Peringatan tentang Jalan Hidup Ahli Kitab dan Balasan ke atas Mereka yang Menolak Zakat
Surah 9: At-Taubah (34 – 35)
Ayat 34
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِنَّ كَثِيرًا مِّنَ ٱلْأَحْبَارِ وَٱلرُّهْبَانِ لَيَأْكُلُونَ أَمْوَٰلَ ٱلنَّاسِ بِٱلْبَـٰطِلِ وَيَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ ۗ وَٱلَّذِينَ يَكْنِزُونَ ٱلذَّهَبَ وَٱلْفِضَّةَ وَلَا يُنفِقُونَهَا فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ فَبَشِّرْهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٍ
Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya banyak di antara pendita-pendita dan ahli-ahli agama (Yahudi dan Nasrani) memakan harta orang ramai dengan cara yang salah, dan mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah (agama Islam). Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
Allah Ta‘ala mengingatkan orang-orang yang beriman kepada Allah Swt dan rasul-Nya serta melaksanakan syariat-Nya, bahawa kebanyakan daripada tokoh-tokoh agama ahli kitab dan para ahli ibadah mereka benar-benar mengambil harta manusia dengan cara yang tidak benar, seperti melalui rasuah dan sebagainya. Mereka juga mencegah manusia daripada memeluk agama Islam, serta menghalang manusia lain menuju jalan Allah Swt.
Allah Ta‘ala juga mengingatkan kepada mereka bahawa orang-orang yang menahan harta dengan tidak bersedekah, tidak membayar zakat serta tidak mengeluarkan hak-hak wajib daripadanya, maka berilah khabar gembira kepada mereka dengan seksaan yang pedih. Ini merupakan sindiran keras kepada mereka yang tidak menunaikan hak kepada yang berhak.
Ayat 35
يَوْمَ يُحْمَىٰ عَلَيْهَا فِى نَارِ جَهَنَّمَ فَتُكْوَىٰ بِهَا جِبَاهُهُمْ وَجُنُوبُهُمْ وَظُهُورُهُمْ ۖ هَـٰذَا مَا كَنَزْتُمْ لِأَنفُسِكُمْ فَذُوقُوا۟ مَا كُنتُمْ تَكْنِزُونَ
(Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): “Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu.
Pada hari dibakar emas perak, bermaksud pada hari pembalasan (semasa di Mahsyar) nanti segala harta milik orang-orang yang enggan menafkahkan sebahagiannya (tidak mahu berzakat, tidak mahu bersedekah dan seumpamanya) kepada yang berhak akan berada di dalam neraka dan dibakar menjadi cair untuk dijadikan bahan pembakar. Lalu dahi, rusuk dan belakang mereka dibakar dengannya (harta yang cair terbakar tadi). Dalam tafsir Ibnu Kathir, ini berlaku dalam kadar 50,000 tahun mengikut hari di dunia. Sambil diseterika mereka ditunjukkan neraka.
Sebahagian ulama mengatakan ketiga-tiga anggota ini iaitu dahi, rusuk dan belakang disebut khusus dalam ayat ini kerana dahi adalah anggota yang pertama sekali kelihatan cerah serta manis atau girang semasa seseorang itu mengenangkan hartanya yang banyak. Ia akan berubah menjadi berkerut bila menghadapi orang-orang miskin yang meminta-minta. Lalu dia cuba memusingkan bahagian rusuknya serta berpaling dan akhir sekali dia pun memusingkan belakangnya untuk beredar melepaskan diri daripada si peminta.
Selain itu dahi juga adalah anggota yang dianggap mulia, rusuk serta belakang pula adalah anggota yang selalu merasakan kenikmatan tatkala kita berbaring mengereng dan terlentang untuk merehatkan diri.
Jadi layak benarlah ketiga-tiga anggota penting ini diseksa dengan dibakar akibat perlakuan manusia semasa di dunia yang tidak mensyukuri nikmat pemberian Allah Swt.
Sambil diseksa, orang-orang yang ingkar itu juga menerima tempelakan daripada malaikat yang berkata, “Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab daripada) apa yang kamu simpan itu.”
Inilah penyakit sebahagian umat Islam sekarang, mereka menyimpan harta yang banyak dan tidak diinfakkan sebahagiannya untuk fisabilillah iaitu untuk kebaikan umat Islam. Sabda Rasulullah saw:
“Tidak seorang pun yang tidak menunaikan zakat hartanya kecuali pada hari kiamat harta-harta itu dijadikan lembaran-lembaran api lalu dengannya dahi, rusuk dan belakangnya dibakar pada satu hari yang kadarnya adalah lima puluh ribu tahun sehingga diputuskan urusan para hamba, kemudian diperlihatkan jalannya, sama ada ke syurga atau ke neraka.”
(HR. Muslim)
Ayat ini menjelaskan azab Allah kepada orang yang menyimpan harta emas dan perak iaitu bermaksud harta yang tidak ditunaikan zakat.
Dalam kedua-dua ayat di atas, Allah Swt menyebutkan penyalahgunaan harta oleh manusia. Mereka menggunakan harta untuk perkara-perkara maksiat dan juga menghalang orang lain daripada jalan Allah Swt. Mereka juga tidak mengeluarkan zakat dan tidak membelanjakan kepada perkara-perkara yang wajib seperti memberi nafkah kepada keluarga.