Surah 10: Yunus (1 – 2)

Rasulullah saw adalah Pemberi Peringatan dan Khabar Gembira

Surah 10: Yunus (1 – 2)


Ayat 1

الٓر ۚ تِلْكَ ءَايَـٰتُ ٱلْكِتَـٰبِ ٱلْحَكِيمِ

Alif, Laam Raa’ ini ialah ayat-ayat Kitab (Al-Quran) yang mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap teguh.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa inilah ayat-ayat Al-Quran yang mengandungi hikmah yang Dia telah turunkan dan jelaskan kepada hamba-hamba-Nya. Firman-Nya dalam ayat yang lain:

“Alif Lam Ra, (inilah) suatu kitab yang ayat-ayatnya disusun dengan rapi serta dijelaskan secara terperinci, yang diturunkan dari sisi (Allah) Yang Maha Bijaksana lagi Maha Tahu.”

Hud 11:1

Ayat 2

أَكَانَ لِلنَّاسِ عَجَبًا أَنْ أَوْحَيْنَآ إِلَىٰ رَجُلٍ مِّنْهُمْ أَنْ أَنذِرِ ٱلنَّاسَ وَبَشِّرِ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَنَّ لَهُمْ قَدَمَ صِدْقٍ عِندَ رَبِّهِمْ ۗ قَالَ ٱلْكَـٰفِرُونَ إِنَّ هَـٰذَا لَسَـٰحِرٌ مُّبِينٌ

Tidaklah patut adanya pada manusia yang ingkar itu perasaan hairan disebabkan Kami telah wahyukan kepada seorang lelaki dari jenis mereka (Nabi Muhammad, dengan berfirman kepadanya): “Berilah amaran kepada umat manusia (yang ingkar, dengan balasan azab) dan sampaikanlah berita yang mengembirakan kepada orang-orang yang beriman, bahawa bagi mereka ada persediaan yang sungguh mulia di sisi Tuhan mereka (disebabkan amal-amal soleh yang mereka kerjakan). (Setelah Nabi Muhammad memberi amaran dan menyampaikan berita yang mengembirakan) berkatalah orang-orang kafir (yang merasa hairan) itu: “Sebenarnya (Al-Quran) ini ialah sihir yang terang nyata.”

Allah Swt menempelak orang-orang kafir yang berasa hairan apabila diturunkan wahyu berupa Al-Quran kepada seorang lelaki daripada kalangan mereka yang membawa peringatan tentang seksaan-Nya dan memberikan khabar gembira kepada orang-orang yang beriman kepada-Nya dan para rasul-Nya. Firman-Nya:

“Dan apakah kamu (tidak percaya) dan hairan bahawa datang kepada kamu peringatan daripada Rabbmu dengan perantaraan seorang lelaki daripada golongan kamu agar dia memberi peringatan kepada kamu dan mudah-mudahan kamu bertakwa dan supaya kamu mendapat rahmat?”

Al-A’raf 7:63

Sesungguhnya hanya Allah Swt yang mengetahui siapakah yang layak dan sanggup untuk menyampaikan agama-Nya kepada seluruh manusia. Firman-Nya:

“Apabila datang sesuatu ayat kepada mereka, mereka berkata, “Kami tidak akan beriman sehingga diberikan kepada kami yang serupa dengan apa yang telah diberikan kepada utusan-utusan Allah.” Allah lebih mengetahui di mana Dia menempatkan tugas kerasulan. Orang-orang yang berdosa, nanti akan ditimpa kehinaan di sisi Allah dan seksaan yang keras disebabkan mereka selalu membuat tipu daya.”

Al-An’am 6:124

Namun ketika Rasulullah saw datang kepada mereka dengan membawa wahyu Allah dan membacakannya kepada mereka, orang-orang yang ingkar menuduh bahawa Baginda adalah seorang tukang sihir dan apa yang dibawanya merupakan sihir yang nyata kebatilannya.