Surah 9: At-Taubah (83)

Larangan bagi Orang Munafik untuk Berjihad

Surah 9: At-Taubah (83)


Ayat 83

فَإِن رَّجَعَكَ ٱللَّهُ إِلَىٰ طَآئِفَةٍ مِّنْهُمْ فَٱسْتَـْٔذَنُوكَ لِلْخُرُوجِ فَقُل لَّن تَخْرُجُوا۟ مَعِىَ أَبَدًا وَلَن تُقَـٰتِلُوا۟ مَعِىَ عَدُوًّا ۖ إِنَّكُمْ رَضِيتُم بِٱلْقُعُودِ أَوَّلَ مَرَّةٍ فَٱقْعُدُوا۟ مَعَ ٱلْخَـٰلِفِينَ

Maka jika Allah mengembalikan engkau kepada segolongan dari mereka (orang-orang yang munafik itu di Madinah), kemudian mereka meminta izin kepadamu untuk keluar (turut berperang), maka katakanlah: “Kamu tidak sekali-kali akan keluar bersama-samaku selama-lamanya, dan kamu tidak sekali-kali akan memerangi musuh bersama-samaku; sesungguhnya kamu telah bersetuju tinggal pada kali yang pertama, oleh itu duduklah kamu bersama-sama orang-orang yang tinggal”.

Setelah Nabi Muhammad saw pulang dari peperangan Tabuk dan kembali ke Madinah, Baginda bertemu dengan segolongan orang-orang munafik yang tidak ikut berperang. Lalu mereka meminta izin kepada Baginda untuk ikut berperang pada peperangan yang lain, maka Nabi Muhammad saw dilarang oleh Allah Ta’ala untuk menunaikan permintaan mereka, kerana sejak awal lagi mereka tidak mahu berperang. Hal ini adalah sebagai hukuman kepada mereka.