Larangan Meminta Pengampunan bagi Orang Musyrik
Surah 9: At-Taubah (113 – 114)
Ayat 113
مَا كَانَ لِلنَّبِىِّ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَن يَسْتَغْفِرُوا۟ لِلْمُشْرِكِينَ وَلَوْ كَانُوٓا۟ أُو۟لِى قُرْبَىٰ مِنۢ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُمْ أَصْحَـٰبُ ٱلْجَحِيمِ
Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka.
Ayat ini merupakan larangan kepada Rasulullah saw dan orang-orang mukmin berdoa atau memohon keampunan kepada-Nya untuk orang-orang musyrik walaupun daripada ahli keluarga terdekat mahupun jauh. Firman Allah Swt dalam surah yang lain:
“Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa menyekutukan (sesuatu) dengan Dia, dan Dia mengampuni dosa yang selain syirik bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Sesiapa yang menyekutukan (sesuatu) dengan Allah, maka sesungguhnya dia telah tersesat sejauh-jauhnya.”
An-Nisa’ 4:11
Daripada Sa’id bin Al-Musayyab daripada bapanya, dia berkata kepadanya, “Ketika menjelang kematian Abu Talib, masuklah Rasulullah saw kepadanya, sementara di sisinya ada Abu Jahal bin Hisyam dan ‘Abdullah bin Abu Umayyah bin Al-Mughirah. Rasulullah saw bersabda kepada Abu Talib:
“Wahai pakcikku, ucapkanlah ‘Lailaha illallah,’ satu kalimah yang dengannya aku akan membelamu di hadapan Allah.” Abu Jahal dan Abu Umayyah pun berkata, “Wahai Abu Talib, apakah kamu benci agama Abdul Muttalib?” Maka Rasulullah saw tidak henti-hentinya menawarkan kepadanya, sedangkan kedua-duanya juga mengulangi kata-kata tadi, sehingga kata-kata Abu Talib yang terakhir kepada mereka adalah bahawa dia di atas agama Abdul Muttalib, dia menolak mengucapkan, “Lailaha illallah.” Rasulullah saw bersabda:
“Demi Allah, sesungguhnya aku akan memohonkan keampunan untukmu selama aku tidak dilarang.” Maka Allah Ta’ala menurunkan ayat ini.
(HR. Al-Bukhari)
Memohonkan keampunan dalam keadaan seperti ini tidak bermanfaat, kerana jika mereka mati dalam keadaan syirik, ketetapan azab sudah pasti bagi mereka dan mereka mesti kekal di dalam neraka. Syafaat atau permohonan ampun tidaklah bermanfaat bagi orang-orang yang menyekutukan Allah Swt.
Ayat 114
وَمَا كَانَ ٱسْتِغْفَارُ إِبْرَٰهِيمَ لِأَبِيهِ إِلَّا عَن مَّوْعِدَةٍ وَعَدَهَآ إِيَّاهُ فَلَمَّا تَبَيَّنَ لَهُۥٓ أَنَّهُۥ عَدُوٌّ لِّلَّهِ تَبَرَّأَ مِنْهُ ۚ إِنَّ إِبْرَٰهِيمَ لَأَوَّٰهٌ حَلِيمٌ
Dan bukanlah istighfar Nabi Ibrahim bagi bapanya (dibuat) melainkan kerana adanya janji yang dijanjikan kepadanya; dan apabila ternyata kepada Nabi Ibrahim bahawa bapanya musuh bagi Allah, dia pun berlepas diri daripadanya. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu lembut hati lagi penyabar.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa permohonan keampunan Nabi Ibrahim as untuk bapanya yang musyrik, adalah semata-mata sekadar memenuhi janjinya terhadap bapanya. Firman-Nya:
“Berkata Ibrahim, ‘Semoga keselamatan dilimpahkan kepadamu, aku akan memintakan ampun bagimu kepada Rabbku. Sesungguhnya Dia sangat baik kepadaku.’”
Maryam 19:47
Namun ketika telah jelas bagi Nabi Ibrahim as bahawa ayahnya adalah musuh Allah Swt, nasihat dan peringatan tidak berguna lagi baginya, bapanya juga akan mati sebagai orang kafir, maka Baginda pun meninggalkan bapanya dan Baginda tidak lagi memohonkan keampunan baginya serta berlepas diri daripadanya.
Sesungguhnya Nabi Ibrahim as sangat tinggi kepatuhannya kepada Allah Ta’ala dan sangat sabar atas musibah.