Surah 9: At-Taubah (25 – 27)

Pertolongan Allah Swt dalam Perang Hunain

Surah 9: At-Taubah (25 – 27)


Ayat 25

لَقَدْ نَصَرَكُمُ ٱللَّهُ فِى مَوَاطِنَ كَثِيرَةٍ ۙ وَيَوْمَ حُنَيْنٍ ۙ إِذْ أَعْجَبَتْكُمْ كَثْرَتُكُمْ فَلَمْ تُغْنِ عَنكُمْ شَيْـًٔا وَضَاقَتْ عَلَيْكُمُ ٱلْأَرْضُ بِمَا رَحُبَتْ ثُمَّ وَلَّيْتُم مُّدْبِرِينَ

Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri.

Ayat ini menyatakan bahawa Allah Ta’ala telah memberikan pertolongan-Nya kepada kaum mukmin untuk memerangi kaum kafir dalam banyak medan pertempuran bagi meninggikan agama Islam. Dia juga menjelaskan bahawa kemenangan dan penaklukan Mekah hanyalah disebabkan pertolongan yang bersifat ghaib daripada-Nya. Oleh itu, Dia mengingatkan orang-orang beriman bahawa kemenangan adalah berasal daripada-Nya baik ketika jumlah mereka sedikit ataupun banyak.

Ketika peperangan Hunain, jumlah mereka banyak namun jumlah yang banyak tersebut tidak memberikan manfaat kepada mereka sedikit pun. Akhirnya mereka lari, kecuali sedikit sahaja daripada mereka yang menemani Rasulullah saw. Kemudian Allah Ta’ala menurunkan pertolongan serta bantuan-Nya kepada Rasul-Nya dan kaum mukmin yang menyertai Baginda. Berikut adalah kisah kejadian perang Hunain agar diketahui bahawasanya kemenangan itu hanya daripada Allah Swt:

  • Hunain adalah nama sebuah lembah yang berada di antara Mekah dan Taif.
  • Setelah peristiwa penaklukan Kota Mekah, semua kabilah dan suku Arab akhirnya tunduk kepada Islam kecuali beberapa kabilah Arab daripada Hawazin dan Thaqif. Oleh sebab mereka merasakan bahawa mereka lebih mulia dan mampu menaikkan nama mereka dengan menumbangkan Islam setelah Musyrikin Quraisy gagal melakukannya, maka mereka berpakat mengumpulkan kekuatan untuk menyerang Rasulullah saw dan kaum muslimin.
  • Ketika Rasulullah saw mendengar bahawa kabilah Hawazin sedang berkumpul untuk memerangi Baginda, maka Baginda berangkat bersama para sahabat yang ikut serta menakluki Mekah dan beberapa orang yang baru memeluk agama Islam, ada pendapat yang mengatakan jumlah mereka mencapai 12,000 orang sedangkan musuh hanya berjumlah 4,000 orang. Lalu sebahagian kaum muslimin berasa bangga dengan jumlah mereka sehingga mereka berkata, “Pada hari ini kita tidak akan dikalahkan kerana jumlah yang ramai.”
  • Pada bulan Syawal tahun 8 Hijriah, Baginda bersama-sama pasukannya berangkat menuju ke tempat musuh. Orang-orang Hawazin dan Thaqif telah memilih tempat yang strategik, iaitu tanah pergunungan yang berbukit-bukit dan berliku-liku. Mereka bersembunyi di sebalik bukit-bukit menunggu tentera kaum muslim melalui jalan sempit di bawahnya. Ketika kaum muslim tiba di tempat tersebut yang bernama lembah Hunain, datanglah serbuan yang mendadak daripada musuh.
  • Tentera kaum muslim menjadi panik dan lari terpisah-pisah. Namun Nabi saw tetap berada di atas keldainya yang putih, dan bersama dengannya lebih kurang 100 orang yang masih tetap di tempat masing-masing melawan kaum musyrik. Abu Sufyan dan ‘Abbas menahan keldai Baginda agar tidak mara ke arah musuh.
  • Kemudian Baginda berusaha menghimpun kembali pasukan kaum muslim yang kacau bilau itu. Dalam keadaan demikian Baginda menyebut namanya sendiri dengan suara yang kuat menyeru kaum muslim agar kembali, Baginda menyeru, “Kembalilah kepadaku wahai hamba-hamba Allah! Kembalilah kepadaku! Aku adalah Rasulullah.” Dalam keadaan tersebut itu juga Nabi saw sendiri bergerak menuju kepada kaum musyrik sambil berkata, “Aku Nabi tidak berdusta! Aku putera Abdul Muttalib.”
  • Baginda memerintahkan ‘Abbas bin Abdul Muttalib seorang yang keras suaranya untuk menyeru kaum muslim. Baginda bersabda, “Wahai ‘Abbas! Panggil orang-orang yang berbai’at di bawah pohon (Bai’atur Ridhwan),” Lalu ‘Abbas berkata dengan suara keras, “Di mana orang-orang yang berbai’at di bawah pohon (Bai’atur Ridhwan)?” Maka ketika kaum muslim mendengar suaranya, mereka pun kembali.
  • Apabila sebahagian tentera muslim kembali berada bersama dengan Rasulullah saw, Baginda memerintahkan mereka membuat serangan balas. Baginda mengambil segenggam tanah dan berdoa kepada Allah Swt memohon pertolongan.
  • Genggaman tanah itu dilemparkan ke arah musuh, maka tidak ada seorang pun daripada mereka melainkan mata dan mulutnya terkena tanah tersebut. Ini menjadikan mereka leka daripada menyerang kaum muslim dan mereka mundur. Akhirnya kaum muslim dapat mengalahkan musuh, ada yang dibunuh, ditawan dan harta mereka menjadi rampasan perang.
Ayat 26

ثُمَّ أَنزَلَ ٱللَّهُ سَكِينَتَهُۥ عَلَىٰ رَسُولِهِۦ وَعَلَى ٱلْمُؤْمِنِينَ وَأَنزَلَ جُنُودًا لَّمْ تَرَوْهَا وَعَذَّبَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ ۚ وَذَٰلِكَ جَزَآءُ ٱلْكَـٰفِرِينَ

Kemudian Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada Rasul-Nya dan kepada orang-orang yang beriman, dan Allah menurunkan tentera yang kamu tidak melihatnya, serta Dia menyeksa orang-orang kafir itu (dengan kekalahan yang membawa kehancuran); dan yang demikian itu ialah balasan bagi orang-orang yang kafir.

Pada permulaan perang Hunain ini, kaum muslim mengalami kekalahan, namun dengan rahmat Allah Swt, Dia memberikan ketenteraman kepada Rasulullah saw dan kepada orang-orang beriman.

Rasa tenteram itu, menghilangkan perasaan gerun dan dukacita mereka kerana mengenangkan kekalahan yang dialami. Kemudian hati mereka menjadi cekal, kukuh dan kembali bersemangat untuk bersama dengan Rasulullah saw mempertahankan diri dan melawan musuh sehingga mereka mampu mengatasi masalah yang sangat berat ketika itu.

Allah Ta’ala menguatkan pasukan kaum mukmin yang berbaki itu dengan menurunkan bala tentera iaitu para malaikat sebagai hukuman kepada orang-orang kafir. Dia menimpakan azab kepada mereka melalui penawanan, pembunuhan, perampasan perang dan lain-lain. Itulah balasan bagi orang-orang kafir yang menutupi kebenaran Ilahi dan bahkan menentangnya.

Ayat 27

ثُمَّ يَتُوبُ ٱللَّهُ مِنۢ بَعْدِ ذَٰلِكَ عَلَىٰ مَن يَشَآءُ ۗ وَٱللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Kemudian Allah menerima taubat orang-orang yang dikehendaki (dengan memberi taufik untuk memeluk Islam), sesudah (orang-orang kafir itu ditimpakan dengan azab); dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa meskipun dahulu kaum Hawazin menentang agama Islam, namun Dia telah menerima taubat dan pengislaman mereka setelah mereka datang menemui Rasulullah saw dengan menyusul Baginda ketika Baginda telah sampai di Ja’ranah, sebuah wilayah yang hampir dengan Mekah. Hal ini terjadi setelah lebih 20 hari selepas pertempuran Hunain.

Sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang kepada sesiapa sahaja yang bertaubat kepada-Nya.