Surah 9: At-Taubah (88 – 89)

Janji Allah terhadap Para Mujahid

Surah 9: At-Taubah (88 – 89)


Ayat 88

لَـٰكِنِ ٱلرَّسُولُ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مَعَهُۥ جَـٰهَدُوا۟ بِأَمْوَٰلِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ ۚ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ لَهُمُ ٱلْخَيْرَٰتُ ۖ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ

(Mereka tetap tinggal) tetapi Rasulullah dan orang-orang yang beriman bersamanya, berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka; dan mereka itulah orang-orang yang mendapat kebaikan, dan mereka itulah juga yang berjaya.

Kemudian Allah Ta’ala membandingkan keadaan orang-orang munafik ini dengan orang-orang beriman. Dia memuji Rasulullah saw dan orang-orang mukmin yang berjihad bersama-sama Baginda dengan harta dan nyawa mereka di jalanNya. Golongan yang beriman ini pasti akan mendapat kebaikan di dunia dan di akhirat. Kebaikan di dunia adalah mereka memperoleh kemenangan dalam peperangan dan harta rampasan, manakala di akhirat pula mereka dimuliakan dan diberi nikmat syurga. Mereka itulah orang-orang yang beruntung.

Ayat 89

أَعَدَّ ٱللَّهُ لَهُمْ جَنَّـٰتٍ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيهَا ۚ ذَٰلِكَ ٱلْفَوْزُ ٱلْعَظِيمُ

Allah telah menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; yang demikian itulah kemenangan yang besar.

Allah swt menyatakan bahawa Dia telah menyediakan syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai bagi orang-orang mukmin yang berjihad dengan harta dan nyawa mereka dan mereka kekal di dalamnya. Itulah kemenangan yang besar sebagai balasan amal mereka.