Sikap Orang Munafik yang Suka Mengejek-ejek
Surah 9: At-Taubah (62 – 66)
Ayat 62
يَحْلِفُونَ بِٱللَّهِ لَكُمْ لِيُرْضُوكُمْ وَٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ أَحَقُّ أَن يُرْضُوهُ إِن كَانُوا۟ مُؤْمِنِينَ
Mereka bersumpah kepada kamu dengan nama Allah untuk mendapat keredhaan kamu, padahal Allah dan Rasul-Nya jualah yang lebih berhak mereka mendapat keredhaan-Nya, jika betul mereka orang-orang yang beriman.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa orang-orang munafik bersumpah dengan sumpah-sumpah dusta dan mengemukakan alasan-alasan yang tidak munasabah, supaya mereka diredhai oleh orang-orang mukmin, padahal Allah Swt dan Rasul-Nya lah yang lebih berhak dan lebih layak untuk mereka dapatkan keredhaan dengan beriman dan taat kepada kedua-duanya, jika memang mereka orang-orang mukmin yang sebenarnya.
Qatadah mengatakan, “Telah sampai kepada kami bahawa pernah ada seorang lelaki munafik berkata, ’Demi Allah, sesungguhnya mereka (orang-orang munafik) adalah orang-orang pilihan kami dan orang-orang terhormat kami. Sekalipun apa yang dikatakan oleh Muhammad adalah benar bagi mereka, tetapi lebih buruk daripada keldai.’ Kemudian seorang lelaki daripada kalangan kaum muslim mendengarnya, maka dia menjawab, ‘Demi Allah, sesungguhnya apa yang dikatakan oleh Muhammad adalah benar, dan sesungguhnya kamu lebih buruk daripada keldai.’ Maka orang muslim itu melaporkan hal tersebut kepada Nabi saw dan menceritakan peristiwa itu, lalu Baginda memanggil lelaki tersebut dan bertanya, ‘Apakah yang mendorongmu mengatakan apa yang telah kamu ucapkan itu?’ Lelaki yang berkata demikian itu memaki orang muslim itu dan bersumpah dengan menyebut nama Allah, bahawa dia tidak mengucapkannya. Lelaki muslim itu berkata, ‘Ya Allah, buktikanlah orang yang benar dan salahkanlah pihak yang dusta.’ Maka Allah menurunkan ayat ini.”
Ayat 63
أَلَمْ يَعْلَمُوٓا۟ أَنَّهُۥ مَن يُحَادِدِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ فَأَنَّ لَهُۥ نَارَ جَهَنَّمَ خَـٰلِدًا فِيهَا ۚ ذَٰلِكَ ٱلْخِزْىُ ٱلْعَظِيمُ
Tidakkah mereka mengetahui bahawa sesiapa yang menentang (perintah-perintah) Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya adalah baginya neraka Jahannam serta ia kekal di dalamnya? Balasan yang demikian adalah kehinaan yang besar
Kemudian Allah Ta’ala menyampaikan teguran keras terhadap orang-orang munafik yang menentang Allah Swt dan Rasul-Nya dengan menjelaskan bahaya daripada perbuatan yang mereka lakukan. Ini menunjukkan sangat buruknya perbuatan mereka dan sangat ngerinya balasan yang akan mereka peroleh kelak iaitu neraka Jahannam. Mereka kekal di dalamnya dan itulah kehinaan yang besar buat mereka.
Ayat 64
يَحْذَرُ ٱلْمُنَـٰفِقُونَ أَن تُنَزَّلَ عَلَيْهِمْ سُورَةٌ تُنَبِّئُهُم بِمَا فِى قُلُوبِهِمْ ۚ قُلِ ٱسْتَهْزِءُوٓا۟ إِنَّ ٱللَّهَ مُخْرِجٌ مَّا تَحْذَرُونَ
Orang-orang munafik itu takut kalau diturunkan satu surah Al-Quran yang menerangkan kepada mereka (dan kepada ramai) akan apa yang ada dalam hati mereka (dari kekufuran). Katakanlah (wahai Muhammad): “Ejek-ejeklah (seberapa yang kamu suka), sesungguhnya Allah akan mendedahkan apa yang kamu takut (terdedah untuk pengetahuan ramai)”
Orang-orang munafik takut dan bimbang jika Allah Ta’ala menurunkan suatu surah kepada Rasulullah saw yang membongkar dan menjelaskan segala rahsia isi hati mereka dan tentang kemunafikan mereka.
Oleh itu, Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah saw mengatakan kepada mereka agar meneruskan perbuatan mempermain-mainkan ayat-ayat-Nya sebagaimana yang mereka inginkan. Sesungguhnya Dia akan mengungkapkan segala perkara yang mereka bimbangkan itu. Firman-Nya:
“Atau apakah orang-orang yang ada penyakit dalam hatinya mengira bahawa Allah tidak akan menampakkan kedengkian mereka? Dan kalau Kami kehendaki, nescaya Kami tunjukkan mereka kepadamu sehingga kamu benar-benar dapat mengenal mereka dengan tanda-tandanya. Dan kamu benar-benar akan mengenal mereka dari kiasan-kiasan perkataan mereka dan Allah mengetahui perbuatan-perbuatan kamu.”
Muhammad 47:29-30
Ayat 65
وَلَئِن سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ ۚ قُلْ أَبِٱللَّهِ وَءَايَـٰتِهِۦ وَرَسُولِهِۦ كُنتُمْ تَسْتَهْزِءُونَ
Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: “Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main”. Katakanlah: “Patutkah nama Allah dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?”
Kemudian Allah Ta’ala menyatakan bahawa sekiranya Rasulullah saw bertanya kepada orang-orang munafik tentang apa yang mereka ucapkan berupa penghinaan terhadap kehormatan Baginda dan sahabat-sahabatnya, tentulah mereka benar-benar akan mengatakan sesungguhnya mereka hanya sekadar bermain-main dan bergurau senda.
Lalu Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah saw mengatakan kepada orang-orang munafik itu mengapa mereka sanggup dan berani mempermain-mainkan Allah Swt dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya.
Daripada ‘Abdullah bin ‘Umar ra, dia berkata, “Suatu hari ketika peristiwa perang Tabuk, seorang lelaki berkata dalam satu majlis, “Aku belum pernah melihat orang yang lebih banyak makannya, lebih dusta lisannya dan lebih pengecut ketika menghadapi musuh daripada para pembaca Al-Quran ini.” Lalu seseorang yang ada dalam majlis itu berkata, “Engkau dusta, engkau adalah munafik, aku akan menyampaikan kepada Rasulullah saw.” Maka sampailah berita itu kepada Rasulullah saw dan turunlah ayat ini. ‘Abdullah berkata, “Aku melihat orang itu memegang tali pengikat unta Rasulullah saw dalam keadaan tersadung batu, sambil berkata, “Wahai Rasulullah, kami hanya bersenda gurau dan bermain-main.” Maka Rasulullah saw bersabda, “Mengapa kepada Allah, dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu selalu permainkan?”
(HR. At-Tabari)
Ayat 66
لَا تَعْتَذِرُوا۟ قَدْ كَفَرْتُم بَعْدَ إِيمَـٰنِكُمْ ۚ إِن نَّعْفُ عَن طَآئِفَةٍ مِّنكُمْ نُعَذِّبْ طَآئِفَةًۢ بِأَنَّهُمْ كَانُوا۟ مُجْرِمِينَ
Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman. Jika Kami maafkan sepuak dari kamu (kerana mereka bertaubat), maka Kami akan menyeksa puak yang lain, kerana mereka adalah orang-orang yang terus bersalah.
Kemudian Allah Ta’ala mengatakan bahawa mempermainkan Allah Swt, ayat-ayat-Nya dan Rasul-Nya merupakan kekafiran yang mengeluarkan mereka daripada Islam. Ini kerana Islam dibina atas dasar pengagungan kepada Allah Swt, agama-Nya dan Rasul-Nya, manakala mempermainkan semua itu bertentangan dengan dasar ini.
Oleh itu, ketika kaum munafik itu datang kepada Rasulullah saw untuk meminta maaf terhadap kata-kata tersebut, lalu Rasulullah saw membacakan ayat di atas.
Dalam ayat ini juga terdapat dalil bahawa sesiapa yang membicarakan secara rahsia dalam membuat perancangan tipu muslihat terhadap agama, mengejek-ejek Allah Swt, ayat-ayat-Nya dan Rasul-Nya, maka Allah Swt akan menampakkannya dan membuka aibnya serta menghukumnya dengan hukuman yang berat. Walaupun demikian, sekiranya mereka bertaubat maka taubat mereka akan diterima.