Perintah agar Berpaling dari Orang Munafik
Surah 9: At-Taubah (94 – 96)
Ayat 94
يَعْتَذِرُونَ إِلَيْكُمْ إِذَا رَجَعْتُمْ إِلَيْهِمْ ۚ قُل لَّا تَعْتَذِرُوا۟ لَن نُّؤْمِنَ لَكُمْ قَدْ نَبَّأَنَا ٱللَّهُ مِنْ أَخْبَارِكُمْ ۚ وَسَيَرَى ٱللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُۥ ثُمَّ تُرَدُّونَ إِلَىٰ عَـٰلِمِ ٱلْغَيْبِ وَٱلشَّهَـٰدَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ
Mereka akan menyatakan uzur kepada kamu, apabila kamu kembali kepada mereka (dari medan perang). Katakanlah (wahai Muhammad): “Janganlah kamu menyatakan uzur lagi, kami tidak sekali-kali akan percaya kepada kamu. Kerana sesungguhnya Allah telah menerangkan kepada kami akan berita-berita perihal kamu; dan Allah serta Rasul-Nya akan melihat amal kamu (sama ada kamu kembali beriman atau tetap kufur); kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata (untuk menerima balasan), lalu Dia menyatakan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan”.
Dalam ayat sebelumnya, Allah Swt menyebutkan tentang sikap kaum munafik yang tidak mahu ikut berperang dengan mengemukakan pelbagai alasan. Dalam ayat ini pula, Dia menerangkan bahawa mereka juga akan datang mengemukakan pelbagai alasan setelah Baginda kembali dari medan peperangan Tabuk.
Allah Swt juga menyatakan bahawa sama ada mereka bertaubat dan ikhlas dalam agama Allah Swt ataupun mereka terus menerus berada dalam kekufuran dan kemunafikan, mereka tetap akan dikembalikan kepada-Nya Yang Maha Mengetahui yang ghaib dan nyata. Dia akan memberikan balasan yang adil kepada mereka.
Ayat 95
سَيَحْلِفُونَ بِٱللَّهِ لَكُمْ إِذَا ٱنقَلَبْتُمْ إِلَيْهِمْ لِتُعْرِضُوا۟ عَنْهُمْ ۖ فَأَعْرِضُوا۟ عَنْهُمْ ۖ إِنَّهُمْ رِجْسٌ ۖ وَمَأْوَىٰهُمْ جَهَنَّمُ جَزَآءًۢ بِمَا كَانُوا۟ يَكْسِبُونَ
Mereka akan bersumpah dengan nama Allah kepada kamu apabila kamu kembali kepada mereka (dari medan perang), supaya kamu berpaling dari mereka (tidak menempelak mereka); oleh itu berpalinglah dari mereka kerana sesungguhnya mereka itu kotor (disebabkan mereka telah sebati dengan kufur); dan tempat kembali mereka pula ialah neraka Jahannam, sebagai balasan bagi apa yang mereka telah usahakan.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa orang-orang munafik akan bersumpah dusta kepada Rasulullah saw dengan nama-Nya dan mencari-cari alasan apabila Baginda kembali ke Madinah dari perang Tabuk, agar Baginda membiarkan mereka sahaja tanpa mencela mereka.
Oleh itu, Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah saw agar menjauhi dan tidak menghiraukan mereka sebagai satu bentuk penghinaan kepada mereka. Ini kerana mereka itu dianggap sebagai orang-orang yang kotor disebabkan kekufuran dan kemunafikan mereka. Kelak tempat kembali mereka di akhirat adalah neraka Jahannam, sebagai balasan atas apa yang mereka telah usahakan berupa dosa-dosa dan pelanggaran-pelanggaran terhadap perintah-Nya. Firman-Nya:
“Sesungguhnya orang-orang munafik itu (ditempatkan) pada tingkatan yang paling bawah dari neraka. Dan kamu sekali-kali tidak akan mendapat seorang penolong pun bagi mereka.”
An-Nisa’ 4:145
Ayat 96
يَحْلِفُونَ لَكُمْ لِتَرْضَوْا۟ عَنْهُمْ ۖ فَإِن تَرْضَوْا۟ عَنْهُمْ فَإِنَّ ٱللَّهَ لَا يَرْضَىٰ عَنِ ٱلْقَوْمِ ٱلْفَـٰسِقِينَ
Mereka bersumpah kepada kamu supaya kamu redha akan mereka; oleh itu jika kamu redha akan mereka, maka sesungguhnya Allah tidak redha akan kaum yang fasik.
Kemudian dalam ayat ini, Allah Ta’ala menyatakan bahawa orang-orang munafik bersumpah kepada orang-orang mukmin bahawa mereka benar-benar uzur. Sumpah palsu itu hanyalah sekadar mencari keredhaan kaum mukmin agar kaum mukmin tetap menerima mereka dan memperlakukan mereka sama seperti umat Islam yang lain.
Seterusnya, Allah Ta’ala memberi amaran kepada orang-orang mukmin bahawa sesiapa di antara mereka yang redha atau suka kepada perbuatan orang-orang munafik itu maka sesungguhnya Dia tidak meredhai orang-orang munafik disebabkan kefasikan mereka (orang-orang munafik) dengan mengingkari ketaatan kepada-Nya dan Rasul-Nya. Rasulullah saw bersabda:
“Sesiapa mencari keredhaan Allah dengan kebencian manusia, Allah akan memberinya pertolongan atas manusia, dan sesiapa mencari keredhaan manusia dengan kebencian Allah, Allah akan melimpahkan kebencian itu kepada manusia.”
(HR. At-Tirmizi)
Redha terhadap mereka tidaklah bermanfaat jika Allah Swt murka. Sepatutnya keredhaan seseorang mukmin mestilah mengikuti keredhaan Allah Swt sebagaimana kebencian mereka mengikuti kebencian-Nya.