Surah 9: At-Taubah (81 – 82)

Orang Munafik Gembira Tidak Ikut Berperang

Surah 9: At-Taubah (81 – 82)


Ayat 81

فَرِحَ ٱلْمُخَلَّفُونَ بِمَقْعَدِهِمْ خِلَـٰفَ رَسُولِ ٱللَّهِ وَكَرِهُوٓا۟ أَن يُجَـٰهِدُوا۟ بِأَمْوَٰلِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَقَالُوا۟ لَا تَنفِرُوا۟ فِى ٱلْحَرِّ ۗ قُلْ نَارُ جَهَنَّمَ أَشَدُّ حَرًّا ۚ لَّوْ كَانُوا۟ يَفْقَهُونَ

Orang-orang (munafik) yang ditinggalkan (tidak turut berperang) itu, bersukacita disebabkan mereka tinggal di belakang Rasulullah (di Madinah); dan mereka (sememangnya) tidak suka berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah (dengan sebab kufurnya), dan mereka pula (menghasut dengan) berkata: “Janganlah kamu keluar beramai-ramai (untuk berperang) pada musim panas ini”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Api neraka Jahannam lebih panas membakar”, kalaulah mereka itu orang-orang yang memahami.

Allah Ta’ala mengancam kaum munafik yang tidak ikut berperang bersama-sama Rasulullah saw dan para sahabat dalam Perang Tabuk. Mereka berasa senang hati setelah Baginda berangkat ke medan perang.

Perang Tabuk terjadi ketika cuaca sangat panas. Perkara ini mendorong mereka memilih untuk tinggal di rumah dan tidak keluar berperang, tetapi Allah Swt mengingatkan bahawa neraka Jahannam lebih panas daripada panasnya hari yang mereka cuba elak untuk berperang.

Imam Malik meriwayatkan daripada Abuz Zunad, daripada al-A‘raj, daripada Abu Hurairah ra, dia berkata Rasulullah saw bersabda:

“(Panasnya) api manusia (di dunia) yang kamu nyalakan merupakan satu bahagian daripada tujuh puluh bahagian daripada (panasnya) api neraka.” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, sebenarnya api dunia itu sudah cukup untuk mengazab penghuni neraka Jahannam.” Baginda menjawab, “Api tersebut akan ditambah dengan enam puluh sembilan bahagian lagi.”

(Hadis ini juga diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim)

Jika kaum munafik memahami arahan Allah Swt dan Rasul-Nya, nescaya mereka akan berangkat untuk berjihad bersama-sama Rasulullah saw walaupun dalam cuaca yang sangat panas, supaya mereka dapat menyelamatkan diri daripada panasnya api neraka yang berlipat ganda panasnya daripada api dunia.

Ayat 82

فَلْيَضْحَكُوا۟ قَلِيلًا وَلْيَبْكُوا۟ كَثِيرًا جَزَآءًۢ بِمَا كَانُوا۟ يَكْسِبُونَ

Oleh itu bolehlah mereka ketawa sedikit (di dunia ini) dan mereka akan menangis banyak (di akhirat kelak), sebagai balasan bagi apa yang mereka telah usahakan.

Kemudian Allah Ta’ala mengancam mereka dengan mengatakan bahawa apabila mereka memilih untuk bersenang lenang sebentar di dunia ini daripada pergi berperang, maka kelak mereka akan banyak menangis di akhirat di dalam neraka Jahannam sebagai balasan daripada tindakan yang mereka lakukan atau balasan daripada kejahatan dan kemunafikan mereka.

Ibnu Abi Talhah mengungkapkan kata-kata Ibnu ‘Abbas ra yang berkata, “Dunia ini sedikit (dan sebentar kenikmatannya), maka tertawalah sesuka hatimu. Sekiranya dunia ini telah berakhir dan semuanya kembali kepada Allah Ta‘ala, mereka pun akan mulai menangis dan tidak akan pernah berhenti.”