Surah 9: At-Taubah (117 – 118)

Allah Swt Penerima Taubat

Surah 9: At-Taubah (117 – 118)


Ayat 117

لَّقَد تَّابَ ٱللَّهُ عَلَى ٱلنَّبِىِّ وَٱلْمُهَـٰجِرِينَ وَٱلْأَنصَارِ ٱلَّذِينَ ٱتَّبَعُوهُ فِى سَاعَةِ ٱلْعُسْرَةِ مِنۢ بَعْدِ مَا كَادَ يَزِيغُ قُلُوبُ فَرِيقٍ مِّنْهُمْ ثُمَّ تَابَ عَلَيْهِمْ ۚ إِنَّهُۥ بِهِمْ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Sesungguhnya Allah telah menerima taubat Nabi dan orang-orang Muhajirin dan Ansar yang mengikutnya (berjuang) dalam masa kesukaran, sesudah hampir-hampir terpesong hati segolongan dari mereka (daripada menurut Nabi untuk berjuang); kemudian Allah menerima taubat mereka; sesungguhnya Allah Amat Belas, lagi Maha Mengasihani terhadap mereka.

Ayat ini menerangkan tentang kemuliaan Rasulullah saw dan para sahabat daripada kalangan Muhajirin dan Ansar. Allah Swt telah menerima taubat mereka iaitu ketika mereka berangkat ke Tabuk dalam keadaan cuaca yang sangat panas dan menghadapi kesulitan berupa kekurangan bekalan makanan, air dan juga tunggangan.

Ibnu ‘Abbas ra mentafsirkan ‘penerimaan taubat Nabi dan orang-orang mukmin’, dengan mengatakan bahawa penerimaan taubat Nabi kerana Baginda mengizinkan orang-orang munafik untuk tetap tinggal di rumah dan tidak ikut berperang seperti dalam firman Allah Swt:

“Semoga Allah memaafkanmu. Mengapa kamu memberi izin kepada mereka (untuk tidak pergi berperang), sebelum jelas bagimu orang-orang yang benar (dalam keuzurannya) dan sebelum kamu ketahui orang-orang yang berdusta?”

At-Taubah 9:43

Manakala penerimaan taubat orang-orang mukmin pula ialah ketika kesukaran dan keperitan yang dirasakan dalam Perang Tabuk, menyebabkan ada di kalangan mereka hampir-hampir berpaling daripada kebenaran, tetapi Allah Swt telah memantapkan hati mereka sehingga mereka tidak pernah mengeluarkan perkataan atau melakukan perbuatan yang keji.

Oleh itu, dalam ayat ini Allah Swt menceritakan kemuliaan dan tingginya kedudukan mereka. Kemudian Allah Swt menerima taubat mereka. Sesungguhnya Dia-lah yang Maha Penerima Taubat dan Maha Penyayang.

Ini menunjukkan tanda kasih sayang Allah Swt terhadap hamba-hamba-Nya dengan memberi mereka kesempatan untuk bertaubat dan kembali kepada keteguhan iman di atas agama-Nya.

Ayat 118

وَعَلَى ٱلثَّلَـٰثَةِ ٱلَّذِينَ خُلِّفُوا۟ حَتَّىٰٓ إِذَا ضَاقَتْ عَلَيْهِمُ ٱلْأَرْضُ بِمَا رَحُبَتْ وَضَاقَتْ عَلَيْهِمْ أَنفُسُهُمْ وَظَنُّوٓا۟ أَن لَّا مَلْجَأَ مِنَ ٱللَّهِ إِلَّآ إِلَيْهِ ثُمَّ تَابَ عَلَيْهِمْ لِيَتُوبُوٓا۟ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلتَّوَّابُ ٱلرَّحِيمُ

Dan (Allah menerima pula taubat) tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat mereka) hingga apabila bumi yang luas ini (terasa) sempit kepada mereka (kerana mereka dipulaukan), dan hati mereka pula menjadi sempit (kerana menanggung dukacita), serta mereka yakin bahawa tidak ada tempat untuk mereka lari dari (kemurkaan) Allah melainkan (kembali bertaubat) kepada-Nya; kemudian Allah (memberi taufik serta) menerima taubat mereka supaya mereka kekal bertaubat. Sesungguhnya Allah Dia-lah Penerima Taubat lagi Maha Mengasihani.

Dalam ayat ini pula dinyatakan bahawa Allah Swt juga menerima taubat tiga orang lagi yang ditangguhkan penerimaan taubat mereka.

Menurut Imam Al-Bukhari, penerimaan taubat mereka (tiga orang) ditangguhkan selama lima puluh hari. Mereka bersabar di atas penderitaan batin yang mereka tempuhi. Sepanjang tempoh tersebut, mereka dipulaukan seperti yang diumumkan oleh Rasulullah saw terhadap mereka, sementara menunggu keputusan daripada Allah Ta’ala. Hal ini disebabkan mereka tidak turut serta dalam Perang Tabuk bersama Rasulullah saw tanpa ada sebarang alasan.

Jabir bin ‘Abdillah berkata, “Mereka (tiga orang) yang ditangguhkan penerimaan taubat mereka ialah Ka’b bin Malik, Hilal bin Umayyah dan Murarah bin Ar-Rabi’. Semuanya berasal daripada golongan Ansar.”

(HR. At-Tabari)

Mereka bertiga tidak ikut berperang bersama-sama Rasulullah saw. Oleh itu, mereka berasa gundah dan menyesal dengan perbuatan mereka itu serta jiwa mereka terasa sempit disebabkan kegundahan yang menimpa mereka sehingga bumi yang luas ini juga terasa sempit.

Mereka dipulaukan dan dipisahkan daripada isteri masing-masing menyebabkan mereka hidup dalam kebingungan. Mereka juga menyedari dan meyakini bahawa Allah Swt benar-benar murka kepada mereka dan hanya kepada Dia-lah mereka mesti bertaubat dan memohon rahmat kerana tidak ada tempat berlindung daripada hukuman Allah Swt kecuali kepada-Nya.

Akhirnya Allah Swt telah berkenan menerima taubat mereka dan mereka kembali taat kepada-Nya serta taat kepada Rasulullah saw. Ini kerana Dia Maha Penerima Taubat dan luas rahmat-Nya serta belas kasihan-Nya kepada hamba-hamba-Nya.

Allah Swt menjadikan mereka bertiga sebagai teladan untuk diikuti oleh orang-orang yang beriman kerana sifat jujur yang ada pada diri mereka.