Larangan bagi Orang Musyrik Memasuki Masjidil Haram
Surah 9: At-Taubah (28)
Ayat 28
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِنَّمَا ٱلْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلَا يَقْرَبُوا۟ ٱلْمَسْجِدَ ٱلْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَـٰذَا ۚ وَإِنْ خِفْتُمْ عَيْلَةً فَسَوْفَ يُغْنِيكُمُ ٱللَّهُ مِن فَضْلِهِۦٓ إِن شَآءَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ حَكِيمٌ
Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya (kepercayaan) orang-orang kafir musyrik itu najis, oleh itu janganlah mereka menghampiri Masjid Al-Haraam sesudah tahun ini; dan jika kamu bimbangkan kepapaan, maka Allah akan memberi kekayaan kepada kamu dari limpah kurnia-Nya, jika dia kehendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
Allah Ta’ala memerintahkan hamba-hamba-Nya yang beriman agar melarang orang-orang musyrik mendekati dan memasuki Masjidil Haram setelah turun ayat ini pada tahun ke 9 Hijriah. Ini kerana mereka adalah najis.
Perkataan najis dalam ayat ini bukanlah bererti badan mereka kotor tetapi bermaksud najis dari segi keyakinan kerana mereka mensyirikkan Allah Ta’ala.
Dalam ayat ini, Allah Ta’ala menghilangkan rasa bimbang kepada kaum mukmin daripada menjadi miskin kerana orang-orang kafir tidak datang pada musim haji dengan membawa barang dagangan, maka Dia nanti akan memberikan kekayaan berupa kecukupan rezeki kepada mereka daripada kurniaan-Nya jika Dia menghendaki, sesuai dengan ketetapan-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala makhluknya, Maha Bijaksana dalam segala ketentuan dan pengaturan-Nya.
Berkaitan ayat, “dan jika kamu bimbangkan kepapaan, maka Allah akan memberi kekayaan kepada kamu dari limpah kurnia-Nya,” Muhammad bin Ishaq mengatakan bahawa ini adalah disebabkan ada orang yang berkata, “Sungguh nanti pasar akan diboikot, perdagangan mesti akan lumpuh dan keuntungan yang selalu diperoleh akan hilang.” Maka turunlah ayat ini sehingga akhir ayat 29 iaitu “dengan keadaan taat dan merendah diri.” Ini bermaksud Allah Ta’ala akan memberi ganti dengan kurniaan-Nya terhadap apa yang mereka khuatirkan itu. Dia menggantikan yang terputus itu dengan pemberian-Nya berupa jizyah daripada ahli kitab.
Jizyah ialah cukai yang dikenakan ke atas individu bukan Islam yang berlindung di negara Islam.
Allah Ta’ala Maha Mengetahui segala perkara yang bermaslahat bagi hamba-hamba-Nya lagi Maha Bijaksana terhadap segala yang diperintahkan dan dilarang-Nya kerana Dia Maha Sempurna dalam segala perbuatan dan perkataan-Nya. Dia Maha Adil dalam ciptaan dan perintah-Nya. Oleh sebab itu Dia menggantikan pendapatan daripada sumber yang dilarang itu dengan jizyah yang diambil daripada ahli zimmah.
Ahli zimmah bermaksud orang bukan Islam yang tinggal dalam negara Islam.