Kewajipan Berjihad dan Balasan bagi Orang yang Berbuat Baik
Surah 9: At-Taubah (120 – 121)
Ayat 120
مَا كَانَ لِأَهْلِ ٱلْمَدِينَةِ وَمَنْ حَوْلَهُم مِّنَ ٱلْأَعْرَابِ أَن يَتَخَلَّفُوا۟ عَن رَّسُولِ ٱللَّهِ وَلَا يَرْغَبُوا۟ بِأَنفُسِهِمْ عَن نَّفْسِهِۦ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ لَا يُصِيبُهُمْ ظَمَأٌ وَلَا نَصَبٌ وَلَا مَخْمَصَةٌ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا يَطَـُٔونَ مَوْطِئًا يَغِيظُ ٱلْكُفَّارَ وَلَا يَنَالُونَ مِنْ عَدُوٍّۢ نَّيْلًا إِلَّا كُتِبَ لَهُم بِهِۦ عَمَلٌ صَـٰلِحٌ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُضِيعُ أَجْرَ ٱلْمُحْسِنِينَ
Tidaklah patut bagi penduduk Madinah dan orang-orang yang di sekeliling mereka dari orang-orang Arab ketinggalan daripada (turut berperang bersama) Rasulullah; dan tidaklah patut mereka mengasihi diri mereka sendiri dengan tidak menghiraukan Rasulullah. Yang demikian kerana sesungguhnya (tiap-tiap kali) mereka merasai dahaga, dan merasai penat lelah, dan juga merasai lapar (dalam perjuangan) pada jalan Allah; dan (tiap-tiap kali) mereka menjejak sesuatu tempat yang menimbulkan kemarahan orang-orang kafir; dan juga (tiap-tiap kali) mereka menderita sesuatu yang mencederakan dari pihak musuh – melainkan semuanya itu ditulis bagi mereka: (pahala) amal yang soleh. Sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.
Allah Swt mencela orang-orang yang tidak ikut berperang bersama dengan Rasulullah saw dalam Perang Tabuk dan juga mencela mereka atas sikap mereka yang cenderung terhadap diri sendiri daripada membantu Baginda menghadapi kesulitan yang dialami. Mereka lebih mencintai diri sendiri daripada mencintai Rasulullah saw.
Kecenderungan mereka itu telah mengurangi pahala bagi diri mereka kerana mereka tidak menghadapi kesusahan seperti menanggung peritnya kehausan, kelaparan dan keletihan ketika berada di padang pasir yang panas terik. Mereka juga tidak merasa berpijak di bumi musuh yang dapat membangkitkan kemarahan, kesedihan mereka (musuh) kerana negara mereka diinjak. Seterusnya mereka tidak mengalami bahaya seperti penyerangan, pembunuhan, penawanan dan rampasan perang daripada musuh.
Sebenarnya kesemua kesusahan yang dialami ini ditulis sebagai amalan soleh yang berpahala bagi orang-orang yang ikut berperang. Sesungguhnya Allah Swt tidak mensia-siakan amalan orang-orang yang taat dan berbakti kepada-Nya.
Ayat 121
وَلَا يُنفِقُونَ نَفَقَةً صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً وَلَا يَقْطَعُونَ وَادِيًا إِلَّا كُتِبَ لَهُمْ لِيَجْزِيَهُمُ ٱللَّهُ أَحْسَنَ مَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ
Dan tidak pula mereka membelanjakan sesuatu perbelanjaan yang kecil, atau yang besar; dan tidak mereka melintas sesuatu lembah, melainkan ditulis pahala bagi mereka, supaya Allah membalas dengan balasan yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa orang-orang mukmin yang ikut berperang itu menginfakkan hartanya pada jalan-Nya sedikit ataupun banyak, serta melintasi lembah dalam perjalanan mereka bersama-sama Rasulullah saw menuju ke tempat musuh, akan dituliskan bagi mereka pahala atas amalan mereka. Semoga Allah Swt memberikan balasan bagi mereka dengan balasan terbaik yang diterima mereka atas amal soleh mereka. Allahumma aamiin.
Dalam ayat-ayat di atas juga terdapat dorongan yang membuatkan jiwa rindu untuk pergi berjihad ke jalan Allah Swt dan mencari pahala terhadap kesulitan yang mereka rasakan dan bahawa perkara itu meninggikan darjat mereka.