Surah 9: At-Taubah (23- 24)

Larangan Menjadikan Kaum Kerabat yang Kufur sebagai Pemimpin

Surah 9: At-Taubah (23- 24)


Ayat 23

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَتَّخِذُوٓا۟ ءَابَآءَكُمْ وَإِخْوَٰنَكُمْ أَوْلِيَآءَ إِنِ ٱسْتَحَبُّوا۟ ٱلْكُفْرَ عَلَى ٱلْإِيمَـٰنِ ۚ وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُمْ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menjadikan bapa-bapa kamu dan saudara-saudara kamu sebagai orang-orang yang didampingi jika mereka memilih kufur dengan meninggalkan iman; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka orang-orang yang didampingi, maka merekalah orang-orang yang zalim.

Allah Ta’ala memerintahkan orang-orang beriman meninggalkan orang-orang kafir meskipun mereka itu adalah bapa-bapa atau saudara mara mereka. Dia juga melarang orang-orang beriman mengambil mereka sebagai pelindung jika mereka lebih mengutamakan kekufuran daripada keimanan. FirmanNya:

“Kamu tidak akan mendapati kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, saling berkasih-sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang itu bapa-bapa, atau anak-anak atau saudara-saudara ataupun keluarga mereka. Mereka itulah orang-orang yang telah menanamkan keimanan dalam hati mereka dan menguatkan mereka dengan pertolongan yang datang daripadaNya. Dan dimasukkanNya mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya………………..”

Al-Mujadilah 58:22

Sesiapa yang memilih untuk menjadikan orang-orang musyrik sebagai pelindung, maka dia telah menzalimi diri sendiri dan umat Islam. Ini kerana dia telah melanggar perintah Allah Ta’ala dan RasulNya kerana setia kepada orang-orang kafir dan tidak memutuskan hubungan dengan mereka. FirmanNya:

“Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu orang-orang yang memerangimu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu, dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan sesiapa menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”

Al-Mumtahanah 60:9

Ayat 24

قُلْ إِن كَانَ ءَابَآؤُكُمْ وَأَبْنَآؤُكُمْ وَإِخْوَٰنُكُمْ وَأَزْوَٰجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَٰلٌ ٱقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَـٰرَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَـٰكِنُ تَرْضَوْنَهَآ أَحَبَّ إِلَيْكُم مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَجِهَادٍ فِى سَبِيلِهِۦ فَتَرَبَّصُوا۟ حَتَّىٰ يَأْتِىَ ٱللَّهُ بِأَمْرِهِۦ ۗ وَٱللَّهُ لَا يَهْدِى ٱلْقَوْمَ ٱلْفَـٰسِقِينَ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, – (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).

Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah saw memberi peringatan dan ancaman kepada orang-orang beriman yang lebih mengutamakan keluarga dan kaum kerabat mereka daripada Allah swt, Rasul dan berjihad di jalanNya. Sekiranya kecintaan mereka lebih kepada mengikut hawa nafsu dan kesenangan dunia semata-mata, maka mereka akan diberi hukuman berupa azab seksaan.

Daripada Zuhrah bin Ma’bad daripada abangnya, dia berkata,

“Dahulu kami pernah bersama dengan Rasulullah saw. Baginda memegang tangan ’Umar bin Al-Khattab. Lalu ‘Umar ra berkata, ‘Wahai Rasulullah, engkau yang paling aku cintai daripada segala sesuatu kecuali diriku.’ Kemudian Rasulullah saw bersabda:

“Tidak beriman salah seorang di antara kamu sehingga aku lebih dicintai olehnya bahkan daripada dirinya sendiri.”

Lalu ‘Umar ra berkata, “Demi Allah, sekarang engkau lebih aku cintai daripada diriku sendiri.” Kemudian Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Wahai Umar, sekarang imanmu telah sempurna.’”

(HR. Ahmad)