Surah 10: Yunus (15 – 17)

Sikap Orang Kafir terhadap Al-Quran

Surah 10: Yunus (15 – 17)


Ayat 15

وَإِذَا تُتْلَىٰ عَلَيْهِمْ ءَايَاتُنَا بَيِّنَـٰتٍ ۙ قَالَ ٱلَّذِينَ لَا يَرْجُونَ لِقَآءَنَا ٱئْتِ بِقُرْءَانٍ غَيْرِ هَـٰذَآ أَوْ بَدِّلْهُ ۚ قُلْ مَا يَكُونُ لِىٓ أَنْ أُبَدِّلَهُۥ مِن تِلْقَآئِ نَفْسِىٓ ۖ إِنْ أَتَّبِعُ إِلَّا مَا يُوحَىٰٓ إِلَىَّ ۖ إِنِّىٓ أَخَافُ إِنْ عَصَيْتُ رَبِّى عَذَابَ يَوْمٍ عَظِيمٍ

Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang jelas nyata, berkatalah orang-orang yang tidak menaruh ingatan menemui Kami (untuk menerima balasan): “Bawalah Quran yang lain daripada ini atau tukarkanlah dia”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak berhak menukarkannya dengan kemahuanku sendiri, aku hanya tetap menurut apa yang diwahyukan kepadaku sahaja. Sesungguhnya aku takut, – jika aku menderhaka kepada Tuhanku, – akan azab hari yang besar (soal jawabnya)”.

Allah Swt menyebutkan sikap kaum kafir Quraisy yang mengingkari-Nya iaitu ketika dibacakan ayat-ayat Al-Quran yang menerangkan kebenaran, mereka berpaling daripadanya dan minta digantikan dengan yang lain.

Mereka memohon agar didatangkan kitab yang baru untuk dibaca dan isinya mestilah tidak mencela berhala-berhala mereka, tidak menyebut tentang kebangkitan daripada kubur, hidup sesudah mati dan sebagainya. Ini menunjukkan begitu beraninya mereka terhadap Allah Ta’ala dengan menolak ayat-ayat-Nya. Hal ini kerana kebodohan, kesesatan, kezaliman dan sikap keras kepala mereka dalam menentang hukum-hukum Allah Swt.

Oleh itu, Allah Swt mengajar Rasulullah saw agar mengatakan kepada mereka bahawa Al-Quran itu bukanlah daripadanya malah semuanya adalah wahyu daripada Allah Ta’ala. Baginda tidak layak untuk menukar atau mengganti ayat-ayat Al-Quran kerana Baginda hanyalah seorang utusan Allah Swt yang menyampaikan.

Rasulullah saw juga diajar oleh Allah Swt supaya mengatakan bahawa Baginda takut kepada seksaan-Nya pada hari kiamat sekiranya Baginda menderhakai-Nya dengan mengikuti nafsu orang-orang kafir tersebut.

Ayat 16

قُل لَّوْ شَآءَ ٱللَّهُ مَا تَلَوْتُهُۥ عَلَيْكُمْ وَلَآ أَدْرَىٰكُم بِهِۦ ۖ فَقَدْ لَبِثْتُ فِيكُمْ عُمُرًا مِّن قَبْلِهِۦٓ ۚ أَفَلَا تَعْقِلُونَ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika Allah kehendaki (supaya aku tidak membacakan Al-Quran ini kepada kamu), tentulah aku tidak dapat membacakannya kepada kamu, dan tentulah Ia tidak memberitahu kamu akan Al-Quran ini (dengan perantaraanku); kerana sesungguhnya aku telah tinggal dalam kalangan kamu satu masa yang lanjut (dan kamu pula mengenal aku sebagai seorang yang amanah) sebelum turunnya Al-Quran ini; maka mengapa kamu tidak mahu memikirkannya?”

Allah Swt juga mengajar Rasulullah saw mengatakan kepada kaum kafir bahawa apa yang Baginda bawa kepada mereka adalah dengan izin-Nya dan kehendak-Nya. Sekiranya Dia tidak menghendaki Baginda membacakan ayat-ayat Al-Quran kepada mereka pasti Baginda tidak akan membacanya.

Baginda juga diajar agar menyebutkan dalil bahawa Al-Quran itu benar daripada Allah Swt berdasarkan sifat Baginda yang telah diketahui oleh orang-orang kafir tersebut. Mereka telah lama hidup bersama Baginda dan telah mengenali Baginda sebagai seorang yang jujur dan amanah. Oleh itu, sepatutnya orang-orang kafir itu dapat memikirkan bahawa ayat-ayat Al-Quran itu adalah kerana Baginda tidak pernah berbohong apatah lagi terhadap perkara-perkara yang sangat penting seperti agama.

Ayat 17

فَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ ٱفْتَرَىٰ عَلَى ٱللَّهِ كَذِبًا أَوْ كَذَّبَ بِـَٔايَـٰتِهِۦٓ ۚ إِنَّهُۥ لَا يُفْلِحُ ٱلْمُجْرِمُونَ

Dengan yang demikian, tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang berdusta terhadap Allah, atau yang mendustakan ayat-ayat-Nya. Sesungguhnya orang-orang yang berdosa itu tidak akan berjaya.

Allah Ta’ala menyatakan tidak ada orang yang lebih zalim daripada dua golongan ini:

▪️   Orang-orang yang mengadakan pendustaan terhadap-Nya dengan menjadikan-Nya mempunyai sekutu atau mempunyai anak seperti yang telah dilakukan orang-orang musyrik. Juga orang-orang yang meminta Rasulullah saw menukar ayat-ayat-Nya dengan perkataan yang lain yang tidak bertentangan dengan kepercayaan mereka.

▪️   Orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Allah Swt yang sangat jelas dan mengingkarinya.

Kemudian Allah Ta’ala menyatakan bahawa tidaklah beruntung orang-orang kafir di akhirat kelak kerana mereka tidak akan memperoleh syurga. Ini merupakan ancaman keras daripada-Nya kepada mereka yang mendustakan ayat-ayat-Nya.