab pertanyaan mereka dengan mengatakan bahawa semua perkara ghaib adalah milik-Nya dan hanya Dia Yang Maha Mengetahui segala yang ghaib.

Kemudian Rasulullah saw berkata, sekiranya orang-orang musyrik tidak mahu beriman, maka tunggu sahajalah keputusan Allah Ta’ala iaitu azab daripada-Nya atas mereka kerana penolakan dan pembangkangan terhadap ayat-ayat-Nya.