Surah 9: At-Taubah (38 – 39)

Perintah untuk Berjihad dalam Perang Tabuk

Surah 9: At-Taubah (38 – 39)


Ayat 38

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مَا لَكُمْ إِذَا قِيلَ لَكُمُ ٱنفِرُوا۟ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱثَّاقَلْتُمْ إِلَى ٱلْأَرْضِ ۚ أَرَضِيتُم بِٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا مِنَ ٱلْـَٔاخِرَةِ ۚ فَمَا مَتَـٰعُ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا فِى ٱلْـَٔاخِرَةِ إِلَّا قَلِيلٌ

Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu, apabila dikatakan kepada kamu: “Pergilah beramai-ramai untuk berperang pada jalan Allah”, kamu merasa keberatan (dan suka tinggal menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing)? Adakah kamu lebih suka dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak.

Ayat ini merupakan celaan Allah Ta’ala yang ditujukan kepada orang-orang yang tidak ikut bersama dengan Rasulullah saw dalam perang Tabuk. Ketika itu buah-buahan telah siap dipetik dan cuaca sangat terik dan panas. Oleh itu apabila Baginda memanggil mereka untuk diajak ikut berperang, mereka berasa malas dan cenderung untuk tetap tinggal di tempat tinggal mereka dalam keadaan bersenang-senang sambil menikmati buah-buahan yang telah masak.

Oleh itu, Allah Ta’ala mempersoalkan adakah mereka berasa puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat. Mengapa mereka melakukan demikian, adakah mereka lebih puas dengan kehidupan di dunia dibandingkan kehidupan akhirat sedangkan dunia lebih rendah nilainya daripada akhirat.

Daripada Al-Mustaurid (seorang daripada Bani Fihr), dia berkata bahawa Rasulullah saw telah bersabda:

“Tidaklah kehidupan di dunia ini dibandingkan dengan kehidupan di akhirat, melainkan seperti salah seorang di antara kamu mencelupkan jarinya ke dalam lautan, maka perhatikanlah berapa banyak air yang tersisa pada jarinya?” Baginda mengucapkan demikian sambil memberi isyarat dengan jari telunjuknya.

(HR. Ahmad)

Ayat 39

إِلَّا تَنفِرُوا۟ يُعَذِّبْكُمْ عَذَابًا أَلِيمًا وَيَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ وَلَا تَضُرُّوهُ شَيْـًٔا ۗ وَٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍۢ قَدِيرٌ

Jika kamu tidak pergi beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah – membela agama-Nya), Allah akan menyeksa kamu dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya dan Dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat mendatangkan bahaya sedikitpun kepada-Nya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Allah Ta’ala mengancam orang-orang beriman yang meninggalkan jihad. Sekiranya mereka tidak menolong Nabi Muhammad saw dan membiarkan Baginda keluar berperang bersendirian, mereka akan mendapat azab yang pedih di dunia dan di akhirat.

Berpaling daripada jihad apabila diwajibkan adalah termasuk dosa-dosa besar yang menyebabkan mereka mendapat seksaan yang pedih. Ini kerana mereka telah menderhakai Allah Ta’ala dan mengingkari arahan Rasul-Nya. Mereka tidak membantu membela agama-Nya dan membantu saudara muslim mereka yang hendak dibinasakan oleh musuh-musuh mereka. Sikap mereka seperti ini akan dicontohi oleh orang-orang yang lemah iman. Hal ini boleh melemahkan semangat orang-orang yang akan keluar berjihad. Oleh itu, orang-orang yang seperti ini layak memperoleh ancaman tersebut.

Allah Ta’ala juga menjelaskan bahawa golongan ini tidak dapat merugikan baginda sedikit pun, kerana Dia telah memberi jaminan bahawa Dia akan menolong agama-Nya dan akan meninggikan kalimah-Nya. Dia juga akan menggantikan orang-orang yang tidak mahu berjihad ini dengan kaum yang lain. Firman-Nya:

“………..dan jika kamu berpaling, nescaya Dia akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain, dan mereka tidak akan seperti kamu (ini).”

Muhammad 47:38

Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala menyatakan bahawa dengan berpalingnya mereka daripada ikut berjihad, sama sekali tidak dapat membahayakan-Nya sedikit pun. Dia Maha Berkuasa untuk mengalahkan musuh-musuh-Nya tanpa mereka.