Surah 9: At-Taubah (106)

Allah Swt Mengazab Seseorang Sesuai pada Tempatnya

Surah 9: At-Taubah (106)


Ayat 106

وَءَاخَرُونَ مُرْجَوْنَ لِأَمْرِ ٱللَّهِ إِمَّا يُعَذِّبُهُمْ وَإِمَّا يَتُوبُ عَلَيْهِمْ ۗ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Dan segolongan yang lain (dari orang-orang yang tidak turut berperang); ditempohkan keputusan mengenai mereka kerana menunggu perintah Allah; sama ada dia mengazabkan mereka ataupun Dia menerima taubat mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Ibnu ’Abbas, Mujahid, Ikrimah, Adh-Dhahhak dan ramai lagi ulama tafsir menyatakan, “Dan segolongan yang lain” (yang dimaksudkan dalam ayat di atas) adalah merujuk kepada tiga orang yang ditangguhkan taubat iaitu Ka’ab bin Malik, Hilal bin Umayyah dan Murarah bin Rabi’. Mereka termasuk orang-orang yang tidak ikut berperang bukan kerana kemunafikan tetapi kerana kemalasan dan lebih cenderung kepada kehidupan yang menyenangkan. Sekelompok mereka (orang-orang mukmin) yang tidak pergi berperang telah diturunkan ayat pengampunan dan taubat mereka (dalam ayat 102 di atas). Namun untuk tiga orang ini ayat pengampunan bagi mereka ditangguhkan hingga turun ayat At-Taubah 117 dan 118.

Mereka adalah di bawah pengampunan Allah Swt jika Dia berkehendak, namun mungkin juga Dia menghendaki yang lain. Namun rahmat-Nya mengatasi kemurkaan-Nya. Allah Maha Mengetahui tentang sesiapa sahaja yang berhak mendapat hukuman dan siapa pula yang berhak mendapat pengampunan-Nya. Allah Maha Bijaksana, bahawa segala keputusan, perbuatan, ciptaan-Nya adalah yang terbaik (Allah memilih yang terbaik untuk makhluk-Nya). Pemilihan itu bukan sahaja daripada segi penciptaan-Nya malah hukum dan ketetapan-Nya juga adalah terbaik. Dia meletakkan sesuatu sesuai pada tempatnya.