Surah 9: At-Taubah (101 – 102)

Balasan bagi Orang Munafik dan Orang yang Bertaubat

Surah 9: At-Taubah (101 – 102)


Ayat 101

وَمِمَّنْ حَوْلَكُم مِّنَ ٱلْأَعْرَابِ مُنَـٰفِقُونَ ۖ وَمِنْ أَهْلِ ٱلْمَدِينَةِ ۖ مَرَدُوا۟ عَلَى ٱلنِّفَاقِ لَا تَعْلَمُهُمْ ۖ نَحْنُ نَعْلَمُهُمْ ۚ سَنُعَذِّبُهُم مَّرَّتَيْنِ ثُمَّ يُرَدُّونَ إِلَىٰ عَذَابٍ عَظِيمٍ

Dan di antara orang-orang yang di sekeliling kamu dari orang-orang Arab ada yang bersifat munafik dan (demikian juga) sebahagian dari penduduk Madinah; mereka telah berkeras dengan sifat munafik; engkau tidak mengetahui mereka (bahkan) Kamilah yang mengetahui mereka. Kami akan azabkan mereka 2 kali, kemudian mereka dikembalikan kepada azab yang besar.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa di antara penduduk-penduduk kampung Arab di sekitar Madinah terdapat orang-orang munafik. Di antara penduduk Madinah juga terdapat orang-orang munafik. Mereka keterlaluan dalam kemunafikan iaitu berterusan dalam kemunafikan dan terlalu angkuh menentang perintahNya serta tidak mahu bertaubat.

Sedangkan Rasulullah saw tidak mengetahui keadaan mereka dan tidak pula mengetahui akibat perbuatan mereka tetapi Allah Maha Mengetahui tentang mereka. FirmanNya:

“Atau apakah orang-orang yang ada penyakit dalam hatinya mengira bahawa Allah tidak akan menampakkan kedengkian mereka? Dan kalau Kami kehendaki, nescaya Kami tunjukkan mereka kepadamu sehingga kamu benar-benar dapat mengenal mereka dengan tanda-tandanya. Dan kamu benar-benar akan mengenali mereka dari kiasan-kiasan perkataan mereka dan Allah mengetahui perbuatan-perbuatan kamu.”

Muhammad 47:29-30

Berkaitan dengan ayat, “Kami akan azabkan mereka 2 kali.” Mujahid mengatakan, “Iaitu berupa pembunuhan dan penawanan.” Dalam riwayat yang lain, dia mengatakan, “Iaitu berupa kelaparan dan seksa kubur.”

Ibnu ‘Abbas ra berkata, “Dengan menurunkan penyakit dan kesengsaraan di dunia dan akhirat.”

Abdurrahman bin Zaid mengatakan, “Adapun azab di dunia itu berupa harta kekayaan dan anak-anak.” Lalu dia membacakan firman Allah Ta’ala, “Maka janganlah harta benda dan anak-anak mereka menarik hatimu. Sesungguhnya dengan memberikan harta benda dan anak-anak itu, Allah hendak mengazab mereka dalam kehidupan di dunia.” (At-Taubah: 55)

Semua musibah tersebut merupakan azab bagi orang-orang munafik dan azab di akhirat kelak adalah mereka dimasukkan ke neraka. Manakala bagi orang-orang mukmin pula musibah yang menimpa mereka adalah merupakan ujian yang mendatangkan pahala.

Ayat 102

وَءَاخَرُونَ ٱعْتَرَفُوا۟ بِذُنُوبِهِمْ خَلَطُوا۟ عَمَلًا صَـٰلِحًا وَءَاخَرَ سَيِّئًا عَسَى ٱللَّهُ أَن يَتُوبَ عَلَيْهِمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Dan (sebahagian) yang lain mengakui dosa-dosa mereka. Mereka telah mencampur adukkan amal yang baik dengan amal yang lain, yang buruk. Mudah-mudahan Allah akan menerima taubat mereka; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Ayat ini sekalipun diturunkan berkaitan dengan orang-orang tertentu, tetapi pengertiannya adalah umum untuk orang-orang yang berbuat dosa dan bergelumang dalam kesalahan, serta mencampuradukkan amal baik dengan amal buruk, hingga diri mereka tercemar oleh dosa-dosa.

Menurut Ibnu ’Abbas ra ayat ini diturunkan berkenaan dengan Abu Lubabah dan beberapa orang rakan-rakannya yang tidak ikut berperang dengan Rasulullah saw dalam Perang Tabuk. Ketika Rasulullah saw kembali ke Madinah dari peperangan (Tabuk), mereka mengikatkan diri ke tiang-tiang masjid dan bersumpah bahawa tidak boleh ada orang yang melepaskan mereka kecuali Rasulullah saw sendiri. Maka tatkala Allah swt menurunkan ayat ini, iaitu firmanNya, “Dan (ada pula) orang-orang lain yang mengakui dosa-dosa mereka.” (At-Taubah: 102) maka Rasulullah saw melepaskan ikatan mereka dan memaafkan mereka.

(HR. At-Tabari)

Allah, Dia Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Semua makhluk tidak lepas daripada mendapat keampunan dan kasih sayangNya. Antara sifat keampunanNya ialah jika orang-orang yang banyak dosa itu bertaubat, Allah swt akan memaafkan dan menghapuskan kesalahan mereka. Ayat ini menunjukkan bahawa orang-orang yang mencampurkan amal soleh dengan amal buruk dan dia mengakui dosanya serta menyesalinya dengan rasa cemas dan berharap, itu lebih selamat berbanding dengan orang yang mencampuradukkan amalan baik dengan amalan buruk, namun tidak mengakui kesalahan dan tidak menyesali perbuatannya.