Surah 9: At-Taubah (67 – 68)

Ancaman bagi Orang Munafik

Surah 9: At-Taubah (67 – 68)


Ayat 67

ٱلْمُنَـٰفِقُونَ وَٱلْمُنَـٰفِقَـٰتُ بَعْضُهُم مِّنۢ بَعْضٍ ۚ يَأْمُرُونَ بِٱلْمُنكَرِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمَعْرُوفِ وَيَقْبِضُونَ أَيْدِيَهُمْ ۚ نَسُوا۟ ٱللَّهَ فَنَسِيَهُمْ ۗ إِنَّ ٱلْمُنَـٰفِقِينَ هُمُ ٱلْفَـٰسِقُونَ

Orang-orang munafik lelaki dan perempuan, setengahnya adalah sama dengan setengahnya yang lain; mereka masing-masing menyuruh dengan perbuatan yang jahat, dan melarang dari perbuatan yang baik, dan mereka pula menggenggam tangannya (bakhil kedekut). Mereka telah melupakan (tidak menghiraukan perintah) Allah dan Allah juga melupakan (tidak menghiraukan) mereka. Sesungguhnya orang-orang munafik itu, merekalah orang-orang yang fasik.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa orang-orang munafik lelaki dan orang-orang munafik perempuan adalah sama dalam hal mengumumkan keimanan dan menyembunyikan kekafiran. Mereka memerintahkan manusia kufur kepada Allah swt dan menderhakai RasulNya, melarang daripada keimanan dan ketaatan dan menahan tangan mereka untuk berinfak pada jalan Allah swt.

Mereka juga melupakan Allah swt dan melupakan perintah serta larangan yang ditetapkanNya kepada mereka. Oleh itu, Dia pun melupakan mereka daripada rahmatNya. Dia tidak memberikan taufik kepada mereka menuju kebaikan. Sesungguhnya orang-orang munafik adalah orang-orang yang fasik iaitu orang-orang yang telah keluar daripada jalan kebenaran lagi lurus kepada jalan kesesatan menjadi kafir dan meninggalkan semua kebaikan.

Ayat 68

وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلْمُنَـٰفِقِينَ وَٱلْمُنَـٰفِقَـٰتِ وَٱلْكُفَّارَ نَارَ جَهَنَّمَ خَـٰلِدِينَ فِيهَا ۚ هِىَ حَسْبُهُمْ ۚ وَلَعَنَهُمُ ٱللَّهُ ۖ وَلَهُمْ عَذَابٌ مُّقِيمٌ

Allah menjanjikan orang-orang munafik lelaki dan perempuan serta orang-orang kafir dengan neraka Jahannam, mereka kekal di dalamnya. Cukuplah neraka itu menjadi balasan mereka; dan Allah melaknatkan mereka, dan bagi mereka azab seksa yang kekal.

Allah swt mengancam orang-orang munafik baik lelaki mahupun perempuan dan orang-orang kafir bahawa tempat kembali mereka adalah neraka Jahannam dan mereka kekal di dalamnya. Itu sudah cukup bagi mereka sebagai seksaan disebabkan kekafiran mereka kepadaNya. Dia mengusir mereka daripada rahmatNya dan bagi mereka seksaan yang kekal.