Surah 9: At-Taubah (80)

Kemunafikan adalah Dosa yang Tidak Diampuni Allah

Surah 9: At-Taubah (80)


Ayat 80

ٱسْتَغْفِرْ لَهُمْ أَوْ لَا تَسْتَغْفِرْ لَهُمْ إِن تَسْتَغْفِرْ لَهُمْ سَبْعِينَ مَرَّةً فَلَن يَغْفِرَ ٱللَّهُ لَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ كَفَرُوا۟ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ ۗ وَٱللَّهُ لَا يَهْدِى ٱلْقَوْمَ ٱلْفَـٰسِقِينَ

(Orang-orang munafik itu) sama sahaja engkau meminta ampun untuk mereka atau engkau tidak meminta ampun bagi mereka. Jika engkau (wahai Muhammad) meminta ampun bagi mereka tujuh puluh kali (sekalipun) maka Allah tidak sekali-kali mengampunkan mereka; yang demikian itu, kerana mereka telah kufur kepada Allah dan RasulNya; dan Allah tidak akan memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang fasik.

Allah Ta’ala menjelaskan bahawa tidak berguna Rasulullah saw memohonkan keampunan bagi orang-orang munafik. Dia tidak akan mengampuni dosa-dosa mereka. Malah kejahatan mereka akan dibongkarkan di dunia. Ini adalah disebabkan kekufuran dan kemunafikan mereka yang berterusan iaitu tetap ingkar sehingga hati mereka tidak lagi bersedia untuk menerima kebaikan dan cahaya.

Seandainya Rasulullah saw memohonkan keampunan buat mereka sebanyak tujuh puluh kali ataupun lebih daripada itu, Allah Ta’ala sekali-kali tetap tidak akan mengampuni dan memaafkan mereka. FirmanNya:

“Sama sahaja bagi mereka, kamu mintakan keampunan atau tidak kamu mintakan ampunan bagi mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.”

Al-Munafiqun 63:6

Oleh itu, Allah Ta’ala tidak memberi taufik kepada mereka yang tenggelam dalam kekafiran dan keluar daripada ketaatan serta tidak bersedia untuk beriman dengan sebenar-benarnya dan bertaubat.