Surah 9: At-Taubah (29 – 31)

Perintah untuk Memerangi Ahli Kitab

Surah 9: At-Taubah (29 – 31)


Ayat 29

قَـٰتِلُوا۟ ٱلَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَلَا بِٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ وَلَا يُحَرِّمُونَ مَا حَرَّمَ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَلَا يَدِينُونَ دِينَ ٱلْحَقِّ مِنَ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْكِتَـٰبَ حَتَّىٰ يُعْطُوا۟ ٱلْجِزْيَةَ عَن يَدٍ وَهُمْ صَـٰغِرُونَ

Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak beriman kepada hari akhirat, dan mereka pula tidak mengharamkan apa yang telah diharamkan oleh Allah dan Rasul-Nya, dan tidak beragama dengan agama yang benar, iaitu dari orang-orang yang diberikan Kitab (kaum Yahudi dan Nasrani), sehingga mereka membayar “Jizyah” dengan keadaan taat dan merendah diri.

Allah Ta’ala memerintahkan orang-orang mukmin untuk memerangi ahli kitab iaitu kaum Yahudi dan Nasrani sehingga mereka mahu membayar jizyah yang diwajibkan ke atas mereka dalam keadaan hina lagi rendah diri. Ini kerana mereka tidak beriman kepadaNya dan hari akhirat. Mereka juga tidak menjauhi apa yang dilarang oleh Allah Swt dan Rasul-Nya, serta tidak menerima syariat-syariat Islam.

Ahli kitab juga sama sekali tidak beriman kepada para rasul-rasul terdahulu dan risalah yang mereka bawa. Apa yang mereka lakukan hanyalah mengikuti hawa nafsu dan pendapat serta adat nenek moyang mereka. Jika mereka benar-benar mengimani ajaran agama yang sedang mereka anuti, tentu hal itu menjadikan mereka beriman kepada Nabi Muhammad saw. Ini kerana berita kedatangannya dan perintah untuk mengikutinya telahpun mereka ketahui daripada kitab-kitab mereka.

Ayat 30

وَقَالَتِ ٱلْيَهُودُ عُزَيْرٌ ٱبْنُ ٱللَّهِ وَقَالَتِ ٱلنَّصَـٰرَى ٱلْمَسِيحُ ٱبْنُ ٱللَّهِ ۖ ذَٰلِكَ قَوْلُهُم بِأَفْوَٰهِهِمْ ۖ يُضَـٰهِـُٔونَ قَوْلَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ مِن قَبْلُ ۚ قَـٰتَلَهُمُ ٱللَّهُ ۚ أَنَّىٰ يُؤْفَكُون

Dan orang-orang Yahudi berkata: “Uzair ialah anak Allah” dan orang-orang Nasrani berkata: “Al-Masih ialah anak Allah”. Demikianlah perkataan mereka dengan mulut mereka sendiri, (iaitu) mereka menyamai perkataan orang-orang kafir dahulu; semoga Allah binasakan mereka. Bagaimanakah mereka boleh berpaling dari kebenaran?

Sungguh kaum Yahudi telah berbuat syirik kepada Allah Ta’ala ketika mereka beranggapan bahawa ‘Uzair adalah anak-Nya, dan kaum Nasrani telah menyekutukan Allah Swt ketika mereka mendakwa bahawa Al-Masih Isa putera Maryam adalah anak-Nya. Pernyataan ini mereka ada-adakan kepada diri mereka sendiri.

Keyakinan mereka ini menyerupai keyakinan kaum musyrikin sebelum mereka iaitu perkataan musyrik Mekah bahawa malaikat adalah anak perempuan Allah. Semoga Allah Swt memerangi kaum musyrik semuanya kerana mereka berpaling dari kebenaran menuju kebatilan.

Ayat 31

ٱتَّخَذُوٓا۟ أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَـٰنَهُمْ أَرْبَابًۭا مِّن دُونِ ٱللَّهِ وَٱلْمَسِيحَ ٱبْنَ مَرْيَمَ وَمَآ أُمِرُوٓا۟ إِلَّا لِيَعْبُدُوٓا۟ إِلَـٰهًا وَٰحِدًا ۖ لَّآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ۚ سُبْحَـٰنَهُۥ عَمَّا يُشْرِكُونَ

Mereka menjadikan pendita-pendita dan ahli-ahli agama mereka sebagai pendidik-pendidik selain dari Allah, dan juga (mereka mempertuhankan) Al-Masih ibni Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan.

Kaum Yahudi dan Nasrani telah menjadikan para ulama dan para ahli ibadah mereka sebagai tuhan yang menggariskan hukum-hukum syariat bagi mereka. Maka mereka berpegang teguh dengan syariat yang diada-adakan itu dan meninggalkan ajaran-ajaran Allah Swt. Mereka telah menjadikan Al-Masih Isa putera Maryam sebagai sembahan mereka.

Padahal Allah Swt telah memerintahkan mereka semua bertauhid dan beribadat hanya kepada-Nya, Tuhan Yang Satu, tiada sembahan yang berhak diibadahi kecuali Dia. Maha Suci Allah daripada apa yang diada-adakan oleh pelaku kesyirikan dan penganut kesesatan.