Sifat Orang Mukmin dan Balasan Akhirat bagi Mereka
Surah 9: At-Taubah (71 – 72)
Ayat 71
وَٱلْمُؤْمِنُونَ وَٱلْمُؤْمِنَـٰتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَآءُ بَعْضٍ ۚ يَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤْتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَيُطِيعُونَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥٓ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ ٱللَّهُ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
Dalam ayat-ayat sebelum ini Allah Swt menyebutkan sifat-sifat tercela orang-orang munafik. Manakala dalam ayat ini pula Dia menyebutkan beberapa sifat terpuji orang-orang mukmin.
Sifat pertama: Orang-orang mukmin baik lelaki mahupun perempuan, sebahagian daripada mereka merupakan penolong bagi sebahagian yang lain, iaitu saling membela dan saling membantu sesama mereka. Disebutkan dalam beberapa hadis sahih antaranya:
“(Perumpamaan) seorang mukmin terhadap orang mukmin yang lain adalah ibarat bangunan, satu dengan yang lainnya saling menguatkan.” Rasulullah saw mengatakan demikian sambil merapatkan jari-jari baginda.
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
“Perumpamaan orang-orang mukmin dalam berkasih-sayang, seperti perumpamaan satu tubuh. Jika ada satu anggota tubuh yang mengeluh kesakitan, maka seluruh tubuh yang lain ikut sakit demam dan tidak dapat tidur.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Kedua: Mereka memerintahkan manusia agar beriman dan mengerjakan amal soleh serta melarang mereka kafir dan melakukan perbuatan maksiat.
Ketiga: Mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat.
Keempat: Mereka taat kepada Allah Swt dan Rasul-Nya iaitu dalam hal yang diperintahkan dan yang dilarang oleh kedua-duanya.
Pada akhir ayat ini, Allah Ta‘ala menyebutkan bahawa orang-orang mukmin yang mempunyai sifat-sifat terpuji seperti di atas akan dirahmati-Nya. Dia akan memuliakan dan menguatkan mereka. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa dalam kerajaan-Nya lagi Maha Bijaksana dalam menetapkan syariat dan hukum-hukum-Nya.
Ayat 72
وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلْمُؤْمِنِينَ وَٱلْمُؤْمِنَـٰتِ جَنَّـٰتٍ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيهَا وَمَسَـٰكِنَ طَيِّبَةً فِى جَنَّـٰتِ عَدْنٍ ۚ وَرِضْوَٰنٌ مِّنَ ٱللَّهِ أَكْبَرُ ۚ ذَٰلِكَ هُوَ ٱلْفَوْزُ ٱلْعَظِيمُ
Allah menjanjikan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, (akan beroleh) Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka kekal di dalamnya dan beroleh tempat-tempat yang baik di dalam “Syurga Adn” serta keredhaan dari Allah yang lebih besar kemuliaannya; (balasan) yang demikian itulah kejayaan yang besar.
Allah Ta‘ala menyebutkan bahawa Dia telah persiapkan kepada orang-orang mukmin yang benar-benar mantap iman mereka, baik lelaki mahupun perempuan berupa kebaikan dan kenikmatan. Mereka akan memperoleh syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya, dan mendapat tempat yang baik di syurga ‘Adn. Ini sebagaimana yang digambarkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Musa ‘Abdullah bin Qais Al-Asy‘ari ra dia berkata, Rasulullah saw telah bersabda:
“Ada dua syurga yang diperbuat daripada emas dan bekas air serta segala yang ada pada kedua-duanya diperbuat daripada emas. Juga ada dua syurga yang diperbuat daripada perak dan bekas air serta segala yang terdapat padanya diperbuat daripada perak. Tidak ada penghalang antara suatu kaum untuk memandang Rabb mereka, melainkan hanyalah selendang kebesaran yang terdapat pada wajah-Nya di syurga ‘Adn.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Sesungguhnya keredhaan Allah Swt yang mereka peroleh di akhirat kelak itu lebih besar dan lebih berharga daripada kenikmatan syurga itu sendiri. Itulah kemenangan yang agung. Ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Malik, daripada Zaid bin Aslam, daripada Ata’ bin Yasar, daripada Abu Sa’id Al-Khudri, bahawa Rasulullah saw pernah bersabda:
“Sesungguhnya Allah akan berfirman kepada setiap penghuni syurga: ‘Wahai para penghuni syurga.’ Maka mereka pun menjawab, ‘Ya Rabb kami, kami penuhi panggilanMu ya Rabb, dan kebaikan berada di tangan-Mu.’ Lalu Allah berfirman, ‘Apakah kamu redha?’ Mereka menjawab, ‘Mengapa kami tidak redha, wahai Rabb kami, sedangkan Engkau telah memberi kami sesuatu yang belum pernah diberikan kepada seorang pun daripada makhluk-Mu?’ Allah berfirman: ‘Mahukah kamu Aku beri sesuatu yang lebih baik dari semua itu?’ Mereka menjawab, ‘Wahai Rabb kami, apakah sesuatu yang lebih baik dari itu?’ Allah berfirman, ‘Aku telah tetapkan keredhaanKu bagi kamu, sehingga setelah ini Aku tidak akan pernah murka lagi kepada kamu selama-lamanya.’”
(Hadis ini diriwayatkan juga oleh Al-Bukhari dan Muslim daripada Anas bin Malik)