Surah 10: Yunus (9 – 10)

Doa Orang Beriman di Syurga

Surah 10: Yunus (9 – 10)


Ayat 9

إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ يَهْدِيهِمْ رَبُّهُم بِإِيمَـٰنِهِمْ ۖ تَجْرِى مِن تَحْتِهِمُ ٱلْأَنْهَـٰرُ فِى جَنَّـٰتِ ٱلنَّعِيمِ

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Tuhan mereka akan memimpin mereka dengan sebab iman mereka yang sempurna itu. (Mereka masuk ke taman yang) sungai-sungainya mengalir di bawah tempat kediaman mereka di dalam Syurga yang penuh nikmat.

Ini bermaksud disebabkan keimanan mereka di dunia, maka Allah Swt memberi petunjuk kepada mereka jalan yang lurus, sehingga mereka masuk ke syurga. Mereka akan mendapat kenikmatan yang sempurna di syurga yang mengalir sungai-sungai di bawah kediaman mereka.

Ayat 10

دَعْوَىٰهُمْ فِيهَا سُبْحَـٰنَكَ ٱللَّهُمَّ وَتَحِيَّتُهُمْ فِيهَا سَلَـٰمٌ ۚ وَءَاخِرُ دَعْوَىٰهُمْ أَنِ ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ

Doa ucapan mereka di dalam Syurga itu ialah Maha Suci Engkau dari segala kekurangan wahai Tuhan! Dan ucapan penghormatan mereka padanya ialah: Selamat sejahtera! Dan akhir doa mereka ialah segala puji dipersembahkan kepada Allah yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam!

Inilah keadaan penduduk syurga. Mereka sentiasa memuji dan mensucikan Allah Swt dengan ucapan-ucapan seperti di atas.

Maksud puja dan puji mereka kepada Allah Swt adalah ucapan “Subhanakallahumma”. Ada yang mentafsirkan, bahawa permintaan mereka kepada apa yang mereka inginkan di syurga ialah dengan mengucapkan, “Subhanakallahumma,” lalu permintaan mereka ditunaikan pada masa itu juga. Setelah selesai, mereka mengucapkan “Alhamdulillahi Rabbil ‘aalamiin.”

Ada juga yang mentafsirkan puja dan puji sebagai ibadah mereka di dunia dahulu hanya kerana Allah Swt, dimulai dengan tasbih dan diakhiri dengan tahmid. Ketika itu, semua beban telah gugur daripada mereka, yang tinggal hanyalah kelazatan yang paling sempurna iaitu zikrullah. Zikrullah menjadikan hati mereka tenang.

Penghormatan antara sesama mereka ketika bertemu dan berkunjung ialah ucapan salam iaitu ucapan yang selamat daripada perkataan yang sia-sia dan dosa. Firman-Nya:

“Mereka tidak mendengar di dalamnya perkataan yang sia-sia dan tidak pula perkataan yang menimbulkan dosa, akan tetapi mereka mendengar ucapan salam.”

Al-Waqi‘ah 56:25-26

Ini adalah salam penghormatan orang-orang mukmin di dunia dan salam penghormatan Allah Swt ketika Dia bertemu dengan para ahli syurga. Firman-firman-Nya:

“Salam penghormatan kepada mereka (orang-orang mukmin itu) pada hari mereka menemui-Nya ialah, “Salam”, dan Dia menyediakan pahala yang mulia bagi mereka.”

Al-Ahzab 33:44

“(Kepada mereka dikatakan), “Salam”, sebagai ucapan selamat daripada Rabb Yang Maha Penyayang.”

Yasin 36:58