Kalendar Islam dan Pengubahan Hukum Halal Haram oleh Orang Kafir
Surah 9: At-Taubah (36 – 37)
Ayat 36
إِنَّ عِدَّةَ ٱلشُّهُورِ عِندَ ٱللَّهِ ٱثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِى كِتَـٰبِ ٱللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ مِنْهَآ أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذَٰلِكَ ٱلدِّينُ ٱلْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا۟ فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ ۚ وَقَـٰتِلُوا۟ ٱلْمُشْرِكِينَ كَآفَّةً كَمَا يُقَـٰتِلُونَكُمْ كَآفَّةً ۚ وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلْمُتَّقِينَ
Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertakwa.
Sesungguhnya bilangan bulan-bulan menurut hukum Allah Ta’ala dan dalam catatan di Lauh Mahfuzh ada dua belas bulan. Di antaranya ada empat bulan haram yang Dia mengharamkan peperangan di dalamnya iaitu bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab.
Keempat-empat bulan ini adalah bulan-bulan yang mempunyai kehormatan dan keagungan, berbeza dengan bulan-bulan yang lain.
Dalam Kitab Sahih Tafsir Ibnu Kathir dinyatakan bahawa ‘Ali bin Abi Talhah mengatakan daripada Ibnu ‘Abbas rama, Allah Swt menjadikan empat bulan itu sebagai bulan haram. Dia memperbesarkan pengharamannya dan menetapkan dosa yang dilakukan padanya lebih berat, serta menjadikan amal soleh dan pahalanya juga lebih besar.
Allah Ta’ala mempunyai hak untuk memuliakan sebahagian waktu dan tempat sebagaimana Dia kehendaki. Dia telah melebihkan kemuliaan negeri haram daripada semua negeri, mengistimewakan hari Arafah dan sepuluh Zulhijjah daripada hari-hari lain. Dia juga mengistimewakan bulan-bulan haji daripada bulan-bulan yang lain seperti dalam firman-Nya:
“(Musim) haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi, sesiapa yang menetapkan niatnya dalam bulan itu akan mengerjakan haji, maka tidak boleh rafath, berbuat fasik dan berbantah-bantahan dalam masa mengerjakan haji. Dan apa yang kamu kerjakan berupa kebaikan, nescaya Allah mengetahuinya. Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa dan bertakwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal.”
Al-Baqarah 2:197
Sesungguhnya pengharaman empat bulan yang ditetapkan ini adalah benar daripada agama yang lurus iaitu agama Nabi Ibrahim as dan Nabi Ismail as. Ia merupakan hukum syarak yang tidak ada kebengkokan padanya. Oleh itu, tidak boleh memindahkan pengharaman bulan yang telah ditetapkan tersebut kepada bulan-bulan yang lain seperti yang dilakukan oleh kaum jahiliyah.
Maksud ayat, “maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu” ialah janganlah menganiaya diri sendiri dengan melakukan perbuatan yang dilarang atau melakukan maksiat dalam bulan-bulan yang haram itu kerana dosanya lebih besar. Melanggar kehormatan bulan itu dengan mengadakan peperangan juga termasuk dalam menganiaya diri sendiri.
Oleh itu, Allah Ta’ala memerintahkan agar bertakwa kepada-Nya kerana memulai peperangan pada bulan haram hukumnya haram sebagaimana firman-firman-Nya:
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu melanggar syi’ar-syi’ar Allah, dan jangan melanggar kehormatan bulan-bulan haram…………………..”
Al-Ma’idah 5:2
“Bulan haram dengan bulan haram, dan pada sesuatu yang patut dihormati, berlaku hukum qisas. Oleh sebab itu sesiapa yang menyerang kamu, maka seranglah dia, seimbang dengan serangannya terhadapmu. Bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah, bahawa Allah berserta orang-orang yang bertakwa.”
Al-Baqarah 2:194
Ayat 37
إِنَّمَا ٱلنَّسِىٓءُ زِيَادَةٌ فِى ٱلْكُفْرِ ۖ يُضَلُّ بِهِ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ يُحِلُّونَهُۥ عَامًا وَيُحَرِّمُونَهُۥ عَامًا لِّيُوَاطِـُٔوا۟ عِدَّةَ مَا حَرَّمَ ٱللَّهُ فَيُحِلُّوا۟ مَا حَرَّمَ ٱللَّهُ ۚ زُيِّنَ لَهُمْ سُوٓءُ أَعْمَـٰلِهِمْ ۗ وَٱللَّهُ لَا يَهْدِى ٱلْقَوْمَ ٱلْكَـٰفِرِينَ
Sesungguhnya perbuatan mengundurkan (kehormatan itu dari satu bulan ke satu bulan yang lain) adalah menambah kekufuran yang menjadikan orang-orang kafir itu tersesat kerananya. Mereka menghalalkannya pada satu tahun dan mengharamkannya pada tahun yang lain, supaya mereka dapat menyesuaikan bilangan (bulan-bulan yang empat) yang telah diharamkan Allah (berperang di dalamnya); dengan itu mereka menghalalkan apa yang telah diharamkan oleh Allah. Perbuatan buruk mereka itu dihias dan dijadikan indah (oleh syaitan) untuk dipandang baik oleh mereka. Dan (ingatlah) Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang kafir.
Ayat ini merupakan celaan Allah Swt kepada orang-orang musyrik disebabkan perbuatan mereka mengubah-ubah syariat-Nya dengan menuruti hawa nafsu mereka dan juga disebabkan tindakan mereka yang menghalalkan apa yang diharamkan Allah Swt dan mengharamkan apa yang dihalalkan-Nya.
Orang-orang Arab ketika itu apabila telah selesai mengerjakan haji, mereka berkumpul, lalu seseorang berdiri untuk berpidato mengharamkan bulan Rejab, Zulkaedah dan Zulhijjah, serta menghalalkan bulan Muharam pada tahun itu dan menggantikannya dengan bulan Safar dan mengharamkan Muharam pada satu tahun yang lain, untuk menyesuaikan dengan bilangan bulan yang diharamkan oleh Allah Swt. Jadi, mereka menghalalkan bulan yang diharamkan oleh Allah Swt dan pada waktu yang sama mereka mengharamkan bulan yang dihalalkan oleh Allah Swt.
Orang-orang kafir ini disesatkan oleh syaitan dengan pengunduran itu iaitu dengan menundakan pelaksanaan menghormati kesucian bulan haram itu kepada bulan-bulan yang lain. Syaitan menghiaskan perbuatan-perbuatan buruk mereka itu menjadi indah pada pandangan mereka.
Allah Ta’ala tidak memberi petunjuk atau bimbingan agar selalu berada di jalan yang benar, kepada orang-orang yang kafir. Oleh itu mereka akan berterusan berada dalam kekufuran.