Kasih-Sayang Rasulullah saw kepada Umatnya
Surah 9: At-Taubah (128 – 129)
Ayat 128
لَقَدْ جَآءَكُمْ رَسُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُم بِٱلْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad saw), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.
Allah Swt menyebutkan limpahan nikmat yang telah diberikan-Nya kepada orang-orang mukmin melalui seorang Rasul yang diutus oleh-Nya daripada kalangan mereka sendiri, iaitu daripada bangsa mereka dan sebahasa dengan mereka. Firman-Nya:
“Sungguh Allah telah memberi kurnia kepada orang-orang yang beriman ketika Allah mengutus di antara mereka seorang Rasul daripada golongan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, membersihkan (jiwa) mereka, dan mengajarkan kepada mereka Al-Kitab dan Al-Hikmah. Dan sesungguhnya sebelum (kedatangan Nabi) itu, mereka adalah benar-benar dalam kesesatan yang nyata.”
Ali ‘Imran 3:164
Hal ini juga telah didoakan oleh Nabi Ibrahim as seperti firman-Nya:
“Wahai Rabb kami, utuslah untuk mereka sesorang Rasul daripada kalangan mereka, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat Engkau, dan mengajarkan kepada mereka Al-Kitab (Al-Quran) dan Al-Hikmah (As-Sunnah) serta mensucikan mereka. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana.”
Al-Baqarah 2:129
Ada yang berpendapat maksud, “Rasul dari golongan kamu sendiri” dalam ayat ini ialah daripada kalangan manusia bukan daripada kalangan malaikat.
Allah Ta’ala juga menyatakan bahawa pada diri Rasulullah saw terdapat sifat “sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu” iaitu tidak mudah baginya membiarkan umatnya mendapat kesusahan dan tersesat daripada kebenaran. Ini kerana Baginda menginginkan semua umat manusia mendapat hidayah dan seterusnya beroleh kesejahteraan di dunia dan dijauhi daripada api neraka. Baginda amat belas kasihan kepada orang-orang mukmin yang taat kepada-Nya dan masih mengasihi orang-orang mukmin yang berdosa.
Ayat 129
فَإِن تَوَلَّوْا۟ فَقُلْ حَسْبِىَ ٱللَّهُ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ۖ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ ۖ وَهُوَ رَبُّ ٱلْعَرْشِ ٱلْعَظِيمِ
Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka katakanlah (wahai Muhammad): “Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepada-Nya aku berserah diri, dan Dia-lah yang mempunyai Arasy yang besar.”
Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah saw mengatakan kepada orang-orang munafik dan kafir yang berpaling daripada apa yang Baginda sampaikan kepada mereka, bahawa Dia-lah yang memberikan kecukupan kepada Baginda. Tidak ada Ilah selain Dia, dan hanya kepada-Nya Baginda bertawakkal.
Allah Swt adalah Pemilik ‘Arasy yang agung dan segala sesuatu, serta Dia jugalah yang menciptakannya.
Semua makhluk yang ada di langit, bumi, dan segala sesuatu yang ada pada kedua-duanya serta segala sesuatu yang ada di antara kedua-duanya, semuanya berada di bawah ‘Arasy dan tunduk patuh di bawah kekuasaan Allah Swt. Pengetahuan (ilmu) Allah Swt meliputi segala sesuatu, kekuasaan-Nya menjangkau segala sesuatu, dan Dia-lah yang melindungi segala sesuatu.