Sikap Orang Munafik apabila Diturunkan Ayat Al-Quran
Surah 9: At-Taubah (124 – 127)
Ayat 124
وَإِذَا مَآ أُنزِلَتْ سُورَةٌ فَمِنْهُم مَّن يَقُولُ أَيُّكُمْ زَادَتْهُ هَـٰذِهِۦٓ إِيمَـٰنًا ۚ فَأَمَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ فَزَادَتْهُمْ إِيمَـٰنًا وَهُمْ يَسْتَبْشِرُونَ
Dan apabila diturunkan sesuatu surah (dari Al-Quran) maka di antara mereka (yang munafik) ada yang bertanya (secara mengejek): “Siapakah di antara kamu yang imannya bertambah disebabkan oleh surah ini?” Adapun orang-orang yang beriman, maka surah itu menambahkan iman mereka, sedang mereka bergembira (dengan turunnya).
Setiap kali turun ayat Al-Quran, ada di antara kaum munafik bertanya kepada teman-temannya baik daripada kalangan kaum munafik sendiri mahupun teman-teman mereka daripada kaum mukmin yang lemah imannya, “Siapakah di antara kamu yang imannya bertambah disebabkan oleh surah ini?”
Pertanyaan kaum munafik ini bukanlah bermaksud untuk menanyakan sesuatu bagi mendapatkan penjelasan kepada apa yang tidak diketahui tetapi mereka bertujuan agar teman-teman mereka yang munafik itu tetap dalam pendirian munafik dan agar teman-teman mereka daripada orang-orang mukmin yang lemah iman mereka akan berasa ragu-ragu terhadap Islam dan berubah menjadi orang munafik.
Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala menyatakan bahawa bagi orang-orang beriman kepada-Nya dan kepada Rasul-Nya, serta orang-orang yang hatinya telah mendapat pancaran cahaya agama Islam, akan bertambah keimanan mereka dengan bertambahnya ayat-ayat yang diturunkan kepada Rasulullah saw dan disampaikan kepada mereka.
Ini bermaksud, setiap ayat yang disampaikan kepada orang-orang beriman ini akan menguatkan keimanan dan keyakinan serta akan menambah ketenangan dan ketenteraman kepada mereka. Mereka selalu menerima ayat-ayat itu dengan senang hati dan penuh kegembiraan. Firman-Nya:
“……………Katakanlah, ‘Al-Quran itu adalah petunjuk dan penawar bagi orang-orang mukmin. Dan orang-orang yang tidak beriman pada telinga mereka ada sumbatan, sedang Al-Quran itu suatu kegelapan bagi mereka. Mereka itu adalah (seperti) yang dipanggil dari tempat yang jauh.’”
Fussilat 41:44
Ayat 125
وَأَمَّا ٱلَّذِينَ فِى قُلُوبِهِم مَّرَضٌ فَزَادَتْهُمْ رِجْسًا إِلَىٰ رِجْسِهِمْ وَمَاتُوا۟ وَهُمْ كَـٰفِرُونَ
Adapun orang-orang yang ada penyakit (kufur) dalam hati mereka maka surah Al-Quran itu menambahkan kekotoran (kufur) kepada kekotoran (kufur) yang ada pada mereka; dan mereka mati, sedang mereka berkeadaan kafir.
Kemudian Allah Ta’ala menyatakan bahawa orang-orang yang di dalam hati mereka terdapat kemunafikan dan keragu-raguan terhadap agama-Nya, maka sesungguhnya turunnya surah itu akan menambahkan lagi kemunafikan dan keragu-raguan yang ada pada mereka. Oleh itu, binasalah orang-orang yang mengingkari Allah Swt dan ayat-ayat-Nya.
Ayat 126
أَوَلَا يَرَوْنَ أَنَّهُمْ يُفْتَنُونَ فِى كُلِّ عَامٍ مَّرَّةً أَوْ مَرَّتَيْنِ ثُمَّ لَا يَتُوبُونَ وَلَا هُمْ يَذَّكَّرُونَ
Dan (patutkah) mereka (berdegil) tidak mahu memperhatikan, bahawa mereka dicuba (dengan berbagai-bagai bencana) pada tiap-tiap tahun, sekali atau dua kali; kemudian mereka tidak juga bertaubat, dan tidak pula mereka mahu beringat (dan insaf)?
Seterusnya Allah Ta’ala menyatakan bahawa amat menghairankan mengenangkan sifat orang-orang munafik ini. Adakah mereka tidak memperhatikan atau mengambil tahu bahawa mereka selalu diuji-Nya sekali atau dua kali pada setiap tahun dengan pelbagai musibah seperti ditimpa penyakit, kelaparan, peperangan dan juga didedahkan rahsia munafik mereka.
Namun mereka tidak juga mahu bertaubat dan meninggalkan sifat munafik mereka. Padahal segala musibah ini sepatutnya mengingatkan mereka kepada Allah Ta’ala dan menjadikan mereka beriman serta meninggalkan kekafiran mereka.
Ayat 127
وَإِذَا مَآ أُنزِلَتْ سُورَةٌ نَّظَرَ بَعْضُهُمْ إِلَىٰ بَعْضٍ هَلْ يَرَىٰكُم مِّنْ أَحَدٍ ثُمَّ ٱنصَرَفُوا۟ ۚ صَرَفَ ٱللَّهُ قُلُوبَهُم بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لَّا يَفْقَهُونَ
Dan apabila diturunkan satu surah dari Al-Quran (mendedahkan keburukan orang-orang munafik itu) setengah mereka memandang kepada setengahnya yang lain sambil berkata: “Adakah sesiapa nampak kamu (kalau kita undur dari sini)?” Kemudian mereka berpaling pergi (dengan meninggalkan majlis Nabi); Allah memalingkan hati mereka (daripada iman), disebabkan mereka kaum yang tidak (mahu) mengerti.
Ayat ini menerangkan sikap orang-orang munafik dan tindakan-tindakan mereka ketika mereka berada dalam majlis Rasulullah saw. Apabila diturunkan ayat-ayat Al-Quran kepada Baginda, mereka saling memandang satu sama lain, mengedipkan mata sebagai tanda memandang ringan terhadap apa yang telah diturunkan itu.
Sikap orang-orang munafik ini menunjukkan bahawa pengaruh kekafiran telah berakar umbi dalam jiwa mereka. Mereka sebenarnya tidak ingin mendengar ayat-ayat Al-Quran daripada Rasulullah saw dan tidak ingin orang lain mendapat petunjuk dengan Al-Quran.
Selain itu mereka akan beransur-ansur meninggalkan majlis Rasulullah saw sambil bertanya kepada temannya yang lain, “Adakah sesiapa nampak kamu (kalau kita undur dari sini)?” iaitu adakah orang yang melihat mereka meninggalkan majlis itu.
Sementara itu orang-orang mukmin pula mendengar dan memperhatikan ayat-ayat itu dengan tunduk dan penuh perhatian.
Oleh sebab sikap orang-orang munafik yang buruk ini, Allah Ta’ala memalingkan hati mereka daripada keimanan dan petunjuk yang ada dalam ayat-ayat Al-Quran. Ini kerana sesunggguhnya mereka tidak mahu memahami dan juga tidak mahu merenunginya.