Penjelasan tentang Perniagaan dengan Allah Swt
Surah 9: At-Taubah (111)
Ayat 111
إِنَّ ٱللَّهَ ٱشْتَرَىٰ مِنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ أَنفُسَهُمْ وَأَمْوَٰلَهُم بِأَنَّ لَهُمُ ٱلْجَنَّةَ ۚ يُقَـٰتِلُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ ۖ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِى ٱلتَّوْرَىٰةِ وَٱلْإِنجِيلِ وَٱلْقُرْءَانِ ۚ وَمَنْ أَوْفَىٰ بِعَهْدِهِۦ مِنَ ٱللَّهِ ۚ فَٱسْتَبْشِرُوا۟ بِبَيْعِكُمُ ٱلَّذِى بَايَعْتُم بِهِۦ ۚ وَذَٰلِكَ هُوَ ٱلْفَوْزُ ٱلْعَظِيمُ
Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.
Sesungguhnya Allah Ta’ala membeli daripada kaum mukmin jiwa-jiwa dan harta mereka dengan memberikan mereka syurga sebagai gantinya. Dia sediakan di dalamnya pelbagai kenikmatan sebagai balasan terhadap pengorbanan mereka dengan jiwa raga dan harta benda dalam memerangi musuh-musuh-Nya. Mereka berjuang, lalu mereka membunuh dan dibunuh, untuk meninggikan kalimat-Nya dan agama-Nya. Inilah janji-Nya secara pasti di dalam Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa as dan Injil yang diturunkan kepada Nabi Isa as serta Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw.
Seterusnya Allah Ta’ala menyatakan tidak ada seorang pun selain-Nya yang lebih menepati janji. Oleh itu, orang-orang mukmin seharusnya bergembira dengan perniagaan yang mereka jalinkan dengan Allah Swt dan dengan apa-apa yang dijanjikan Allah Swt kepada mereka berupa syurga dan keredhaan-Nya. Itulah keuntungan yang besar.